Sunday, July 18, 2010

Si nakal tolak gincu


STACY bertukar menjadi geisha dan ninja dalam klip video Jahat.


FANTASI Stracie Angie Anam, 20, mahu bergelar bintang dicapainya menerusi program realiti Akademi Fantasia musim keenam. Lagu-lagu Aku Stacy, Gagap, Cerah, Cinta Yang Kau Duga, Primadona, Pakai Buang dan Menggegar Dunia menjadi seleksi yang mempersembahkan aura seorang Stacy kepada khalayak.

Bakat gadis dari Kota Kinabalu, Sabah ini sedang kembang dan tidak mustahil, suatu masa nanti dia pasti dewasa untuk menjalar di lebuh seni yang lebih terbuka.

Meneruskan kerja seninya, Stacy hadir lagi dengan single terbaru, Jahat yang masih bergerak atas jalur pop rock. Mahu tampil dengan sedikit kelainan, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Edry KRU yang dipertontonkan sejak 27 Julai lalu itu diperkemaskan dengan sebuah klip video yang meminjam konsep daripada filem Memoir Of Geisha.

Di tangan pengarah Mohd. Ghazzali Abu Bakar, klip video yang menjalani penggambaran sehari suntuk di Studio Universiti Multimedia, Cyberjaya itu, Stacy bertukar karakter menjadi ninja dan geisha, dua 'produk' tradisi yang cukup sinonim dengan Negara Matahari Terbit.




"Sepanjang pembabitan saya dengan penghasilan klip video, projek inilah yang paling menarik, paling berbeza daripada yang lain sebab ada jalan cerita. Saya sendiri tiba-tiba jadi ninja dan geisha serta kena disolek sebegitu rupa," cerita Stacy saat satu pertemuan khas yang dirancangkan Astro Entertainment Sdn. Bhd., baru-baru ini.

Jangka hayat seni Stacy baru dua tahun. Untuk tempoh akan datang, siswi di sebuah univerti swasta di Cyberjaya yang kini dilantik menjadi jurucakap produk Clinelle ini tidak gentar mencuba penerimaan peminat dengan buah tangan bernada balada pula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: