DIFITNAH dan diburukkan bekas isteri sendiri adalah satu mimpi ngeri buat bekas anggota kumpulan nasyid popular Unic, Mohd Fitri Mohd Haris, 26. Dia yang kini bergerak solo, tampil di Harian Metro semalam bagi menjawab segala dakwaan bekas isterinya yang disiarkan menerusi program Melodi di TV3, Ahad lalu.
Bekas isteri Fitri mendakwa dia seorang 'playboy', pemeras wang serta tidak bertanggungjawab terhadap perkahwinan mereka. Namun, Fitri memberitahu segala-galanya adalah rekaan dan dilakukan bekas isteri keduanya itu kerana perasaan sakit hati terhadapnya.Katanya, sekarang wanita itu menyesali perbuatannya dan mahu menarik balik kenyataan yang dikeluarkannya.
"Tuduhan itu menjejaskan nama dan karier saya malah menyebabkan ayah saya sakit dan masuk hospital. Sebelum ini saya malas nak ceritakan perkara sebenar kerana fikirkan ibu bapanya yang sudah tua tapi apabila dah berlaku perkara ini, saya akan bongkarkan segala-galanya kepada mereka.
"Dia sering mengulangi perkara sama dengan memfitnah saya. Paling memeranjatkan, dia sanggup gunakan nama saya untuk kepentingan sendiri dengan meminta wang sebanyak RM100,000 daripada keluarganya dengan alasan saya yang minta. Malah perbuatannya pernah menyebabkan saya pernah masuk lokap semalaman kerana perbuatannya. Kesannya saya disingkirkan dari Unic.
"Saya mengaku berkahwin dengannya di Songkhla, Thailand pada 12 Mei 2009. Tapi itu urusan keluarga dan biarlah saya jawab berkenaan tuduhan yang dia lemparkan kepada saya saja. Bagaimanapun, beberapa hari selepas kenyataan itu, kami berbincang hati ke hati. Saya tanya sama ada nak daftar perkahwinan kami di Malaysia, tapi dia tetap berkeras macam dulu."Jadi apa motif dia buat kenyataan itu pun saya tak faham. Kenyataannya yang menyebut sudah dicerai dua kali juga tak benar. Hubungan saya dengan keluarganya dulu begitu rapat, tapi apabila saya nak balik kampungnya, keluarga dia tidak mahu terima saya. Tak tahulah apa cerita mengenai saya yang disampaikan kepada mereka.
"Punca jadi begini juga kerana kata bekas isteri saya itu, ayah saya tak sukakan dia. Disebabkan itu, dia akan cari orang yang rapat dengan saya untuk cungkil berita mengenai saya. Malah dengan anggota Unic pun dia bercerita macam-macam mengenai saya. Mulanya saya enggan buka mulut bercerita kepada media, tapi saya dengar cakap ibu supaya mengaku apa yang benar dan menafikan apa yang salah. Secara tak langsung ia akan bersihkan nama saya," katanya.Fitri yang pernah berkahwin dengan wanita Singapura, Saleha Soffyan dan mempunyai seorang anak, Sofia Solehah, 6, menjelaskan perkahwinannya dengan bekas isteri keduanya itu berlalu seolah-olah dirancang dan di luar sedarnya. Dia hanya menurut perancangan bekas isteri dan abang ipar serta seorang wanita yang mengaku tunangnya.
"Bekas isteri saya sering melagakan-lagakan saya dengan Saleha hingga saya bertindak menceraikan Saleha pada Jun 2009. Perkahwinan kami selama lima tahun hancur kerana perbuatan bekas isteri kedua. Saya tak nak tipu masyarakat mengenai perkara ini.
"Saya takkan maafkan bekas isteri kedua sehinggalah dia benar-benar berubah dan menceritakan perkara sebenar kepada keluarga. Saya juga enggan bersama dia lagi kerana cukuplah pengalaman yang dilalui. Saya juga enggan menuduh orang lain terbabit merancang perkara ini dan berhasrat selesaikan sendiri masalah ini.
"Mungkin orang akan pandang serong kepada saya dan akan beri kesan pada karier saya. Pada saya apa yang berlaku adalah takdir. Mungkin ini hukuman buat saya dan saya terima seadanya. Saya belajar daripada kesilapan dan akan tetap menyanyi. Saya minta masyarakat beri peluang untuk saya buktikan kebenaran," katanya yang turut membawa bukti surat nikah dan surat laporan polis mengenai bekas isterinya yang dituduh mencuri komputer peribadi.
Sementara itu, Hafiz Hamidun, Pengurus Besar Art Effects Production yang menerbitkan album solo Fitri menafikan dakwaan pihaknya sengaja mencipta kontroversi yang bertujuan memberi publisiti kepada Fitri.
"Saya nafikan buat perkara ini kerana ia boleh burukkan lagi keadaan. Saya juga tak mahu tuduh ada pihak lain yang terbabit. Ia adalah masalah rumah tangga antara mereka berdua. Saya hairan kenapa bekas isterinya nak babitkan hal mereka dalam karier Fitri pula.
"Tuduhan yang dilemparkan terhadap Fitri akan mencalarkan industri rakaman dan penyanyi nasyid khususnya. Dalam facebook (fb) kami pun sudah ramai yang bertanyakan mengenai isu ini. Cerita negatif sebegini memanglah orang suka sangat nak tahu. Saya memang tahu masalah Fitri sejak Julai tahun lalu dan ikat kontrak dengan dia pada Februari tahun ini.
"Saya ambil dia sebagai artis kerana simpati dengan nasibnya, apatah lagi saya juga pernah bersama Unic. Bakatnya besar dan saya tak nak ambil tahu mengenai hal peribadinya. Urusan dengan Fitri adalah kerana muzik dan atas dasar kawan. Hal rumah tangganya biarlah dia jawab sendiri," katanya.
Setakat ini Fitri sudah merakamkan tujuh lagu dan tiga lagi dalam proses untuk memasukkan suara. Hafiz akan memasukkan lagu Fitri, Suara Azan dan Musafir Rawan dalam album kompilasi Cinta Ilahi... Cinta Insani dalam album kompilasi 14 lagu nasyid terbaru yang akan dipasarkan pada bulan puasa nanti. Album penuh Fitri akan menyusul selepas hari raya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: