|
|
KOMITMEN U-Wei Saari sebagai pengarah untuk menghasilkan sebuah filem bukannya sedikit. Setiap kali berkarya, dia menyerahkan seluruh jiwa dan raganya.
Misalnya menerusi filem seperti Buai Laju-Laju, Jogho dan Isteri, Perempuan dan ... karya-karya itu mendapat sambutan di peringkat antarabangsa.
Terbaru U-Wei mencurahkan lagi sepenuh komitmennya untuk mengarahkan filem Hanyut yang kini menjalani penggambaran di Kampung Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang.
Hanyut dengan kos mencecah RM11 juta termasuk pinjaman daripada Dana Indutsri Kreatif berjumlah RM5 juta yang diperuntukkan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).
Bukan setakat mengeluarkan kos yang tinggi, filem itu turut mencabar minda dan fizikal U-Wei dalam menghasilkan Hanyut yang menjalani penggambaran di sekitar tebing Sungai Pahang itu sejak beberapa bulan lalu.
Kerana itu, U-Wei berharap filem terbaru arahannya itu ditonton bukan sahaja oleh para peminat filem tempatan tetapi juga dapat diketengahkan sehinggalah ke peringkat antarabangsa.
"Bagi saya malanglah kalau kita (pembikin filem tempatan) buat filem tetapi orang kita tidak menontonnya.
"Apatah lagi, saya buat filem ini untuk tontonan semua orang daripada golongan bayi sampailah orang yang nazak," katanya sinis.
U-Wei yang ditemui di lokasi penggambaran Hanyut berkata, dia mengarahkan filem itu selepas meneliti jalan cerita dan mesej-mesej yang terdapat di dalamnya selain berharap ia dapat dijadikan salah satu produk yang boleh dibanggakan oleh negara.
Sambil tidak menafikan cabaran yang terpaksa dilaluinya sejak awal tahun ini misalnya faktor alam semulajadi sebelum penggambaran Hanyut dimulakan lebih 49 hari yang lalu.
"Saya tidak menafikan cabaran untuk mengarahkan Hanyut terutamanya di sini apabila terpaksa berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, arus sungai yang deras dan kabus yang sedikit sebanyak menganggu penggambaran filem ini.
"Bohonglah kalau saya kata bikin filem seperti ini tidak ada masalah. Kalau tidak ada masalah, maknanya 'itu adalah masalah yang sebenarnya'. Semua terpaksa saya harungi bagi menghasilkan sebuah filem yang mampu menepati konsep dan jalan ceritanya," ujarnya.
Malah, U-Wei mendedahkan, dia juga terpaksa turun padang sehingga ke Sabah dan Sarawak bagi mencari lokasi sesuai untuk menjalani penggambaran Hanyut yang antaranya dibintangi oleh Chris Vance, Sofea Jane, Diana Danielle dan Adi Putra.
Namun, selepas meneliti aspek seperti kesesuaian lokasi, logistik dan keselamatan U-Wei akhirnya memilih lokasi di Kampung Padang Tengku bagi merealisasikan filem dalam genre aksi dan epik tersebut.
"Apabila memikirkan semua itu saya akhirnya bersetuju memilih lokasi di negeri Pahang ini untuk penggambaran filem ini kerana apa yang saya mahukan ada di sini. Lagi pun lokasinya sekitar dua hingga tiga jam dari Kuala Lumpur.
"Banyak kemudahan di sini dan kosnya juga tentulah lebih menjimatkan jika ia dijalankan di sekitar Kuala Lumpur. Apa yang paling penting ialah elemen-elemen estetika yang saya mahukan dalam Hanyut ada di sini," jelasnya.
Selain terpaksa menggunakan kos yang tinggi, U-Wei menggunakan tenaga kerja termasuklah pelakon dan krew bagi menjayakan filem yang diharapkannya mampu mengangkat kualiti dan imej negara di peringkat antarabangsa.
Ini kerana, kata U-Wei bagi menghasilkan sebuah filem yang bukan sahaja mampu diterima oleh para penonton tempatan dan antarabangsa, pembikinnya haruslah mempunyai 'peluru' agar ia kena pada sasarannya.
"Hendak bikin filem kita kena ada peluru atau lebih tepat lagi duit (kos). Ia bukan setakat semangat semata-mata. Sebab itu bagi saya mana-mana pembikin filem yang ada 'idea romantis' untuk bikin filem elok lupakan sahaja.
"Bikin filem kena kerja keras dan bukannya berangan tidak tentu fasal. Saya terpaksa menggunakan sehingga 130 pelakon, pelakon tambahan termasuklah krew bagi menjayakan sesebuah adegan pada satu-satu masa," katanya mengenai produksi filem tersebut.
Hanyut dijangka siap sebelum Januari 2011 dan akan ditayangkan sekitar Mei tahun depan.
Bagi karya terbaru itu, U-Wei sudah mencurahkan segala pengalaman dan komitmennya bagi memastikan filem itu dapat disiapkan dengan jayanya.
Bagaimanapun, U-Wei tidak menafikan turut dibebani kebimbangan setiap kali dia mengarahkan filem terutamanya Hanyut yang merupakan filem termahal yang pernah diarahkannya setakat ini.
"Saya memang risau setiap kali buat filem. Kalau saya tidak bimbang maknanya saya 'boleh jalan atas airlah kan?" soalnya sekali lagi dalam nada sinis tetapi sarat dengan makna tersirat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: