Friday, July 16, 2010

Paula idam terjunan udara

AKHIRNYA persoalan mengenai bintang muda Amerika Syarikat, Paula Creamer yang selama ini gagal memenangi sebarang kejuaraan utama terjawab juga di Oakmont Country Club, Pennsylvania, hujung minggu lalu.

pix_middle



Bintang berusia 23 tahun itu menamatkan keraguan mengenai keupayaannya pada kejohanan utama apabila melakar sejarah peribadi memenangi Kejohanan Terbuka Wanita Amerika Syarikat dengan perbezaan empat pukulan.

Lebih manis kejayaannya itu dicatat selepas terpaksa berehat beberapa bulan kerana kecederaan ibu jari tangan yang memaksanya menjalani pembedahan malah dia beraksi dengan balutan di tangannya.

Ikuti temubual dengan Paula, pemain yang lebih dikenali dengan panggilan “Pink Panther” kerana sering memakai baju atau pakaian berwarna merah jambu, selepas kemenangan bersejarahnya itu.

SOALAN (S): Apa maknanya kemenangan ini buat anda selepas apa yang anda lalui selama ini? Anda mungkin pernah berasa tidak akan bermain lagi?

PAULA CREAMER (PC):
Ia sesuatu yang menakjubkan, memang benar. Saya sering memikirkan karier saya sebagai pemain yang mantap, tapi soalan itu sering ditanyakan: Kenapa anda tidak pernah memenangi kejuaraan utama? Hari ini saya sudah memenuhinya, jadi anda mungkin tidak perlu bertanyakan lagi mengenainya.Sudah tentu saya berasa lega, tapi saya sedar masanya sudah tiba. Saya hanya bersabar. Anda tahu saya menjalani pembedahan dan ada ketikanya sebelum pembedahan saya terfikir mungkin tidak akan bermain golf lagi, terutama jika pembedahan tidak berjaya. Tapi hari ini saya memegang dan menjulang trofi Terbuka AS. Jadi ia memang mengagumkan.


S: Nama anda seiring dengan Patty Burg, Babe Zaharias, Louise Suggs, Mickey Wright, Patty Sheehan, Betsy King dan Annika Sorenstam. Ini adalah kejuaraan tertua dalam jelajah profesional wanita.PC: Ya, saya tidak boleh membayangkan memenangi kejuaraan utama saya di sini. Adalah satu pengiktirafan untuk meletakkan nama saya di samping pemain ini. Juli Inkster sering menjadi model dalam karier golf saya jadi adalah mengagumkan nama saya berada di trofi ini di samping namanya. Ia satu pencapaian hebat buat saya, dan harapnya saya mampu membawa pulang banyak lagi kejuaraan sebegini.


S: Bagaimana anda jelaskan mampu memenangi kejohanan ini ketika anda mungkin cergas 80 peratus saja, apatah lagi anda gagal memenanginya ketika cergas 100 peratus?

PC:
Saya tidak fikir saya 80 peratus cergas. Saya mungkin berasakan diri saya hanya 60 peratus cergas. Ia hanya membuktikan bagaimana mental memainkan peranan dalam sukan golf.

Saya percaya saya boleh melakukannya. Saya percaya boleh melakukannya apabila ada balutan di tangan saya. Itulah sebabnya saya hanya memikirkan Oakmont, Oakmont, Oakmont. Lantas ia sesuatu yang mengagumkan kerana ia menjadi di sini.

S: Sejak akhir-akhir ini Paula, pemain Korea terlalu dominan dalam kancah golf wanita. Adakah anda fikir kejayaan mereka sebagai satu dorongan buat anda dan pemain Amerika lain untuk meningkatkan permainan anda?

PC:
Ya, saya fikir kami memberi motivasi antara satu sama lain. Anda sedar pengaruh pemain Asia terlalu kuat dalam jelajah ini dan kami sudah buktikan dalam beberapa bulan kebelakangan bahawa pemain Amerika pun boleh melakukannya. Adalah penting kami belajar bersama dan memberikan motivasi sesama sendiri.

S: Adakah anda fikir selepas berehat beberapa bulan dan menjalani pembedahan menjadikan anda seorang pemain yang berbeza sama sekali?

PC:
Sudah tentu, saya amat berbeza minggu ini, ia memang pasti. Saya mahu agresif. Itulah cara saya bermain golf. Saya juga berasa sudah belajar bagaimana untuk bermain pada kejohanan utama.

S: Selama tempoh anda berehat itu juga, adalah ia mengubah anda sebagai seorang individu?

PC:
Ya, saya fikir saya lebih matang. Duduk di rumah bukanlah sesuatu yang saya suka lakukan sebaliknya saya banyak menonton golf, video Piala Solheim memberikan motivasi buat saya. Saya benar-benar fikir ia membuatkan saya lebih kuat dan mahu keluar dan bermain bagus mewakili negara selain melakukan perkara yang baik di lapangan golf.

S: Apa yang lebih penting bagi anda, menjadi seorang pemain Amerika yang memenangi Terbuka AS atau memenangi kejuaraan utama sulung anda?

PC:
Saya sering memikirkan pemain Amerika patut menjulang trofi Terbuka AS ini. Ia adalah Terbuka AS untuk pemain AS, jadi saya fikir ia satu perkara penting. Saya benar-benar berasa saya mewakili negara. Saya cuba untuk keluar setiap hari dan bermain dengan penuh bangga.

S: Bapa anda dibesarkan tidak jauh dari sini di Butler. Untuk memenangi Terbuka AS, kejuaraan utama sulung anda di sini di Oakmont, bolehkah anda jelaskan apa rasanya menang di sini?

PC:
Agak melucukan kerana kami ada beberapa petanda, kami fikir minggu ini ia mungkin berlaku. Anda tahu ayah saya tinggal di sini selama 12 tahun tidak jauh dari sini. Tapi saya tidak mahu ia menjadi badi. Saya tidak mahu berkata, ia mungkin menjadi. Tapi ia menjadi dan ia lebih manis. Saya ada ramai ahli keluarga yang datang minggu ini yang tinggal di Upstate New York, tidak jauh dari sini.

S: Dua soalan: Adakah sesuatu yang anda sering berkata, apabila akhirnya saya memenangi satu kejuaraan utama, saya akan membeli benda ini atau benda itu?

PC:
Ya, memang ia sesuatu yang saya sering mahukan. Ia adalah tas tangan.

S: Anda memerlukannya.

PC:
Ia amat memalukan. Saya sering berkata...

S: Bagaimana bentuknya?

PC:
Ia adalah beg Birkin. Ia memang beg yang menakjubkan. Bertahun-tahun saya menanti.

Saya tidak pernah memikirkan berapa banyak wang untuk membelinya tapi saya sering berkata, apabila saya memenangi kejuaraan sulung saya, saya mahu menikmati sukan terjunan udara. Memang benar. Jika saya menang kejuaraan utama pertama saya, kami akan pergi melakukan terjunan udara.

S: Siapa yang anda maksudkan “kami” itu?

PC:
Ayah saya pernah bertugas dengan tentera laut, jadi dia banyak kali melakukan terjunan udara. Saya fikir ayah, Jay, pengurus saya dan saya fikir David, jurulatih saya. Colin (Cann), caddie saya takutkan ketinggian, jadi mungkin saya perlu memenangi sesuatu seperti Grand Slam sebelum dia boleh melakukan terjunan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: