Friday, July 9, 2010

Tegas tapi mesra

MEMILIKI ketinggian 165 sentimeter selayak model, ia pernah membuat hatinya terdetik untuk bergelar peragawati.

KENANGAN...antara kenangan ketika pesta pelancongan antarabangsa di  Sumatera Barat.
KENANGAN...antara kenangan ketika pesta pelancongan antarabangsa di Sumatera Barat.
Namun itu impiannya ketika kecil. Setelah menginjak usia, cita-cita tertanam di jiwa mula berubah untuk bergelar setiausaha pula.

Selepas menempuh pengalaman bergelar setiausaha, nyata rezeki berpihak kepada Noraishah Abd Aziz, 33, kerana dalam usia muda, wanita ini sudah mampu meraih jawatan sebagai pengarah di syarikat berkaitan pelancongan.

"Melalui semua ini, memerlukan kerja keras dan harus fokus dengan kerjaya. Pengalaman berdepan dengan pelancong, mengurus keperluan yang pelbagai dan ada kalanya begitu menduga, memberi kelebihan untuk menjadikan saya matang.

"Bertitik tolak daripada pengalaman, diadun dengan skil komunikasi dengan pelanggan menjadi nilai tambah terbaik untuk meletakkan seseorang mencapai sasaran dalam bidang yang diceburi," katanya.

Pengalamannya paling mencabar berdepan kerenah pelanggan apabila menangani masalah pelancong dari negara Timur Tengah yang agak cerewet."Saya pernah mengurus pelancong Arab yang ada empat isteri dan mahukan bilik berdekatan atau sebelah-menyebelah untuk menyenangkan dia berhubung sesama keluarga dan ingin berlaku adil kepada semua isteri.


"Bukan mudah memenuhi semua keperluannya kerana pelbagai perkara timbul tetapi itulah cabarannya."Akhirnya, pelancong berkenaan mengucapkan terima kasih kerana memenuhi semua kehendak dia sebaiknya.


"Lebih membuat hati teruja, lelaki itu kemudian memperkenalkan lebih ramai kenalannya menggunakan perkhidmatan syarikat kami hingga sekarang," katanya mengimbau kenangan manis beberapa tahun lalu.

Mengurus berpuluh kakitangan lelaki dan wanita, dia meletakkan minat mendalam sebagai keutamaan. Memandangkan kerjaya itu lebih menjurus kepada aspek berkaitan perkhidmatan kepada orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara, ia membuatkan dia harus lebih peka.

Wanita yang sudah menjadi tunangan orang ini turut menyangkal pandangan mengenai ketua wanita kurang disenangi kakitangan malah ia bukan sesuatu yang menjadi kudis kepadanya.

Pendiriannya yang tegas dan ada prinsip tersendiri menjadi amalan ketika bekerja yang membataskan hubungan sesama pekerja. Namun di luar waktu kerja, dia mengamalkan sikap mesra kerana katanya, rasa hormat itu lahir daripada sikap profesionalisme atau karisma yang ditonjolkan oleh personaliti cemerlang.

"Sebenarnya, rasa hormat orang bawahan tidak lahir secara paksaan. Bahkan, ia datang dalam pelbagai bentuk dan sebagai ketua, kita harus menonjolkan kualiti terbaik buat orang bawahan. Orang bawahan juga harus dianggap aset kepada syarikat.

"Atas persefahaman itu, saya membina kerjaya yang serius bertahun-tahun sehingga lupa usia semakin meningkat tanpa memikirkan masa untuk mendirikan rumah tangga.

"Memikirkan inilah sandaran masa depan saya, saya meletakkan seluruh jiwa raga dalam bidang ini.

"Bahkan, saya berhasrat menggamit lebih ramai pelancong mengenali betapa uniknya Malaysia dalam pelbagai sudut. Mungkin sumbangan ini dianggap kecil tetapi pengaruhnya amat besar buat saya," katanya penuh bersemangat.

Tidak hairan jika MP Travel & Tours Sdn Bhd sering mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak termasuk hotel terkemuka sebagai sebuah syarikat berdaya maju serta mendapat anugerah atas reputasi antara kelima hingga ke-10 terbaik.

Wanita aktif ini tidak menafikan menyimpan impian besar untuk berjaya dalam perniagaan suatu hari nanti dengan memiliki syarikat sendiri. Membina kenalan yang ada untuk dikembangkan dalam skala lebih besar memberi inspirasi kepadanya malah dia punya sasaran untuk merealisasikan hasrat itu sebelum mencapai usia 40 tahun.

Pakej ditawarkan syarikat termasuk destinasi Asia seperti Brunei Darussalam, Jepun, Filipina, Indonesia, India dan pelbagai negara memberikan kepuasan tersendiri kepada wanita ini.

Amat meminati sukan lasak seperti permotoran, Noraishah akui sering mengendalikan pakej untuk aktiviti Formula Satu membuatkan dia terpanggil untuk terbabit sama dengan aktiviti berkaitan.

"Apabila membawa motosikal berkuasa tinggi dengan kelajuan tertentu, ia memberi kepuasan yang sukar digambarkan.

"Saya sering berkongsi hobi bersama tunang untuk melakukan aktiviti konvoi dan pelbagai acara lain dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi.

"Apabila gemar melakukan aktiviti mencabar sedemikian, tidak bermakna ia menukar sikap kita untuk jadi lebih ganas sebaliknya pengalaman itu memberi makna tersendiri kepada diri ini," katanya yang bakal mendirikan rumah tangga pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: