DR BAHARI berbincang dengan Menteri Kebajikan Islam Palestin, Talib Abu Shar di Rafah.
GAZA: Penduduk Palestin di Gaza memerlukan sekurang-kurangnya RM16 juta bagi memenuhi keperluan kesihatan, membeli peralatan baru serta meningkatkan kepakaran dalam bidang perubatan berikutan keperluan yang semakin mendesak akibat masalah kesihatan selepas serangan berdarah tentera Israel 18 bulan lalu.Naib Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Datuk Wira Dr Bahari Abu Mansor, berkata jumlah itu berdasarkan penilaian terhadap beberapa hospital yang dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), sepanjang empat hari lawatan ke wilayah bergolak ini.Katanya, PRCS mengemukakan butiran terperinci berhubung permohonan mendapatkan sokongan dan bantuan kerajaan serta rakyat Malaysia dalam menyediakan kemudahan itu kepada 1.5 juta penduduk Gaza yang sudah lama menderita.
“Jumlah itu diperlukan untuk memenuhi keperluan kesihatan penduduk, di samping meningkatkan kemudahan hospital yang hampir semuanya beroperasi dalam serba kekurangan dengan menggunakan peralatan lapuk yang berusia lebih 20 tahun.
“Permohonan PRCS akan saya bawa ke Malaysia untuk mendapatkan sokongan rakyat Malaysia dan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat memberi sumbangan boleh berhubung terus dengan PBSM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengakhiri misi kemanusiaan selama empat hari di Gaza. Turut menyertai rombongan ialah Pengerusi Jawatankuasa Publisiti PBSM Malaysia, Datuk Ahmad A Talib dan Pengurus Pengurusan Bencana, Nasir Khan Abdul Rahman.
Rombongan sembilan orang termasuk sukarelawan dan wakil media itu memasuki Gaza melalui pintu sempadan Rafah di Mesir pada Jumaat lalu, berlepas pulang ke tanah air dari Kaherah semalam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini.
Dr Bahari berkata, PBSM akan berusaha mendapatkan sumbangan rakyat Malaysia dan NGO bagi menjayakan program Ramadan di Gaza, iaitu menyediakan makanan berbuka puasa kepada 1,000 penduduk di samping menghadiahkan pakaian Aidilfitri kepada kanak-kanak.
Dalam perkembangan sama, Dr Bahari berkata, PBSM akan mengemukakan cadangan kepada pihak berkaitan untuk melaksanakan program pertukaran doktor Malaysia dengan doktor dari beberapa hospital di Gaza bagi tempoh masa tertentu.
Sebagai contoh, doktor dari Malaysia boleh berkhidmat di Hospital Al-Quds di bandar Gaza sambil memberi latihan kepada doktor di sini yang kebanyakannya kurang kemahiran, manakala doktor dari hospital berkenaan bertugas di Malaysia untuk mencari pengalaman.
Beliau menyifatkan misi kemanusiaan empat kali ini amat berjaya kerana selain berusaha mencari jalan membantu penduduk Gaza yang ketika ini dikenakan pelbagai sekatan oleh Israel, ia membolehkan pihaknya melihat sendiri perkembangan bantuan yang disalurkan rakyat Malay-sia menerusi PBSM tahun lalu.
Sementara itu, Pengurus Besar Hospital Al-Quds yang dikendalikan PRCS, Dr Khalid A Qader Joudeh, merakamkan penghargaan kepada PBSM yang berkunjung
ke wilayah bergolak itu untuk melihat sendiri keperluan dan kesukaran penduduk Gaza, terutama dalam isu kesihatan dan perubatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: