DOMINASI mahasiswa perempuan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bukan isu baru, malah sering diperkatakan masyarakat.
Meskipun memperoleh peluang sama rata berdasarkan sistem merit, kekurangan ketara itu memerlukan mekanisme tertentu bagi menanganinya.
Adakah masalah ini boleh ditangani atau masyarakat menerima sahaja ia sebagai fenomena global di IPT? Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Mohamed Asin Dollah, berkata isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks luas sebelum dikategorikan sebagai kritikal.
Menurutnya, tumpuan masyarakat terhadap kebanjiran mahasiswa wanita setiap kali pelajar baru mendaftar di IPTA menjadikannya terus berlarutan serta bagaikan tiada kesudahan.
"Penafsiran umum menyebabkan masyarakat terus melabelkan IPTA dikuasai wanita manakala golongan lelaki terpinggir.
"Penilaian itu mungkin bersandarkan pemerhatian kasar dan kurang tepat. "Adakah jumlah pelajarnya diambil kira? Sukar mengatakan mahasiswa wanita mendominasi kerana ruang penafsiran terbatas berdasarkan satu senario semata-mata," katanya.
Tahun ini, golongan wanita terus mendominasi kemasukan ke IPTA apabila menguasai 64.8 peratus atau 26,229 daripada 40,506 tempat ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011.
Ramai mengaitkannya dengan sistem merit namun Dr Mohamed Asin menegaskan ia bukan punca utama kerana pengambilan pelajar bergantung pada kelayakan.
"Sama ada merit atau kuota, aspek kecemerlangan faktor utama selain menepati syarat kemasukan asas. IPTA tidak akan menawarkan tempat jika gagal memenuhinya.
"Menyalahkan sistem berkenaan kurang tepat sebaliknya mesti ada faktor tertentu menyebabkan senario itu berlaku," katanya.Kecenderungan minat lelaki menyambung pengajian program berbentuk teknikal di kolej bukan IPTA turut menyumbang apatah lagi faktor jangka masa pendek serta peluang pekerjaan cerah memberi jaminan.
Tarikan dunia kerjaya kerana memikul tanggungjawab keluarga dan menstabilkan ekonomi diri juga menjadi punca.
"Kebanyakan bidang teknikal di kolej seperti komuniti masih dikuasai lelaki kerana kerjaya lebih cerah meskipun hanya sijil. Mencari pengalaman lebih utama. "Ada pula kerana ekonomi dan tanggungjawab keluarga. Sebagai anak lelaki, kematangan mempertimbangkan masalah atau masa depan lebih ketara. "Selepas stabil, baru ambil keputusan sambung belajar melalui program tertentu seperti luar kampus selain tidak perlu gusar mengenai kerjaya," katanya. Beliau turut menolak gender sebagai penyumbang gejala sosial sebaliknya sesiapa saja boleh terjebak, malah akur masyarakat lebih mensasarkan golongan lelaki.
"Soal gender adalah universal dan bukan alasan kukuh. Situasi kini bukan seperti dulu, sesiapa berhak mencorakkan masa depan mengikut pilihan dan cita rasa sendiri," katanya mengakui masih banyak bidang pekerjaan memerlukan dominasi lelaki seperti keselamatan dan pelancongan.Menurutnya, lelaki atau wanita, masing- masing berhak mendapat pendidikan cuma pemilihan dan masanya berbeza. "Penting memastikan proses pendidikan dan penjanaan ilmu tidak terhenti tanpa mengira memperolehnya sama ada melalui institusi atau pengalaman," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: