PUTRAJAYA: Pil dan cecair yang biasanya digunakan untuk menggalakkan babi mengawan kini menjadi senjata utama segelintir lelaki kasanova untuk memerangkap wanita sehingga boleh dibawa ke bilik tidur.
Lelaki hidung belang terbabit biasanya memasukkan bahan perangsang seks itu ke dalam minuman kotak tanpa disedari gadis yang menjadi sasaran dan selepas mangsa meneguk air berkenaan, mereka tiba-tiba terangsang untuk melakukan hubungan jenis, sekali gus memudahkan jantan buas itu memuaskan nafsu.Lebih menakutkan, wanita yang pernah tertelan pil atau cecair babi mengawan akan menjadi ketagih untuk mengambil bahan itu dan seterusnya melakukan hubungan seks.
Demi memenuhi nafsu mereka, wanita terbabit sanggup menggadai maruah dengan mencari semula lelaki kasanova yang menganiayai mereka atau mana-mana lelaki yang mampu menyediakan pil babi mengawan itu.
Perkara ini didedahkan Pengetua Rumah Pengasih, Mohd Yunos Pathi, berdasarkan maklumat diberikan lima penghuni wanita rumah pemulihan diuruskannya yang berusia 25 hingga 30 tahun.
Beliau berkata, penghuni wanita terbabit memaklumkan selepas minum air kotak dicampur dengan pil atau cecair babi mengawan, mereka menjadi khayal, terangsang dan sanggup melakukan hubungan seks untuk tempoh beberapa jam.“Saya difahamkan, pil terbabit kebiasaannya digunakan di ladang ternakan babi. Ia dicampur dalam makanan babi bertujuan menggalakkan babi mengawan. Bahan sama dalam bentuk cecair pula kebiasaannya disuntik terus pada badan babi betina.
“Namun, ia kini disalahgunakan lelaki kasanova untuk memudahkan mereka mencari mangsa. Lelaki pemangsa terbabit bukan saja terhad di kalangan mereka yang gemar berkeliaran di pusat hiburan, tapi turut membabitkan pelajar sekolah serta penuntut institut pengajian tinggi (IPT),” katanya.Mohd Yunos berkata, pil atau cecair babi mengawan itu kebiasaannya dimasukkan ke dalam minuman kotak kerana mangsa menyangka minuman itu selamat kerana ia secara kasar seolah-olah belum dibuka.
“Lebih teruk apabila ada lelaki menggunakan pil itu untuk merosakkan teman wanita rakan sendiri yang menjadi sasarannya,” katanya.
Menurut Mohd Yunos, beliau sentiasa memberi peringatan mengenai taktik kasanova dan penyalahgunaan pil serta cecair babi mengawan itu dalam setiap program kesedaran dadah di beberapa IPT awam dan swasta yang dikendalikannya dari semasa ke semasa.
Beliau turut menasihatkan gadis remaja supaya berwaspada terhadap pasangan masing-masing atau mereka yang tiba-tiba memberikan minuman kerana ia selalunya mempunyai agenda jahat yang boleh memerangkap mereka.
“Ramai wanita ‘rosak’ disebabkan terlalu percaya terhadap kekasih yang merancang jerat bagi merosakkan mereka dengan apa cara sekali pun. Jika mereka tidak dapat meniduri kekasih mereka secara rela, mereka akan menggunakan pelbagai cara termasuk memasukkan dadah dalam minuman.
“Akibatnya, masa depan mangsa menjadi gelap. Bukan saja maruah mereka tergadai, tapi mereka pula terpaksa mendapatkan rawatan apabila ketagih bahan pelik yang diberikan teman lelaki mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: