YAN: “Tiba-tiba saya hanya nampak basikal saja di atas titi manakala adik terkapai-kapai sebelum tenggelam dalam arus sungai deras,” kata Muhammad Fitri Zamzuri, 10, abang Muhammad Hafiz, 9, yang lemas dalam kejadian di Kampung Titi Teras, kira-kira 6.30 petang kelmarin.
DI SINI...Muhammad Haniff Hashim menunjukkan lokasi tempat mangsa tergelincir sebelum lemas di Sungai Titi Teras, semalam. Gambar kecil, Zamzuri.
Muhammad Fitri berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mereka berhenti melihat beberapa penduduk kampung memancing di situ.
“Muhammad Hafiz yang berada di belakang saya tiba-tiba tergelincir sebelum terjatuh ke sungai,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Difahamkan, mangsa yang juga murid tahun tiga Sekolah Integrasi Al Faizin, Guar Chempedak memberhentikan basikalnya sambil meletakkan sebelah kaki di tepi titi sebelum tergelincir ke sungai sedalam kira-kira dua meter.
Hujan lebat pada sebelah petang kelmarin menyebabkan arus Sungai Titi Teras selebar kira-kira tiga meter itu bertukar deras.Muhammad Fitri yang cemas dengan kejadian itu meminta pertolongan penduduk berhampiran sebelum menghubungi bapanya, Zamzuri Hamid, 37.
“Saya memang rapat dengan arwah kerana usia kami tidak jauh beza. Ketika kami baru hendak berseronok keluar bersiar-siar, arwah tiba-tiba tergelincir sebelum hilang dibawa arus,” katanya.Sementara itu, Zamzuri ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Yan berkata, dia sempat bertemu mangsa di rumah datuk mereka ketika kedua-duanya meminta kebenaran untuk keluar bersiar-siar dengan basikal.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan menjadi perkara biasa apabila dia meminta kebenaran untuk keluar bermain atau bersiar-siar pada waktu petang.
“Saya seperti tidak percaya apabila Muhammad Fitri menghubungi saya memaklumkan adiknya lemas,” katanya.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama penduduk kampung dimulakan petang kelmarin sebelum dihentikan kira-kira jam 11.30 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Hasbullah Mohd Isa berkata, operasi yang disertai sembilan anggota dari balai berkenaan serta lapan anggota Unit Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Petani itu menemui mayat Muhammad Fitri kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan sebahagiannya tertimbus di dasar sungai kira-kira 100 meter dari tempat mangsa terjatuh,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Yan sebelum dituntut keluarganya pagi semalam. Jenazah dikebumikan di Kampung Kepala Bukit petang semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: