Monday, July 19, 2010

Konsert ganti peluru ke Palestin


SEMASA konsert berlangsung kutipan derma bagi membantu rakyat Palestin juga dijalankan di kalangan para penonton.


KEPRIHATINAN Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin sudah lama diterjemahkan melalui sokongan moral termasuklah berbentuk bantuan kewangan dan kemanusiaan.

Malah, penganjuran konsert yang bertujuan meningkatkan lagi kesedaran masyarakat terhadap penindasan Israel terhadap rakyat negara itu juga sudah banyak kali diadakan.

Terbaru kumpulan Rabbani meneruskan lagi medium itu dengan menganjurkan Konsert Mahabbah secara percuma di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Menerusi syarikat kumpulan itu, Rabbani Production Sdn. Bhd. konsert itu diharap dapat memberi keinsafan akan peri pentingnya membantu rakyat Palestin yang tertindas.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, penganjuran konsert itu sebagai salah satu cara jihad mereka membantu saudara seagama yang tertindas di negara tersebut.

"Kami anggap konsert ini sebagai penyemai atau pengikat kasih sayang di antara kita semua. Ia sebagai medan juang kita bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis.

"Hakikatnya kita walaupun kita tidak pergi berperang menentang Israel tetapi penganjuran konsert ini juga salah satu cara kita menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

"Pada konsert ini kita tidak melontar batu atau peluru tetapi caranya ialah dengan menghulurkan derma dan bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban mereka di sana," ujarnya.

Azadan sewaktu ditemui Hits pada Konsert Mahabbah berkata, selain dihiburkan dengan irama nasyid artis-artis tempatan, konsert itu turut menyelitkan pelbagai segmen berkaitan.

Antaranya tayangan klip video, deklamasi puisi oleh penyair dan para penyampai radio IKIM FM yang menjadi stesen radio penyiar rasmi konsert yang berlangsung selama tiga jam itu.

"Kami cuba gabungkan elemen irama nasyid, klip video, deklamasi puisi dan sedikit tazkirah agar konsepnya tentang membantu rakyat Palestin dapat dihayati oleh para penonton," ujarnya.

Konsert yang turut disertai kumpulan Raihan, Nowseeheart, Saujana, Inteam, Rabbani, Ummul Qura dan Rabbani Jr. itu mendapat kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta badan-badan bukan kerajaan lain.

Ia turut disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berjaya mengutip RM27,850 daripada para penonton yang hadir pada malam itu.

Semua hasil kutipan akan disumbangkan terus bagi meringankan beban rakyat Palestin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: