Friday, July 16, 2010

Saya baran, dia tenang

DARI mata turun ke hati. Begitulah bermulanya kisah cinta di antara Nor Razlinda Razli, 25 atau Bienda dengan seorang jejaka yang kini bertugas sebagai produser di sebuah rangkaian televisyen swasta.

pix_middle
pix_topright
Mereka bertemu di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, tiga tahun lalu.

Waktu itu masing-masing ada tugasan di sana. Si jejaka yang masih dirahsiakan namanya itu terpandang Bienda yang ketika itu sedang menjalani penggambaran drama.

Terpesona melihat sepasang mata Bienda yang cantik, langsung dia bertanya kepada yang empunya badan sama ada dia sudi untuk menjadi model kanta lekap.

Ketika itu dia bekerja dengan syarikat produksi luar yang turut menerbitkan iklan komersial dan ada syarikat memerlukan model untuk menggayakan kanta lekap keluaran mereka.

Namun, anak gadis penyanyi dangdut, Sheeda ini tidak memberi jawapan segera, tetapi mengakui sempat bertukar nombor telefon.Katanya, ketika itu dia tidak begitu berminat dalam bidang modeling kerana sibuk berlakon dan rasa dirinya tidak cantik.


"Selepas pertemuan itu, dia selalu menghubungi saya menerusi SMS bertanya khabar dan sebagainya sehinggalah dalam satu SMS itu, dia menyuarakan hasrat untuk menjalin hubungan istimewa."Tetapi saya tidak minat untuk bercinta. Malah, saya pernah berhasrat untuk berkahwin pada usia 22 tahun kerana waktu itu abang saya baru berkahwin dan emak pun sudah ada suami baru. Saya juga tidak suka membuang masa tidak tentu hala dengan bercinta lama-lama.


"Selepas mendengar penjelasan saya, agaknya selepas berfikir panjang dia pun menyatakan hasrat sekali lagi untuk menyunting saya sebagai suri hidupnya suatu hari nanti.

"Dengan pengakuan itu, barulah saya sudi menerimanya menghuni hati ini. Bukan pula saya hendak terus berkahwin masa itu juga, tetapi sekurang-kurangnya sudah ada jaminan.

"Saya tidak suka bercinta tanpa arah tujuan. Bagaimanapun, selepas kami sudah mencapai kata sepakat untuk saling setia, saya masih lagi merahsiakan hubungan kami daripada umum kerana saya bimbang impian kami tidak kesampaian.

"Kalau jodoh panjang, oklah, buatnya terputus di tengah jalan, saya juga yang menanggung malu," katanya.

Selain itu, kata Bienda, dia tidak mahu mencampuradukkan urusan kerja dengan peribadi.

Si dia juga belum bersedia untuk memperkenalkan dirinya kepada umum.

"Sebab itu juga sepanjang tiga tahun kami berkawan, tiada gosip yang keluar pasal kami. Kami bertunang tahun lepas dan kami juga bukan seperti pasangan kekasih lain langsung tidak boleh berpisah.

"Saya sibuk dengan aktiviti seni dan dia pun sibuk dengan kerjanya. Adalah berjumpa, tetapi tidak selalu.

"Sekarang apabila ramai yang tahu kami akan berkahwin, ada wartawan ingin merakamkan gambar kami berdua, tetapi bagi saya ia belum masanya lagi.


"Tunggulah pada majlis kenduri dan persandingan kami pada Oktober ini. Ketika itu ambillah sebanyak mana gambar pun dan tanyalah apa saja soalan kepadanya. Lagipun saya mahu bersikap adil pada semua wartawan.

"Saya juga minta maaf kerana tidak dapat mengundang wartawan pada hari pernikahan kami atas permintaan keluarganya.

"Pada pihak saya, tiada masalah, tetapi saya kena menghormati permintaan keluarga bakal mentua. Bagaimanapun, saya akan berikan gambar pernikahan kami pada wartawan.

"Sebenarnya kami sudah merancang untuk berkahwin lebih awal, tetapi tidak jadi kerana masing-masing sibuk," katanya.

Terus menceritakan mengenai bakal suaminya itu, Bienda terpikat padanya kerana kebaikannya, menghormati orang tua dan seorang yang tenang.

"Saya ini baran sikit, tetapi dengannya saya kalah. Dalam lembut dia menegur saya. Alhamdulillah, akhirnya saya ditemukan dengan orang yang dapat memahami dan bersabar dengan saya.

"Ketika saya sakit dia mengambil berat dan sangat menyokong kerjaya saya. Demi masa depan, kami akan bekerja keras untuk mengukuhkan ekonomi dan saya juga bersyukur kerana kami baru saja beli kondominium.

"Selepas berkahwin nanti, kami akan terus menetap di sana.

"Apa yang dapat saya katakan sekarang, saya sangat bahagia. Semoga perkahwinan ini memberi kebaikan kepada saya, agama dan keluarga saya," katanya.

Jelas Bienda lagi, persiapan perkahwinannya sudah beres 50 peratus. Baju pengantin rekaan Ismail dari Butik Shahira dan Arma.

Dalam kesibukannya menguruskan hari bahagianya itu, aktiviti seninya tetap berjalan lancar di mana dia baru saja menerbitkan album baru, Bienda Kenaliku memuatkan lapan lagu. Album itu mendapat sentuhan komposer Edry Hashim, Yassin Sulaiman dan Sal.

"Keadaan industri sekarang bukan macam dulu. Artis kini kena berusaha sendiri. Untuk buat album ini saya keluar duit sendiri dan menjualnya sendiri.

"Setiap kali buat persembahan, saya akan menjual album itu sekali. Bagaimanapun saya sedang mencari syarikat yang sudi mengedarkan album itu," katanya.

Bienda juga sedang menunggu filem terbaru lakonannya, 4 Madu terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd dan LineClear Motion Pictures yang akan menjengah pawagam pada Aidilfitri ini.

Berlakon sama dalam filem itu ialah Rozita Che Wan, Ayu Raudhah, Almy Nadia, Aznah Hamid, Sazzy Falak dan Fasha Sandha.

Bienda juga akan ke lokasi penggambaran drama Idola Kecil (TV9) dan juga dilantik menjadi duta produk pakaian, X10Der, dua bulan lalu. Ia produk tempatan sesuai digayakan untuk mereka yang bertudung seperti Bienda. Produk X10Der mini skirt boleh digayakan dengan seluar panjang dan sarung tangan corak sedondon.

"Mereka yang bertudung pun boleh bergaya, tetapi mestilah kena caranya supaya tidak nampak janggal dan menjolok mata," katanya yang akan membuka kios berniaga tudung di Uptown, Cheras pada Ramadan ini.


PROFIL

NAMA SEBENAR: Nor Razlinda Razli
TARIKH LAHIR: 22 November 1985
ASAL: Kota Bharu, Kelantan
STATUS: Solo
KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
KERJAYA: Pelakon dan penyanyi
DRAMA: Mama Rock, Sebumbung, Nujum Temberang, Nabil & Co, Sampuk Bunian, Uda dan Dara, Di Bawah Teduh Lazuardi, Spanar Jaya, Skuad Elite
FILEM: Budak Kelantan, Kayangan dan 4 Madu
ALBUM: Bersama Solehah - 25 Nabi (1997), Nikmat Allah (1998), Solehah Alaf Baru(2000), Nikmat Allah 2 (2001), The Best Of Solehah (2002) Solo - Bienda 'Unik' (2003) dan Kenaliku

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: