Thursday, July 1, 2010

Rozita bawa siapa tu?


ROZITA CHE WAN


DISEBABKAN sering mendengar kehebatan taman tema, Universal Studio pertama di Asia Tenggara yang terletak di Singapura, teman baik Marilyn, Fasha Clara baru-baru ini tidak melepaskan kesempatan mengunjungi destinasi tarikan pelancong tersebut bersama teman lelakinya.

Biarpun hanya sehari berada di situ semata-mata hendak menyaksikan Universal Studio dan beli cenderahati, Fasha Clara bagaimanapun puas hati dapat berjalan di sekeliling kawasan yang menyediakan tujuh zon tarikan filem, termasuk sudut dikhaskan untuk Jurassic Park, Shrek dan Walk Of Fame. Dia juga sempat ambil gambar berlatar pengembaraan piramid Mesir, bandar cereka sains dan tarikan New York.

Tidak ketinggalan, Fasha Clara turut menyampai khabar tentang pelakon jelita tanah air, siapa lagi kalau bukan Rozita Che Wan. Fasha Clara bertembung dengan aktres berusia 37 tahun itu semasa beratur di pintu masuk Universal Studio. Tidak datang keseorangan, dia sebaliknya ditemani anak-anak - Ammar Effendy, 14 dan Aniq Ezzra, 12.

Menariknya, Rozita yang menyarung gaun pendek rona merah tetap berbulu mata palsu dengan tas tangan dan kasut jenama Prada itu turut ditemani seorang lelaki muda berkulit hitam manis. Rasanya, itu kekasih Rozita kerana mereka berpakaian sedondon. Malah, Fasha Clara sempat terdengar perbualan mereka yang cukup romantis. Oh, cemburu dengar!

Sepanjang perjalanan di kawasan itu, si lelaki memegang tangan anak Rozita manakala anaknya yang seorang lagi itu berada dekat dengan ibunya. Dalam fikiran Fasha Clara, betul agaknya lelaki itu merupakan individu kesayangan di hati Rozita. Sebelum ini, dia pernah membuat kenyataan kepada Kosmo! bahawa teman lelakinya berusia 34 tahun dan masih bujang. Nampaknya, benar belaka apa dikatakan Rozita.

Cuma, Marilyn terkilan sangat dengan Fasha Clara yang tidak sempat ambil gambar aksi pasangan itu. Kalau tidak, secara eksklusif pembaca kami dapat tengok sendiri sang jejaka bertakhta di hati Rozita sekali gus bakal menjadi bapa kepada dua cahaya matanya. Iyalah, sebelum ini terdengar dia mahu menamatkan zaman solo selepas beberapa tahun hidup sebagai ibu tunggal.

Tidak sabar rasanya Marilyn hendak menelefon Rozita sambil bertanya kisah percutiannya di Universal Studio. Manalah tahu dia mahu berkongsi foto-foto menarik sepanjang hampir setengah hari berada di situ. Jangan lepas ini kalau Marilyn menelefon Rozita, takut dia tidak angkat pula. Begitupun, Marilyn tumpang gembira dengar bahagianya hidup artis itu dengan teman lelakinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: