|
|
PROGRAM realiti pencarian bakat pencipta lagu yang julung kali diadakan, Keynote kini menjengah ke tirai penutupnya.
Membariskan seramai tujuh peserta akhir, siapakah antara Mohd. Farhan Izharruddin (Faan), Rina Salwani Sulong (Rina), Neroshen A/L Thanaseharan (Nero), Khoo Wei Yong (Khoo), Nur Mohd. Alief Ayub (Nomad), Raja Nazrin Shah Raja Azaham (Nazrin) dan Khairul Nizam Nazri (Keroz) yang bakal dinobatkan sebagai juara sulung rancangan itu malam esok?
Program yang bersiaran setiap Rabu di Astro Ria (saluran 104, Astro) itu menawarkan wang tunai RM10,000 beserta kontrak bersama syarikat Wake The Baby kepada pemenangnya.
Bersiaran sejak pertengahan Jun lalu, seramai 12 orang pelajar terpilih mengikuti pelbagai latihan dan sesi pembelajaran di bawah didikan dekan program itu, komposer yang tidak asing lagi iaitu Ajai.
Namun, setelah lebih sebulan bersiaran, hanya tujuh peserta berjaya mempertahankan kedudukan seterusnya mencabar bakat dan kebolehan diri di gelanggang akhir nanti.
Kepada Hits, Ajai memberitahu ketujuh-tujuh peserta yang mara ke peringkat akhir berjaya menunjukkan peningkatan demi peningkatan saban minggu.
Biarpun terpaksa berhadapan dengan tekanan apatah lagi keadaan masa yang terhad, Ajai mengakui itulah cabaran besar yang sengaja diberikan kepada kesemua peserta agar terbiasa dengan keadaan sebenar setelah bergelar pencipta lagu kelak.
Daripada pengalaman sendiri, Ajai cuba menerapkan sikap tidak mudah berputus asa di kalangan pelajarnya biarpun hakikatnya dia tahu cabaran yang digalas mereka di peringkat akhir itu berganda apabila dikehendaki mencipta sebuah lagu solo dan sebuah lagu berkumpulan.
"Jika bercakap dari segi pencapaian peserta sehingga kini, rata-rata memang sudah faham maksud komersial untuk sesebuah lagu.
"Sehingga kini, memang saya lihat tiada masalah dari segi pemahaman kerana mereka tahu apa yang perlu ada untuk sesebuah lagu bersesuaian dengan tema-tema tertentu yang diberikan setiap minggu.
"Kebanyakan mereka yang kita pilih ketika peringkat uji bakat dahulu, memang sudah ada latar dan pengetahuan muzik. Mungkin sebab itu mereka mudah faham tentang apa yang kita ajar dan apa yang perlu ada dalam sesebuah lagu," kata Ajai ketika ditemui Hits di Damansara Heights baru-baru ini.
Berdasarkan tugasan yang diberikan untuk malam kemuncak itu, jelas Ajai, tema bebas diberikan namun, mestilah berlandaskan kasih sayang.
Peserta Keynote diberi kelonggaran menghubungi penyanyi yang diberikan, bertanya tentang konsep serta kehendak artis itu sendiri untuk lagu yang bakal dicipta.
Tambah Ajai, pemilihan artis masih lagi ditentukan oleh pihak penerbitan supaya peserta dapat berfikir dan mencari idea terbaru untuk dipadankan dengan artis yang diberikan.
"Kita memang tidak mahu mereka kerja senang. Jika kita benarkan mereka yang pilih sendiri artis sudah tentu cabarannya berkurangan kerana mereka sudah sedia maklum kesesuaian lagu dan tahap kemampuan artis itu.
"Cuma Nazrin pada peringkat akhir ini diberi tugasan lagu solo dankita benarkan dia menyanyi sendiri sebab sebelum ini dia belum pernah berpeluang menyanyikan lagu ciptaan sendiri," kata Ajai.
Pada malam kemuncak itu, selain Nazrin yang akan menyanyikan lagu sendiri, Faan ditugaskan mencipta lagu untuk Hattan, Keroz (Alyah), Khoo (Tam Spider), Nero (Vince), Nomad (Misha Omar) dan Rina (Noryn Aziz).
Sementara tugasan berkumpulan pula bakal menyaksikan kolaborasi Faan, Keroz dan Nomad mencipta lagu untuk Zainal Abidin, Rina dan Khoo (Soo Wincci) serta Nero dan Nazrin untuk One Nation Emcees.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: