|
|
MARILYN hendak ucapkan tahniah kepada komposer dan penyanyi tampan dari Singapura, Taufik Batisah, 29, yang telah dilantik menjadi Duta Bahasa Melayu sempena Bulan Bahasa 2010 di negara kelahirannya baru-baru ini.
Khabarnya, juara Singapore Idol musim pertama itu cukup gembira ditauliahkan sebagai jurucakap bahasa. Begitupun, Taufik awal-awal lagi membuat pengakuan di laman sosial, Facebook bahawa dia bukan seorang cikgu atau pakar yang sentiasa sempurna dalam berbahasa Melayu.
"Seperti anda, Taufik juga masih dalam proses memperbaiki diri dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa ibunda. Harapan Taufik, bulan bahasa ini dapat menjadi punca kita lebih kerap berbahasa Melayu.
"Salah serta silap, jangan ditegur secara negatif. Malah, usahlah kita putus asa. Sebaliknya, mari kita membangkitkan semangat antara satu sama lain untuk terus memperbaiki diri supaya lebih fasih berbahasa Melayu," katanya semasa meluah isi hati baru-baru ini di laman maya.
Mengenali Taufik yang peramah, Marilyn selalu dengar dia bercakap dalam bahasa Melayu ketika berinteraksi dengan orang lain. Walaupun bahasa Inggeris Taufik cukup baik, dia tidak pernah membangga diri. Itu kelebihan individu tinggi lampai yang kali terakhir Marilyn jumpa beberapa bulan lalu pada sebuah acara hiburan di negara ini.
Tidak dinafikan, selain bijak berbahasa Melayu, semangat anak muda itu amat tinggi dalam berkarya. Bayangkan, pada hari raya pertama tahun lepas, dia sempat hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Marilyn sambil beritahu petang raya, dia sudah berada dalam studio rakam lagu baru. Tergamam Marilyn sekejap dengar!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: