Farah Asyikin Zulkifli
HATI Farah Asyikin Zulkifli kini tidak lagi kesunyian. Hati wanita berusia 31 tahun ini sudah dimiliki jejaka berasal dari Singapura. Jika tiada aral melintang pasangan itu bakal disatukan tidak lama lagi setelah mengikat tali pertunangan bulan lalu.Namun Farah masih merahsiakan tarikh perkahwinannya dengan duda berusia 35 tahun itu. Sejak perkahwinan pertamanya gagal, penyanyi yang terkenal dengan lagu Kembali Di Sisimu itu lebih selesa mengambil sikap berdiam diri.Kisah pertunangannya dengan jejaka yang kini menetap di Macau itu memang dirahsiakan daripada pengetahuan umum. Tapi entah kenapa ia berjaya juga dihidu media dan peminat.
Bukan mahu berahsia sangat, tetapi kegagalan perkahwinan terdahulu menjadikan Farah lebih berhati-hati. Katanya, publisiti yang terlalu banyak diberikan kepada perkahwinannya terdahulu, langsung tidak mendatangkan kebaikan kepadanya.
“Kami cuba mengelak daripada diketahui umum tetapi akhirnya tersebar juga.
Disebabkan semua sudah tahu, Farah pun tak nak berselindung mengenai perancangan perkahwinan kedua ini. Tetapi siapa pun bakal suami Farah, ia adalah peribadi untuk Farah.
“Cukuplah kehidupan peribadi Farah menjadi tatapan umum, Farah tak mahu bakal suami mengalami nasib sama. Perkahwinan pertama dulu mendapat terlalu banyak publisiti tetapi ia tidak mendatangkan apa-apa kebaikan. Ramai mendoakan kebahagiaan kami tetapi tidak kurang juga yang kurang senang dan mendoakan perkara tidak baik. Jadi Farah tidak mahu perkara itu berulang lagi kepada perkahwinan kali ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurutnya, majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung Oktober ini tetapi ditunda ke satu tarikh yang masih belum ditetapkan, akan berlangsung sederhana saja. Dia akan mengundang saudara mara terdekat, teman rapat dan tidak lupa teman media kerana ia adalah perkahwinan kedua untuknya, begitu juga bakal suaminya.
Farah berkata, perkenalan antara dia dan bakal suaminya itu bermula di laman sosial, facebook. Bakal suaminya itu sering menghantar komen di lamannya. Setahun berbuat demikian, lelaki itu memulakan langkah menghantar pesanan di ruang pesanan. Dari situ, hubungan antara mereka semakin serius sehingga membawa kepada pertemuan.
Mereka bertentang mata buat kali pertama di Kuala Lumpur, apabila si jejaka sanggup terbang dari Macau ke Kuala Lumpur semata-mata untuk bertemu Farah. Namun Farah enggan mendedahkan keistimewaan jejaka itu sehingga berjaya menambat hatinya.
“Sebelum ini takut untuk bercinta dan berkahwin lagi selepas melalui pengalaman gagal dalam rumah tangga. Tetapi ibu dan rakan-rakan banyak beri nasihat dan berkata sampai bila nak takut. Perkahwinan adalah satu perjudian, begitu juga dengan kehidupan kita. Atas nasihat daripada ibu dan rakan-rakan, saya membuka kembali hati untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidup.
“Saya tak boleh dedahkan apa keistimewaan bakal suami tetapi pengorbanannya pada saya terlalu banyak, hingga saya menjadi tertarik kepadanya. Ibu pun berdebar-debar dan tertanya-tanya apa istimewanya dia hingga berjaya mencuri perhatian saya. Alhamdulillah keluarga kedua-dua belah pihak merestui perhubungan kami. Keluarga saya suka kepadanya, begitu juga dengan keluarganya yang menyayangi saya. Farah juga menyayangi keluarganya.
“Memang Farah tak nafikan, pelbagai perkara datang dalam fikiran untuk melayari perkahwinan kedua. Disebabkan masing-masing pernah melalui kegagalan rumah tangga, kami akan berusaha yang terbaik untuk perkahwinan kali ini.
“Farah juga percaya, pengalaman yang pernah kami lalui lebih mematangkan kami. Entah kenapa kali ini Farah terasa perbezaannya, Farah dapat rasakan perkahwinan kali ini lebih memberi makna,” katanya.
Oleh kerana bakal suami Farah menetap dan bekerja di Macau, setakat ini Farah masih belum mempunyai sebarang perancangan sama ada untuk berhijrah ke sana atau tinggal berjauhan dengan suaminya. Katanya, sehingga kini mereka masih lagi berbincang dan ia bergantung kepada keadaan. Farah juga tidak mempunyai masalah untuk tinggal berjauhan kerana sudah biasa berjauhan sepanjang percintaan.
Apatah lagi, dia juga bakal muncul dengan album kedua pada penghujung tahun ini di bawah syarikat Rafikonsept. Justeru, sukar untuk Farah membuat keputusan awal kerana dia perlu memberi perhatian kepada buah tangan terbarunya itu.
“Bagaimanapun saya tidak akan meninggalkan dunia muzik. Sekarang ini kami masih lagi berbincang mengenai perancangan selepas kahwin, keputusan sama ada saya akan meninggalkan Malaysia dan menetap di sana atau sebaliknya masih belum diputuskan,” katanya.
Setakat ini, Farah sudah mempunyai lima lagu. Antara yang bakal dimuatkan di dalam album kedua Farah ialah Adamu yang menjadi single pertamanya, Penjagaku Penjagaku iaitu lagu zikir yang ditulis Farah sendiri serta lagu duetnya bersama Shamrin Fotograf berjudul Kamu, Aku, Satu. Farah juga akan memuatkan kembali lagu Kembali Di Sisimu kerana ia mendapat permintaan ramai.
Selesa berbaju kurung
SEKARANG ke mana saja pergi, wanita ini selesa dengan berbaju kurung. Sejak awal tahun, Farah sering tampil dengan baju kurung, jubah mahupun baju labuh yang menutup bentuk tubuhnya. Katanya, dia membuat keputusan untuk berimej begitu dengan kerelaan hati bukan atas saranan sesiapa termasuklah bakal suaminya.
Malah bakal suaminya turut bertanya-tanya tidakkah imejnya itu akan menyukarkannya untuk menyanyi. Bagi Farah, dia rela kehilangan tawaran menyanyi daripada disuruh memakai pakaian yang dianggapnya menjolok mata.
Katanya, dia serik dan berasa selamat dengan penampilannya sekarang.
“Kadang kala bila kita bila kita buat persembahan, lampu limpah membuatkan kita kelihatan seksi. Begitu juga ketika sesi fotografi, ada kalanya teknik penggambaran itu menyebabkan bentuk badan kelihatan menyerlah. Bila tengok kembali gambar sendiri dengan keadaan begitu, timbul rasa malu. Jadi Farah pun terfikir macam mana untuk mengatasi situasi itu.
“Bagi membuktikan kepada orang yang mereka tidak boleh sesuka hati mengarah Farah memakai baju tidak sepatutnya, Farah memilih untuk tampil dengan baju kurung seperti sekarang. Bukan untuk menarik perhatian tetapi disebabkan kerelaan hati sendiri, lagipun Farah ada banyak baju kurung dan tidak salah untuk dipakai ketika persembahan.
“Ramai yang menyokong imej baru Farah tetapi ada juga yang tak suka. Malah ada pihak yang pernah membatalkan temu janji persembahan kerana tak suka dengan imej Farah, tetapi Farah tak kisah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: