Wednesday, July 14, 2010

Skuad Oranje dianugerah pingat


SKUAD Belanda melambaikan tangan semasa bergambar dengan Ratu Beatrix di Istana Noordeinde di The Hague, Belanda semalam.


AMSTERDAM - Pemain-pemain Belanda diberikan pingat kehormatan negara oleh Perdana Menteri, Jan Peter Balkenende di kediaman rasmi beliau semasa sambutan kepulangan pasukan itu sebagai naib juara Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 dari Afrika Selatan di sini semalam.

Turut menerima anugerah dalam sambutan penuh meriah ialah jurulatih Belanda, Bert van Marwijk dan kapten pasukan kebangsaan, Giovanni van Bronckhorst.

Mereka kemudian menghadap pemerintah Belanda, Ratu Beatrix di Istana Noordeinde di The Hague sebelum dibawa menaiki sebuah helikopter tentera udara kembali semula ke ibu negara untuk diarak dengan bot melalui rangkaian terusan di bandar raya itu.

Puluhan ribu peminat berbaris di tepi terusan untuk menyambut ketibaan skuad Belanda yang menaiki sebuah bot semalam.

Sebelum skuad itu tiba, dua peminat terjun ke dalam air di terusan Brouwersgracht. Perbuatan dua peminat itu mendapat pujian daripada sejumlah penduduk yang mengibarkan bendera.

Dua peminat itu sanggup terjun ke dalam terusan walaupun terdapat amaran daripada pihak berkuasa bahawa berenang di terusan akan mendedahkan diri mereka pada baketeria E.Coli dan cedera akibat terkena bangkai basikal yang tenggelam.

Rumah-rumah di sepanjang terusan itu dihiasi dengan bendera dan bola gergasi.

Belanda tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam masa tambahan pada perlawanan akhir Piala Dunia awal kelmarin yang merupakan kekalahan kali ketiga selepas 1974 kepada tuan rumah Jerman Barat dan pada 1978 kepada tuan rumah Argentina.

Seorang penduduk Belanda, Dennis Nuitermans yang mengendalikan sebuah bilik pameran kereta di Breda sanggup pergi ke Amsterdam bagi meraikan skuad negaranya.

"Belanda tidak kerap menduduki tempat kedua. Justeru, kami datang ke sini pada hari yang hebat di Amsterdam," katanya.

Walaupun Nuitermas gembira kerana Belanda menduduki tempat kedua, dia mengkritik gaya permainan skuad negaranya pada perlawanan akhir.

Jurulatih skuad Belanda itu mengubah gaya permainan skuad tersebut yang sebelum ini terkenal dengan gaya total football dan menggantikannya dengan hantaran dan terjahan keras.

"Permainan itu bukannya gaya Belanda tetapi ia kelihatan efisien," kata Nuitermans.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: