Friday, July 2, 2010

Tempah tiket melalui telefon


TERBANG bersama dengan Emirates kini menjadi semakin mudah apabila tempahan tiket melalui telefon diperkenalkan.


MEMILIKI sebuah telefon bimbit kini dianggap sebagai satu keperluan dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.

Tanpa mengira usia, popularitinya menyebabkan tiada yang tidak mengenalinya, bahkan anak-anak kecil sekali pun kini begitu cekap menggunakannya.

Siapa sangka daripada berfungsi untuk menjawab dan membuat panggilan atau menghantar sistem pesanan ringkas, ia mampu bertukar fungsi sebagai sebuah kamera, alat perakam dan pemain video dan lagu.

Kemajuan teknologi juga menyebabkan kebanyakan telefon bimbit kini boleh digunakan untuk mengakses Internet, menghantar e-mel, bermain komputer dan menonton televisyen.

Enggan ketinggalan dalam ledakan teknologi yang berlaku, syarikat penerbangan Emirates baru-baru ini melancarkan sistem tempahan melalui telefon bimbit yang dikenali sebagai Mobile Emirates.com.

Sistem terbaru itu memberi pilihan kepada para pelanggan syarikat itu di seluruh dunia termasuk di Malaysia menempah jadual penerbangan di hujung jari selain daripada menggunakan komputer.

Direka bentuk untuk menyokong lebih 3,000 peranti telefon bimbit di pasaran, Mobile Emirates.com diselaraskan agar setiap pelanggan dapat mengakses laman web emirates.com dengan mudah dan berkesan.

Inovasi itu memastikan laman web Emirates boleh dimuat turun dalam pelbagai format sesuai yang terdapat dalam setiap peranti telefon bimbit.

Kemudahan itu membolehkan pelanggan melakukan pelbagai fungsi seperti membuat tempahan, mengatur jadual penerbangan, mendaftar masuk dan melihat status jadual penerbangan. Malah, melalui sistem itu juga semakan boleh dilakukan terhadap kemudahan yang disediakan dalam penerbangan pada penerbangan tertentu.

Pengurus Serantau Emirates Malaysia, Kavin Martinus berkata keperluan terhadap kepelbagaian fungsi telefon bimbit semakin meningkat dalam kalangan pengguna.

"Terdapat keperluan untuk mendapatkan sesuatu produk dan perkhidmatan yang seiring dengan gaya hidup pantas yang diamalkan pada hari ini. Mereka mahukannya sekarang dan secepat mungkin tanpa sebarang pengecualian," katanya.

Beliau menjelaskan penggunaan telefon bimbit sebagai salah satu medium untuk mengakses Internet dilihat semakin berkembang dari semasa ke semasa.

"Emirates sentiasa komited dalam menawarkan para pelanggan kami kaedah yang mudah dan berkesan untuk berkomunikasi dan kami yakin Mobile Emirates.com akan dapat membantu mencapai sasaran itu pada masa hadapan," tegasnya.

Syarat utama bagi menggunakan sistem itu adalah kemudahan Internet sama ada melalui capaian generasi ketiga (3G) atau perkhidmatan Radio Paket Global (GPRS) yang disediakan penyedia perkhidmatan bagi membolehkan peranti telefon bimbit mengakses Mobile Emirates.com.

Setelah mengakses ke laman web www.emirates.com mereka akan dihubungkan secara automatik ke versi telefon bimbit yang dilaraskan sebelum menggunakan segala kemudahan yang disediakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: