WAJAH Sarimah Ibrahim (gambar) tidak akan muncul lagi sebagai pengacara program popular The Biggest Loser Asia untuk musim kedua.
Pengacara terkenal kacukan Irish-Melayu itu nekad menolak untuk mengacarakan program bertaraf antarabangsa yang disiarkan di saluran Hallmark (702) itu.
Alasannya, Sarimah mengambil kira kritikan peminat dan percanggahan jadual kerjanya untuk menolak menjadi hos program itu.
“Saya baru sahaja menyambung kontrak sebagai wajah eksklusif Astro selama dua tahun dan mereka telah mengatur perancangan untuk saya. Kebetulan, saya mendapat jadual untuk mengacara The Biggest Loser Asia 2 pada saat-saat akhir.
“Sudah tentu saya sudah blok banyak program mulai bulan depan. Jadi, saya perlu fikir dengan sebaik-baiknya dan membuat pilihan yang tepat supaya imej saya sebagai pengacara lebih profesional,” kata Sarimah kepada mStar Online.
Semasa mengacara program itu tahun lalu, Sarimah pernah dihambat dengan kontroversi memakai baju atas pusat. Pelbagai komen dan kritikan yang dilemparkan kepadanya.
Ia sedikit sebanyak mencalarkan imejnya sebagai pengacara beragama Islam.
Tidak dinafikan, Sarimah akui dia masih mempunyai harga diri dan mementingkan nilai serta adab sekali gus menjaga perasaan semua pihak.
Lantaran keputusan yang dibuat itu diterima dengan positif dan hati yang senang kerana percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Setiap kerja yang kita buat, kita tahu nilai kita. Saya sentiasa akan lawan dan bersemangat untuk memperjuangkan hak sebagai wanita, muslim, pengacara dan artis Malaysia.
“Sepanjang 14 tahun bergelar artis, saya jarang dihambat dengan kontroversi melainkan kontroversi nampak pusat dalam The Biggest Loser Asia. Sebab kontroversi itu juga, saya kena pertimbangkan untuk terima atau tidak.
“Mereka memang offer saya beberapa kali untuk musim kedua ini tetapi saya terpaksa tolak,” jelasnya yang akui sedang berkawan rapat dengan lelaki berbangsa Inggeris.
Sekurang-kurangnya dia berbangga kerana pernah menjadi artis Melayu dan Malaysia pertama yang mengacarakan program bertaraf antarabangsa itu..
Ada yang mendakwa, Sarimah juga menolak program itu disebabkan faktor bayaran.
“Setiap artis atau pengacara harus diberikan bayaran yang berpatutan dengan hasil kerja yang dilakukan. Begitu juga jika saya pernah melakukan seuatu kerja itu, bayaran yang seterusnya tidak boleh kurang daripada bayaran yang diterima sebelum ini,” katanya yang baru dilantik sebagai duta Equal Fitness Malaysia dan The Body Shop kira-kira dua bulan lalu.
Tambahnya: “Keputusan saya ini pasti ada hikmahnya dan saya tidak main-main membuat keputusan. Jadi, saya ingin ucapkan good luck kepada hos baru dengan apa-apa yang bakal dihadapi.
Dalam perkembangan lain, hos Akademi Fantasia 8 itu juga menerima tawaran untuk berlakon filem Apokalips yang turut dilakonkan oleh Jehan Miskin dan Farid Kamil arahan Mamat Khalid.
Wanita berusia 32 tahun itu juga dalam proses untuk menjadi jurulatih pilates dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Mana tahu dia yang telah tiga tahun melakukan senaman itu akan menjadikan karier jurulatih pilates sebagai karier tetap dan teringin untuk mengacara program kesihatan sendiri.
Selain itu, bekas isteri Amir Andrew Abdullah itu sedang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Psikologi di salah sebuah universiti di Singapura.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: