ZIZAN menegaskan dia tidak pernah berubah sikap dan mendakwa dia masih seperti mula-mula menyertai dunia seni.
Perkara ini turut ditegur dalam kolum Dengarnya...Normah Becok seperti yang tersiar dalam akhbar ini, kelmarin. Apakah populariti yang dikecapinya ketika ini menyebabkan Zizan sudah mula lupa diri?Maklumlah, berbanding rakannya yang lain, dia adalah antara bakat baru yang semakin menyinar. Lawaknya bersahaja dan setiap kali wajahnya muncul mengacarakan majlis atau mengendalikan mana-mana rancangan di kaca televisyen, pasti akan ramai yang terhibur menyaksikannya.Sayang rasanya jika bakat yang ada padanya itu terkubur hanya kerana terlalu mengikut kata hati. Begitupun, apakah gosip yang mengatakan jejaka yang berasal dari Pantai Timur ini berubah sikap itu benar ataupun dia sebenarnya menjadi mangsa keadaan? Ketika dihubungi Hip bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu itu, finalis Pelakon Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 ini berkata dia sendiri terkejut apabila dikatakan sebagai artis bermasalah.
Tegasnya, mana mungkin dia berbuat sesuatu yang boleh menabur pasir dalam periuk nasinya. Walaupun mendakwa apa yang berlaku adalah disebabkan masalah komunikasi namun enggan mengeruhkan lagi keadaan, pengacara program Bolos ini dengan rendah hati memohon maaf kepada semua pihak yang berkecil hati disebabkan isu itu.
Hip: Ada yang merungut kononnya Zizan sekarang sudah berubah. Komen sikit
Zizan: Sebenarnya saya terkejut apabila diberitahu bahawa ada gosip mengatakan saya kini semakin berubah. Dalam gosip itu, si penulis mendakwa saya sukar memberi kerjasama pada media. Dakwa artikel itu lagi, saya juga besar kepala kerana saya sering tidak hadir dalam sesi fotografi yang sudah pun dipersetujui awal. Sebenarnya perkara itu tidak benar sama sekali. Mengenai sesi fotografi yang dimaksudkan dalam tulisan itu, terus terang saya memang tidak tahu menahu mengenainya. Saya hanya mendapat tahu mengenai fotografi itu pada hari sebenar. Itupun hanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan. Mana mungkin saya boleh memenuhi sesi fotografi jika dimaklumkan di saat terakhir.
Hip: Tapi difahamkan, ia sudah pun diatur lebih awal oleh pihak Astro. Takkan boleh berlaku kesilapan?
Zizan: Saya akui, memang mendapat kiriman SMS dari pihak Astro tetapi kebetulan telefon bimbit saya kehabisan bateri. Hanya selepas dicaj barulah mesej itu saya terima. Itupun sudah lewat dan saya pula ada hal lain yang terpaksa didahulukan. Bagaimanapun, saya tidak mahu menuding jari ke arah sesiapa. Semua yang berlaku ini bagi saya adalah masalah komunikasi. Dan dengan rendah hati, saya ingin memohon maaf kepada mana-mana media yang tersinggung hanya kerana kesilapan ini.
Saya tidak pernah berubah dan saya adalah Zizan yang mula-mula anda semua kenal dulu. Selama ini saya cuba sedaya upaya menjaga hubungan ini supaya saya tidak tersasar. Saya harap, selepas ini, jika ada mana-mana pihak mahu mengadakan sesi fotografi, kalau tahu nombor saya, boleh berhubung terus dengan saya ataupun hubungi pengurus saya. Bukannya apa, saya tak mahu perkara seperti ini berulang kembali dan menyebabkan hubungan saya dengan media renggang gara-gara salah faham ini.
Hip: Mungkin ada yang berpendapat perkara ini berlaku kerana Zizan sekarang sudah popular dan semakin dikenali ramai.
Zizan: Saya tahu ramai yang akan mempunyai persepsi itu tetapi seperti yang saya katakan tadi, saya tidak pernah berubah, berlagak seperti yang didakwa. Saya juga sedar cerita seperti ini mungkin akan menjejaskan reputasi saya. Tapi percayalah, saya masih berpijak di bumi nyata. Setiap perjalanan karier saya ini disokong oleh banyak perkara seperti keluarga, rakan artis, peminat dan media. Mereka ini umpama tiang dan jika salah satu tak ada bermakna tempanglah saya. Tak boleh nak bergerak lancar.
Hip: Filem Kapoww sambutannya kurang memberangsangkan. Sebagai pelakon utama apa perasaan Zizan ?
Zizan: Dalam hati memang kecewa. Maklum sajalah ini filem pertama saya membawakan watak utama. Tapi saya lihat ada banyak faktor membuatkan filem ini kurang mendapat sambutan. Ia bertembung dengan filem Toy Story 3. Turut ditayangkan pada masa itu filem The Karate Kid. Dua filem ini memang hebat dan kebetulan Toy Story memang sudah lama mendapat tempat di hati penonton. Jadi mungkin itu antara faktor mengapa filem ini gagal menyerlah di pawagam. Bagaimanapun, dari segi lakonan saya tidak menganggap saya gagal.Malah saya amat berpuas hati. Berdasarkan maklum balas menerusi SMS, Facebook, ramai wartawan memberi komen positif dan mengucapkan tahniah. Tapi tak mengapa, mungkin nanti bila filem ini ditayangkan di kaca TV, mereka yang menontonnya pasti akan mengetahui keistimewaan filem ini sebenarnya.
Hip: Disebabkan sambutan dingin yang diterima membuatkan pengarah filem ini Azizi “Chunk” tekad untuk bersara. Komen sikit?
Zizan: Sebagai pengarah, sudah semestinya Azizi berhak atas apa yang berlaku. Saya menyifatkan perkara ini adalah lumrah dalam kehidupan anak seni. Biasanya, di luar negara, filem aksi yang yang tidak mempunyai mesej memang selalu mendapat perhatian, tetapi gagal mendapat pengiktirafan. Bagaimanapun, filem yang banyak menyalur mesej, berseni, sukar mendapat penonton tetapi sering menang anugerah. Saya tidaklah mengatakan yang filem ini bakal menang anugerah. Cuma saya percaya, setiap yang berlaku, pasti akan ada hikmahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: