DI sebalik kesibukan memenuhi tawaran lakonan, si jelita Diana Danielle, 19, juga tak lepas dikaitkan dengan gosip cintanya bersama pengarah dan pelakon, Farid Kamil. Bahkan, hubungan istimewa mereka itu kini bukan lagi rahsia kepada umum.
KENANGAN...Diana dan rakan artis bersama kakitangan Celcom di KGHM 2010, Muar baru-baru ini.
Namun, sampai bilakah ia mampu disimpan serta dibiarkan menjadi teka-teki? Bagaimanapun, mereka pernah di gosip keluar bersama menonton perlawanan Piala Thomas dan Uber yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada Mei lalu.
Malah, bukan itu saja Diana atau mesra dengan panggilan D juga dikatakan pernah memakai anting-anting 'FK' di telinganya. Justeru, sejauh mana sebenarnya hubungan istimewa dua pasangan sejoli itu dan kenapa mereka enggan membuat pengakuan?
Diana yang ditanya mengenai gosip cintanya bersama Farid itu, hanya memaklumkan dia lebih senang berbicara dan berkongsi mengenai perkembangan karier berbanding peribadi. Katanya, dia yakin peminat lebih suka mengetahui perihal kerjayanya.
"Dalam soal ini, ia tiada kaitan sama ada saya mahu mengaku atau tidak. Tetapi, jujurnya saya sendiri selesa jika berkongsi banyak cerita mengenai karier dan diri sendiri. Oleh itu, saya harap ia dihormati dan terpulanglah untuk membuat penilaian."Apapun, setakat ini saya belum berasa terganggu atau rimas dengan gosip yang ditulis. Bagi saya, ia masih OK dan boleh dikawal. Lagipun, gosip mengenai percintaan itu bukan kali pertama saya lalui kerana pernah ada pengalaman dulu.
"Jadi, saya boleh menerimanya. Namun, saya tetap tidak selesa untuk berbicara soal cinta. Mungkin ada artis yang suka berkongsi kisah peribadi mereka, tetapi bukan saya. Ini kerana, saya tidak mahu orang kata hendak mencari publisiti murahan," katanya.Menyentuh mengenai pelajarannya, Diana berkata dia akan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam jurusan Biosains di Universiti Nottingham cawangan Semenyih, Selangor pada September nanti. Malah, dia juga baru selesai berlakon filem Hanyut.
Diarahkan sutradara sensasi, U-Wei Shaari pastinya filem epik diadaptasi daripada novel Almayer's Folly karya Joseph Conrad yang dihasilkan pada 1895 itu cukup hebat. Ini kerana, kos pembikinannya juga dikata mencecah belasan juta ringgit.
Selain Hanyut, Diana juga muncul dalam filem muzikal pertama tanah air, Magika terbitan KRU Studios di samping artis popular tanah air seperti Mawi, Aznil Nawawi dan M Nasir. Tidak ketinggalan, Diana juga membintangi filem kontroversi, ... Dalam Botol.
Diterbitkan produksi Pengedaran JAS Sdn Bhd milik Raja Azmi Raja Sulaiman, gadis berusia 19 tahun itu berlakon di sisi dua bintang baru persada seni, Wan Raja dan Arja Lee. Malah, mereka sudah menjayakan promosi di Karnival Gegaria Harian Metro 2010 (KGHM 2010) di Muar, baru-baru ini.
Bagaimanapun, selepas berkunjung menghiburkan pengunjung KGHM 2010, Diana yang ditemani ibunya, Norsiah Ramli, terus ke negara jiran, Singapura. Kemunculan Diana di Kota Singa itu adalah untuk menjayakan sesi fotografi diaturkan bersama Berita Harian Singapura.
Memandangkan masih bercuti, Diana juga tak melepaskan peluang mengunjungi taman tema hiburan berprestij, Universal Studios Singapura. Apapun, realitinya Diana kini tidak sabar bergelar penyanyi dan menantikan kemunculan album pertamanya di pasaran.
"Saya sangat terharu dengan maklum balas positif yang diterima daripada peminat mengenai pembabitan dalam nyanyian. Sokongan mereka memberikan semangat kepada saya untuk terus berusaha dan mengharapkan impian ini menjadi kenyataan.
"Setakat ini, semua lagu sudah siap dirakam dan hanya perlu urus beberapa hal saja lagi sebelum dipasarkan. Jujurnya, saya tak sabar hendak mendengar lagu sendiri berkumandang di radio," katanya.
Kemampuan Diana sebagai penyanyi mula dinilai peminat melalui lagu Radio gandingannya bersama Imran Ajmain, Nabil dan Infinatez dan juga lagu duet bersama Mawi, Penyembuh Rindu yang dijadikan lagu tema filem Magika.
Diana berharap usaha dilakukan akan berjaya. Namun, katanya dia sudah membuat yang terbaik dan biar semuanya dinilai pendengar. Sebagai insan seni, Diana berkata selain berlakon, dia memang sangat meminati bidang nyanyian.
NAMA PENUH: Diana Danielle Danny Beeson
TARIKH LAHIR: 22 November 1991
TEMPAT LAHIR: Houston, Amerika Syarikat
KETURUNAN: Melayu-Amerika
STATUS: Bujang
ADIK-BERADIK: Anak Tunggal
KERJAYA: Model/ Pelakon/Penyanyi
DRAMA/TELEFILEM: Air Mata Maria, Janji Diana, Gol & Gincu The Series dan Farah Syakirah
FILEM: Evolusi KL Drift, Maut, Bohsia, Setem, Kecoh Betul, Magika, ... Dalam Botol dan Hanyut
LAGU: Radio (bersama Imran Ajmain, Ahmad Nabil dan Infinatez), Penyembuh Rindu (duet bersama Mawi).
what??? diana n farid kamil? salah information ke ni..bukan farid kamil dengan lisa surihani ke?
ReplyDelete