Wednesday, July 14, 2010

Komitmen sederhana Usher


PERSEMBAHAN julung kali Usher di Malaysia mendapat pelbagai pandangan. Ada yang berasa persembahan penyanyi ini hebat. Sementara segelintir berasa Usher tidak memberi komitmen penuh dalam persembahannya.


KEDATANGANNYA ke Malaysia memang dinanti-nantikan semenjak berita konsert sulungnya di Stadium Nasional Bukit Jalil diumumkan. Tidak mengambil masa lama untuk menjual tiket persembahannya, Usher dengan mudah telah menarik lebih 10,000 peminat memenuhi lokasi konsert pertamanya.

Jika anda mengukur kejayaan sesebuah konsert menerusi jumlah audiens yang hadir, konsert Usher Live In Malaysia 2010 boleh dikatakan antara konsert yang berjaya. Namun, jika anda menilainya dari segi persembahan, rasanya Usher tidak komited 100 peratus.

Walaupun peminatnya memberikan sokongan padu di bawah pentas, pemilik nama Usher Raymond IV bagaikan tidak dapat menyampaikan apa yang dikehendaki audiens. Memulakan persembahan sekitar 9 malam, tirai pembukaan menyajikan lagu Caught Up bagi menghangatkan suasana.

Diikuti dengan lagu You Make Me Wanna, U Remind Me dan Bad Girl, penyanyi berusia 31 tahun itu kurang berinteraksi. Hanya melaksanakan tugas sebagai penyanyi, persembahan seleksi lagu That's What It's Made For, Trading Places dan Nice & Slow, bagaimanapun kurang mendapat reaksi audiens.

Mungkin menyedari lagu-lagu tersebut tidak begitu popular di kalangan audiens tempatan, Usher cuba menyelamatkan keadaan dengan penyampaian Burn dan Confessions - dua buah lagu yang membantu mempopularkan penyanyi tersebut.

"Apa khabar semua? Malam ini, saya akan menghiburkan anda dengan lagu-lagu daripada album lama saya," ujarnya pada konsert yang dianjurkan oleh Galaxy.

Kelihatan agak penat di bahagian mata, adalah janggal untuk melihat Usher tanpa cermin mata hitamnya. Maka, apabila masa untuk memperkenalkan band pemuziknya, Usher yang mencuri masa itu untuk menukar pakaian kembali di atas pentas dengan cermin mata hitam.

Mengajak peminatnya berdiri dan menari bersama, Love In This Club yang berkemundang sedikit sebanyak menukar suasana konsert itu. Lebih rancak, bakat tarian Usher juga lebih tertonjol pada saat ini. Mungkin lebih lambat, tetapi bahangnya mula dirasai.


MIZ NINA diberi peluang menjadi artis pembuka konsert Usher pada malam itu.


Membaca mesej yang ditulis oleh peminatnya, 'Marry Me', Usher dengan selamba menjawab: "Anda tahu bahawa saya sudah kembali bujang. Tapi saya sudah pernah mencuba (berkahwin) dan mendapati ia tidak sesuai dengan diri saya. Namun, saya sayangkan anda."

Itu jawapan Usher yang sudah bercerai dengan bekas isterinya, Tameka Foster penghujung tahun lalu. Ayah kepada Usher Raymond V dan Naviyd Ely Raymond pada sidang media sehari sebelum konsert juga menyatakan dirinya gembira untuk berada di Malaysia.

"Ini merupakan kali pertama saya berada di rantau ini dan Malaysia merupakan negara yang indah. Selain meluangkan masa di pusat membeli-belah Pavillion, saya juga berharap untuk melawat lebih banyak tempat," kata penyanyi kelahiran Tennessee, Amerika Syarikat itu.

Menguruskan penyanyi remaja, Justin Bieber, Usher yang tidak dapat mencuba banyak makanan tempatan kerana perlu menjaga badannya juga mengambil kesempatan untuk berlari di Batu Caves, Selangor.

"Saya suka berlari pada waktu pagi untuk mengekalkan bentuk badan. Malah saya sudah berlari di Batu Caves pagi tadi (6 Julai) dan akan melakukannya semula pagi esok," tambahnya pada sidang media yang hanya berlangsung selama 15 minit.

Meneruskan persembahan dengan memperkenalkan barisan penari, Usher sekali lagi menukar pakaian sebelum kembali ke pentas dengan penyampaian lagu Daddy's Home dan U Don't Have To Call. Sekali lagi mempamerkan bakat tarian, kali ini Usher beraksi solo.

Mengundang histeria di kalangan peminat, Usher kemudian bijak menyampaikan lagu kegemaran ramai, My Boo serta I Need A Girl. Diikuti dengan U Got It Bad, Usher memukau audiens dengan vokalnya apabila menyampaikan lagu There Goes My Baby.

Ini kerana pada kebanyakan lagu rancak, vokal Usher tidak kedengaran begitu jelas terutama apabila ditambah dengan tarian. Kelihatan seksi dengan pakaian serba putih, pentas Usher gah dengan penata cahaya dan pemuziknya.




Menamatkan sesi penghujung konsert dengan lagu She Don't Know dan Yeah, peminatnya yang tidak berhenti bersorak disajikan dengan lagu terakhir yang dipetik daripada album terbarunya, Raymond v. Raymond.

Lagu OMG merupakan pilihan sempurna untuk mengucapkan selamat tinggal kepada peminatnya. Walaupun lagu itu diterima baik oleh peminat tempatan, album itu secara keseluruhan mendapat kritikan negatif di Amerika Syarikat.

Jelas Usher: "Dari segi pandangan mengenai kreativiti saya, saya menerimanya kerana muzik adalah apa yang saya tawarkan. Namun, muzik saya tidak dihasilkan khas kepada sesetengah peminat sahaja. Muzik saya adalah untuk pendengar global."

Diakui populariti Usher sudah tidak sehebat zaman semasa album Confessions diterbitkan pada tahun 2004 sehingga mendapat gelaran Raja R&B.

Namun, bagi peminat Malaysia yang tidak pernah menyaksikan figura itu beraksi secara live, peluang itu ada satu tawaran yang tidak boleh dilepaskan.

Cuma kekecewaan timbul apabila Usher tidak menyampaikan secara penuh kebanyakan lagu-lagunya. Berlangsung selama satu jam setengah, konsert itu dilihat kurang berbaloi terutama bagi mereka yang menghabiskan ratusan ringgit untuk membeli tiketnya.

Namun begitu, mungkin ada peminatnya yang berpuas hati kalau tujuan mereka adalah untuk melihat idola mereka secara dekat.

Apa pun, itu mungkin merupakan peluang pertama dan terakhir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: