Friday, July 9, 2010

'Satu kejayaan jika saya dibenci'

DIA tidak kecewa dan tetap berpuas hati walaupun hanya menduduki tangga keempat pada final musim pertama program realiti Pilih Kasih. Nabila Dally yang berdarah campuran Pakistan di sebelah bapa dan Inggeris, Cina serta Filipina sebelah ibu berkata, peluang menyertai program terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd memperkenalkan namanya dalam lakonan.

pix_middle
pix_topright
"Saya berbangga dengan pencapaian sendiri kerana ini ialah program pertama yang disertai selepas tamat belajar. Daripada tiada apa-apa, saya belajar banyak perkara mengenai seni terutama lakonan. Sekarang saya puas kerana semakin kerap dapat tawaran berlakon dan kian dikenali.

"Sekarang saya terus mengintai peluang untuk terus berlakon. Tak dinafikan saingan terlalu sengit, tapi saya tak jemu mencuba kerana untuk berjaya kita perlu bersabar dan bekerja keras. Saya mencontohi beberapa pelakon yang bermula dari bawah dan sekarang dikenali ramai," katanya.

Kata Nabila, kegigihannya merantau dari Sabah untuk berlakon menampakkan hasil apabila berlakon beberapa drama antaranya Aalia yang sedang disiarkan menerusi Astro Prima dan Sutera Di Sebalik Wajah terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. yang ditayangkan menerusi slot cerekarama TV3, baru-baru ini.

"Dalam Aalia, saya bawakan watak Suzan iaitu kawan kepada Marina (Mira Lyana). Watak yang diberi sebagai gadis baik mungkin kerana faktor wajah saya yang lembut. Saya terima tawaran ini untuk pelbagaikan watak lakonan. Manakala dalam Sutera Di Sebalik Wajah, saya lakonkan watak Carol.

"Wataknya juga tak terlalu berat dan selesa untuk saya bawakan. Namun, daripada respons peminat, ramai yang menyukai lakonan saya dalam drama ini. Saya terima watak sebegini sebagai pendedahan untuk dapat peranan yang lebih besar. Sebagai muka baru saya tak boleh terlalu memilih."Bagaimanapun cabaran sebenar saya hadir apabila berlakon drama Qalesya untuk musim kedua yang bakal menemui peminat pada bulan puasa nanti di Astro Prima. Saya lakonkan watak gadis bertudung bernama Shakira, iaitu pencabar kepada Qalesya (Nurul Elfira Loy).


"Dalam satu adegan, saya dikehendaki pukul Nurul. Mulanya saya ragu-ragu tapi Elfira suruh saya buat adegan itu betul-betul hingga saya kena melakukannya. Ketika buat adegan itu memang saya rasa bersalah, tapi nak buat macam mana kerana ia permintaan Nurul juga."Saya dapat bayangkan apabila drama ini keluar nanti, saya mungkin akan dibenci peminat yang bersimpati dengan Qalesya. Jika ia berlaku, pada saya ia satu kejayaan kerana bukan senang nak bagi orang bencikan kita. Saya banyak menonton lakonan orang lain untuk menjiwai watak itu. Namun, walaupun watak jahat, ada juga adegan saya menangis dalam drama itu," katanya.

Nabila yang tinggal dengan abangnya di Kuala Lumpur berkata, dia semakin menunjukkan kemajuan dalam lakonan dan setakat ini berpuas hati kerana sudah berlakon lebih daripada 10 drama.

"Banyak respons daripada peminat dan kawan-kawan yang memuji lakonan saya. Secara tak langsung semangat saya untuk terus berlakon semakin memuncak. Malah saya berharap dapat membaiki mutu lakonan dari semasa ke semasa. Saya harap penerbit mempercayai bakat saya dan terus beri peluang untuk bawakan watak yang mencabar.

"Saya turut berterima kasih kepada Rosyam yang beri peluang kepada saya untuk berlakon drama terbitan syarikatnya. Mungkin berlaku salah faham sesetengah pihak yang menyangka saya terikat dengan Rosyam, sebaliknya saya tiada apa-apa kontrak dengan mereka dan bebas berlakon dengan mana-mana produksi.

"Sekarang saya belajar mendekatkan diri berbaik dengan semua produksi lain kerana menerusi cara inilah saya akan dapat tawaran. Alhamdulillah, cara ini berhasil kerana banyak juga tawaran saya dapat. Lagipun untuk kekal lama dalam industri kita perlu ramah dengan semua orang dan buang sikap yang negatif," katanya.

Satu masalah yang membelenggu Nabila sehingga membataskan peluangnya berlakon ialah loghat Sabah yang begitu menebal dalam pertuturannya. Bagaimanapun, dia bersyukur masalah ini semakin dapat diatasi menerusi pergaulan dengan rakan dalam industri seni.

Ketika masih belajar, Nabila aktif sebagai model peragaan di Sabah. Dia meminati bidang fesyen dan berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam rekaan pakaian di International Fesyen Training Center, Kuala Lumpur pada hujung bulan ini. Dia mahu dikenali dalam rekaan fesyen seperti mana idolanya Marc Jacobs dan Alexander McQueen.

"Saya begitu meminati bidang fesyen dan lakonan. Pada saya kedua-duanya saling berkaitan dalam industri seni. Saya akan ambil diploma selama dua tahun dan kena pandai bahagikan masa untuk kedua-duanya. Harapnya penerbit jangan ingat saya akan berhenti berlakon pula.

"Selepas tamat belajar nanti, saya tetap akan tinggal di Kuala Lumpur kerana nampak peluang yang lebih terbuka untuk bidang fesyen. Bagaimanapun, jika ditakdirkan saya kembali ke Sabah, saya mungkin akan buka butik kerana ia turut menjadi impian saya selama ini," kata Nabila.

Sementara itu, Nabila kini sedang bercuti selama sebulan di Sabah bersama keluarga tersayang dan akan kembali bekerja pada 16 Julai nanti. Dia seronok apabila sesekali dapat menghabiskan masa di kampung halamannya di Sabah.

"Seronok kerana dapat lepaskan rindu dengan berjalan-jalan di Kota Kinabalu dan berjumpa kawan-kawan lama serta makan makanan kegemaran saya ambuyat (sejenis sagu). Sudah lama saya sibuk dengan berlakon, sesekali balik kampung memang terasa indah sangat.

"Peluang yang ada juga digunakan untuk bermesra dengan keluarga kerana saya memang anak manja terutama dengan emak yang dianggap sebagai 'best friend' saya. Saya rapat dengan keluarga dan ketika di Kuala Lumpur, setiap hari saya akan berhubung dengan emak menerusi telefon dan Internet," katanya.


PROFIL

NAMA PENUH: Nabila Ali Dally
TARIKH LAHIR: 27 September 1991
ASAL: Kota Kinabalu, Sabah
KELUARGA: Anak bongsu daripada dua beradik
PENDIDIKAN: SPM
KERJAYA: Pelakon dan model
DRAMA: Sutera Sebalik Wajah, Aalia, Jangan Bunuh Matahariku, Hati Liya, Qalesya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: