|
|
PENYANYI, pelakon dan pemuzik sentiasa berdepan dengan pelbagai lapisan masyarakat dalam mengharungi kerjaya mereka di mana bidang komunikasi penting dalam menjayakan setiap aktiviti tersebut.
Menyedari pentingnya bidang itu, maka ramai artis yang tampil memohon untuk mengikuti Pengajian Luar Kampus (PLK) jurusan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah demi karier dan masa depan mereka.
Program khas yang julung kalinya dianjurkan oleh UUM itu sehingga kini telah menerima permohonan 38 penggiat seni termasuklah pengamal media massa tempatan pada sesi pengajian pertamanya mulai Ogos ini.
Zehra Zambri yang merupakan penyanyi pop dan irama Malaysia antara mahasiswi daripada kalangan artis yang berasa terpanggil untuk mengikuti pengajian dalam bidang itu yang mengambil masa empat tahun.
Menurut Zehra, dia mengikuti pengajian komunikasi kerana mahu menambah pengetahuannya dalam bidang itu yang amat penting dalam kerjayanya sebagai penyanyi, pengacara dan penerbit rancangan.
"Sebelum ini, saya pernah mengikuti pengajian dalam bidang komunikasi di peringkat diploma di Kolej Damansara Utama. Ini adalah peluang saya sambung belajar dan membuat persiapan untuk masa depan saya.
"Selain menjadi penyanyi, saya juga bercita-cita menjadi pengacara rancangan televisyen dan bakal menceburi bidang penerbitan. Contohnya, saya baru sahaja menjalani peperiksaan di RTM untuk menjadi penerbit rancangan.
"Saya dapati untuk menjadi penyanyi, pengacara mahupun penerbit, ilmu tentang komunikasi itu kena ada. Sebab itu saya tidak teragak-agak memilih jurusan ini," katanya kepada Hits semasa ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada pertemuan di majlis pelancaran Program Khas PLK UUM itu, ramai artis yang terpilih mengikuti pengajian itu seperti bekas finalis Akademi Fantasia Zahid, Diddy, Akim, Hazama, Alif, Afiq serta Noh (Hujan) dan Emelda Rosmila.
Anggota kumpulan nasyid Saujana, Suffian Amrin juga tidak melepaskan peluang menambah ilmu di dada biarpun dia sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa pada 2004.
Jelas penyanyi berusia 29 tahun itu, meskipun telah 13 tahun bersama Saujana tetapi dia merasakan ilmunya tentang komunikasi belum mencukupi dan berharap pengajian itu dapat mempertingkatkan lagi kerjayanya.
"Saya bukan sahaja menyanyi sepenuh masa bersama Saujana tetapi pada masa sama saya juga bekerja sebagai Penerbit Eksekutif dengan Hijjaz Records Sdn. Bhd., serta menganjurkan pelbagai acara, konsert dan promosi.
"Semua itu memerlukan komunikasi yang bagus . Walaupun sibuk tetapi PLK yang mempunyai kelas pengajiannya seminggu sekali menyebabkan saya sanggup untuk mengikuti program ini," ujarnya.
Sesi pengajian itu diadakan seminggu sekali, malah ia juga akan diadakan di kampus cawangan UUM di Kuala Lumpur bagi memudahkan golongan artis yang kebanyakkannya tinggal di ibu kota menghadirinya.
Pemain gitar dan penyanyi kumpulan rock Pretty Ugly, Nerves pula berkata pengajian dalam bidang komunikasi itu bukan sahaja akan menambahkan lagi pengetahuannya, malah memberi keyakinan apabila muncul di hadapan khalayak kelak.
"Sebagai penyanyi dan pemuzik, saya selalu mengadakan persembahan. Dengan adanya ilmu tentang bidang komunikasi mutu persembahan dan komunikasi saya dengan penonton tentunya akan lebih berkesan lagi," komennya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: