Thursday, July 1, 2010

Kolonel Zakaria Dilantik Komandan Baru Maktab Tentera Diraja

BANGI, 1 Julai Kementerian Pertahanan telah melantik Kolonel Zakaria Yadi sebagai Komandan Maktab Tentera Diraja (MTD) yang baru berkuatkuasa Rabu.

Pelantikan Zakaria ialah bagi menggantikan Kapten Alias Baharuddin yang telah ditukar selepas berlaku kematian seorang pelajar MTD, Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, yang dipercayai telah dibuli dan didera oleh lima pelajar senior baru-baru ini.

"Pelantikan Zakaria adalah untuk memberi kepercayaan semula kepada ibu bapa bahawa `ragging' dan buli memang tidak menjadi satu budaya di MTD.

"Ia berlaku adalah kerana perbuatan lima pelajar senior itu," kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pihak media selepas melepaskan Ekspedisi IMalaysia ke Kota London, di sini hari ini.

Beliau berkata Zakaria merupakan lepasan MTD dan mempunyai latar belakang perundangan di peringkat ijazah dan sarjana.

Beliau juga mempunyai sarjana dan diploma di bidang "Defence Strategic Studies".

"Dengan latar belakang lima tahun di MTD sebagai pelajar, tentunya Zakaria tahu cara mendalam perkara yang mahu dilakukan sebagai perubahan di MTD," kata Ahmad Zahid.

Beliau juga berkata tindakan Lembaga Pengelola MTD menyingkirkan seorang pelajar berkenaan dan menggantung empat lagi pelajar adalah wajar.

"Langkah-langkah ini dilakukan adalah bagi memperlihatkan keperhatinan Kementerian Pertahanan dan juga pihak MTD bahawa kita tidak merestui sebarang perbuatan jahiliah yang masih berjalan di MTD.

"Saya berharap ibu bapa yang mempunyai anak-anak di MTD, harus terus memberi kepercayaaan kepada kami. Kami tidak kompromi dalam soal buli," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: