Friday, July 2, 2010

Piala Dunia versi sawah


BERMAIN bola sepak di tapak sawah berlumpur lebih sukar berbanding padang bola biasa.


DEMAM kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 kini semakin menjadi-jadi. Pelbagai ragam dan cara dilakukan bagi menghangatkan kejohanan terbesar dunia itu.

Padang permainan yang biasanya dikunjungi kanak-kanak telah bertukar menjadi padang bola. Begitu juga dengan gelanggang futsal yang kini dijadikan gelanggang bola. Semuanya disebabkan Piala Dunia.

Bagi masyarakat Kampung Gong Baru di Tok Nasek, Kuala Terengganu, mereka turut tidak mahu ketinggalan untuk sama-sama merasai kehangatan Piala Dunia.

Bagaimanapun, cara yang dilakukan sedikit berbeza iaitu dengan menganjurkan Piala Dunia versi sawah menerusi kejohanan Cabaran Futsal Sawah 2010.

Ini bermakna, pemain-pemain akan beraksi di atas tapak bekas sawah yang berselut dan berlumpur.

Malah, setiap pasukan yang bertanding akan menggunakan nama pasukan yang beraksi pada Piala Dunia seperti Brazil, Argentina, Belanda dan Perancis.

"Kita dapat melihat pasukan Argentina dan Belanda beraksi di sawah yang berselut. Tetapi sesetengah bahagian lain padang ada yang bertanah keras. Menariknya walaupun bermain di kawasan sawah belia-belia kita menunjukkan semangat yang tinggi seolah-olah mereka berada di pentas Piala Dunia," kongsi Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gong Baru, Mohd. Hanafiah Ismail, 47.


SEORANG pemuda terjun ke dalam tali air berdekatan padang bola untuk membersihkan diri.


Tambah Hanafiah, penganjuran Cabaran Futsal Sawah itu merupakan acara tradisi Kampung Gong Baru dan telah diadakan sejak 10 tahun lalu.

Namun, penganjuran tahun ini yang disertai 16 pasukan bagi kategori Jiran Muda (dewasa) dan 10 pasukan bagi kategori Tunas Jiran (bawah 15) dianggap cukup istimewa sempena kejohanan Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung di Afrika Selatan.

"Semua orang bercakap tentang Piala Dunia, tetapi tidak semua orang tahu Piala Dunia juga boleh diadakan di sawah. Saya rasa, inilah keunikkan kejohanan ini.

"Pemain juga boleh memilih sama ada mahu memakai kasut ataupun tidak. Terpulang kepada mereka kerana apa yang penting adalah bagaimana mereka bermain dalam selut yang licin dan kotor.

"Selepas sahaja bermain, kebanyakan pemain akan mengambil peluang dengan terjun ke tali air yang terletak bersebelahan sawah itu untuk mencuci badan," cerita beliau.

Seorang pemain, Mohd. Eddy Zuikhwan, 19, berkata, dia dapat merasai satu keseronokan yang berbeza apabila menyertai kejohanan ini walaupun terpaksa bermandi lumpur serta berpanas di bawah terik matahari.

"Kalau orang luar nampak, memang melucukan kerana mereka akan beranggapan yang kami sedang bermain selut pada waktu tengah hari. Baju yang berwarna merah ataupun putih akan bertukar menjadi hitam gara-gara kesan selut," katanya yang beraksi dalam kategori Jiran Muda.

Eddy yang mewakili pasukan Afrika Selatan pada kejohanan itu turut melahirkan rasa gembira kerana dapat terlibat dalam aktiviti yang jarang dianjurkan itu.


MERAIKAN kemeriahan Piala Dunia dengan cara yang berbeza, warga Kampung Gong Baru bermain bola sepak di tapak sawah yang berlumpur.


Sementara itu, Mohd. Emir Rafiuddin, 14, yang mewakili pasukan Portugal bagi kategori Tunas Jiran mengakui kesukaran bermain bola di tapak sawah berbanding di padang rumput.

"Kalau bermain di padang rumput, kita tidak berdepan kesukaran untuk berlari atau menggelecek bola berbanding ketika bermain di tapak sawah yang berselut.

"Walaupun tempoh masa yang diberi hanya tujuh minit, tetapi kepenatan yang dirasai cukup memeritkan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: