Sunday, July 18, 2010

Unik nama FBO


FBO dianggotai oleh (dari kiri) Aied, Naim dan Up. Nuar tidak dapat turut serta dalam sesi fotografi kerana masalah keluarga.


MEREKA berkumpul awalnya sebagai rakan sekolah yang sama-sama menghabiskan masa dengan aktiviti jamming. Bermula sekadar suka-suka, grup yang dianggotai oleh Naim, Aied, Up dan Nuar ini kemudian sepakat menubuhkan sebuah band dengan nama unik, Flutter By Orizuka.

Nama kreatif itu dicapai setelah laman sosial Myspace mereka mendapat komentar daripada teman-teman yang sudah mendengar lagu mereka.

"Perkataan flutter by itu diambil sempena nama rama-rama. Kalau tidak salah, rama-rama dalam bahasa Inggeris disebut flutter by sebelum diubah menjadi butterfly.

"Orizuka pula adalah nama yang kami gambarkan untuk seorang bidadari, sedikit misteri.

"Nama tersebut sudah melekat dengan kami. Kawan-kawan pula terbiasa dengan nama itu sepanjang kami mengadakan sesi latihan jamming di studio.

"Lalu terciptalah nama Flutter By Orizuka atau FBO yang seolah-olah membayangkan kami merupakan kerdipan daripada Orizuka," ujar Aied selaku gitaris kumpulan ini.

Terinpirasi dengan grup seperti Muse, Green Day, Radiohead malah kumpulan nasyid tanah air, FBO memilih untuk muncul dengan single bertajuk Bidadari yang ditulis bersama.

Memilih genre progresif rock, FBO mengharapkan buah tangan mereka ini menepati cita rasa peminat.

Mereka juga sudah merakamkan lagu Dua Dunia di studio NAR Records. FBO merupakan artis bagi label itu untuk projek single sahaja.

"Kalau mahu sebut tentang kelainan, boleh kami katakan kami menulis lirik tentang perjuangan dan kehidupan.

"Muzik kami pula tidaklah terlalu berat mahupun terlalu ringan untuk dinikmati oleh khalayak," ujar Naim atau nama sebenarnya Khairul Naim selaku vokalis kumpulan ini.

Menamakan Anjang, anggota kumpulan Jinbara sebagai mentor mereka, banyak tunjuk ajar dan pengalaman yang dikongsi oleh Anjang untuk dijadikan pegangan anak-anak muda ini.

Malah, mereka memperdengarkan lagu-lagu kepada Anjang terlebih dahulu untuk mendapatkan respons dan kritikan daripada pemuzik tersebut.

Bagi mengisi sendiri pengalaman yang masih mentah, FBO pernah memasuki pertandingan Battle Of The Band di Shah Alam, ASEAN Beat di Kelab Beach Kuala Lumpur dan Unitar Band Cup di Sekolah Antarabangsa Indonesia, Kuala Lumpur.

"Kami juga mempunyai lagu berbahasa Inggeris, Sick of You dan Leave Me Alone untuk melengkapkan hasil karya kami.

"Ini juga bagi mempamerkan kematangan dan keseriusan kami dalam bermuzik dan tidak hanya muncul dengan lagu Melayu," tambah Up, si pemain dram.

"Buat masa ini, kami akan mengeluarkan single dahulu dan tidak terburu-buru untuk membuat album.

"Kami mementingkan kualiti dan tidak mahu tergesa-gesa mengeluarkan produk," celah Aied pula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: