|
|
SAMA ada anda sedar atau tidak, penyanyi kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza semenjak kebelakangan ini mendiamkan diri.
Papa sendiri mula menyedari beberapa hari yang lalu apabila rakan-rakan wartawan hiburan tidak menulis sebarang berita mengenai penyanyi popular tanah air itu.
Paling terakhir cerita mengenai Siti tersiar di media ialah rakaman program Hari Raya Aidilfitri yang dijayakan penyanyi yang cukup popular dengan lagu Biarlah Rahsia itu untuk beberapa stesen TV.
Daripada perbualan terakhir Papa dengan Siti beberapa bulan lalu, dia ada menyebut mahu berehat seketika daripada lapangan seni.
Alasan Siti ialah, dia mahu menghabiskan masa bersama keluarga kerana semenjak awal tahun lagi, dia terlalu sibuk memberi tumpuan pada kerjaya seni dan perniagaan produk kecantikannya, SimplySiti.
Jumaat lalu, Papa berkesempatan berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan pengurus Siti yang juga kakak iparnya, Rozi Abd. Razak.
Dalam leka berbual, sempat Papa bertanya apa khabar Siti? Sampai bila dia mahu berehat? Apakah dia tidak mahu berjumpa dengan media lagi?
Rozi membalas, buat masa ini, selain menghabiskan masa bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Siti juga sedang sibuk membuat perancangan mengenai album terbarunya.
"Siti merancang untuk muncul dengan sebuah album pop. Oleh kerana itu, masa yang ada digunakan sepenuhnya dengan membuat perancangan.
"Bukannya Siti tak mahu jumpa wartawan hiburan, tetapi tidak ada cerita menarik yang mahu dikongsinya.
"Alhamdulillah, Siti sihat dan cukup ceria kerana dia benar-benar ada masa untuk difokuskan pada diri dan keluarganya. Maklumlah, sudah penat dia bekerja dari awal tahun. Biarlah dia berehat dulu," itu jawapan yang diterima oleh Papa daripada Rozi.
Kalau macam itu, Papa yakin peminat-peminat Siti juga tentunya lega kerana akhirnya persoalan mereka terjawab.
Begitu juga dengan rakan-rakan wartawan hiburan, jangan risau kerana Rozi sudah berjanji kalau ada cerita baru, pastinya kita semua akan menerima panggilan telefon daripadanya yang akan memaklumkan khabar terbaru penyanyi itu.
Selamat berehat Siti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: