RAWANG: Mengerikan apabila seorang pengutip hutang mati dalam keadaan tragis selepas dadanya ditembak sebanyak dua das dari jarak dekat dipercayai dilakukan pembunuh upahan.
TUTUP...mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.
Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal bersendirian selepas keluar dari rumahnya di Jalan Garing di sini, untuk pergi bekerja.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah, berkata penjenayah menaiki motosikal dipercayai mengekori mangsa sebelum menembaknya di tempat kejadian.
Katanya, tembakan suspek dari arah belakang itu menembusi tepat dada kanannya hingga mengakibatkan mangsa rebah.
“Sejurus menyedari mangsa ditembak, suspek memecut menaiki motosikal Honda EX-5 ke arah Rawang.
“Siasatan polis di tempat kejadian menemui dua kelongsong peluru dan suspek dipercayai menggunakan pistol automatik .9mm,” katanya ketika ditemui meninjau tempat kejadian, semalam.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan kes terbabit bermotifkan balas dendam selain ada hubungan dengan pekerjaan dilakukan mangsa.
Difahamkan, seorang pengawal keselamatan sempat melihat seorang lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh memecut selepas dia mendengar tembakan.
“Pengawal terbabit tidak berani berbuat apa-apa sebelum menghubungi polis,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan meneliti jika suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk yang berkaitan aktiviti dan pekerjaan dilakukan mangsa.Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak 03-61262222 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: