Wednesday, July 14, 2010

82 anggota polis cedera


SEJUMLAH penunjuk perasaan bergelut dengan anggota-anggota polis di Belfast, Ireland Utara kelmarin.


BELFAST - Para pemimpin politik dan ketua keselamatan wilayah Ireland Utara semalam mengecam militan-militan nasionalis Ireland kerana mencederakan 82 anggota polis dalam rusuhan selama dua malam sejak kelmarin yang tercetus semasa satu perarakan tahunan yang dilakukan oleh penduduk Kristian bermazhab Protestan.

Ramai anggota polis berkenaan cedera ringan tetapi dua lagi masih dirawat di hospital iaitu seorang anggota polis yang luka di dada dan tangan akibat terkena tembakan senapang patah.

Seorang anggota polis wanita cedera selepas kepalanya dibaling seketul batu dari atas bumbung sebuah kedai berhampiran.

Rusuhan tersebut melibatkan golongan pekerja bermazhab Katholik di bandar ini dan di beberapa bandar lain.

Insiden itu berlaku sebelum puluhan ribu anggota sebuah kumpulan Protestan, Persaudaraan Order Jingga berarak di 18 buah lokasi di serata Ireland Utara dalam satu perhimpunan tahunan bagi mempamerkan kekuatan komuniti mereka.

Ahli-ahli politik berkata, kumpulan perusuh itu yang dipengaruhi oleh pergerakan militan tempatan, Tentera Republik Ireland (IRA) enggan bertolak ansur untuk membenarkan perarakan tersebut diadakan.

Kumpulan perusuh itu kemudian bertindak menyerang anggota-anggota polis yang berkawal.

Pertelingkahan antara penduduk berfahaman Katholik dan Protestan di Ireland Utara berlaku sejak beberapa dekad lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: