KUALA LUMPUR: Semuanya kelihatan seperti produk tulen, namun selepas diamati didapati ribuan produk katrij, reben dan toner berjenama terkenal yang dijual sebuah syarikat dikesan produk palsu.
RAMPAS...Othman (dua dari kanan) menunjukkan katrij yang dirampas dalam serbuan, semalam.
Namun, kegiatan itu terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur menyerbu dua premis di kawasan itu sebelum merampas lebih 2,000 barangan tiruan katrij, reben dan toner.
Dalam operasi kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, KPDNKK disertai lapan anggota penguat kuasa dan tiga wakil pemilik cap dagang menyerbu dua premis perniagaan yang dipercayai mempunyai hubungan perniagaan.
Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK, Othman Nawang, berkata, dalam serbuan pertama ke atas sebuah premis hanya menemui tiga katrij tiruan dan 20 kotak bungkusan.
Bagaimanapun, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dipercayai pemilik premis terbabit ditahan.
“Kami (KPDNKK) kemudian menyerbu premis yang dijadikan stor simpanan berhampiran premis pertama kira-kira 15 minit kemudian.
“Hasil pemeriksaan menjumpai 800 katrij, 500 toner dan 600 reben serta beberapa mesin pembungkusan dengan nilai rampasan RM320,000,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Menurutnya, barangan tiruan itu dijual pada harga sama dengan produk asli kerana bentuk dan bungkusan barangan tiruan terbabit juga sama.
Difahamkan, perbezaan barangan asli dan tiruan itu hanya boleh dikesan wakil pemilik cap dagang yang menyertai operasi itu.
Bagaimanapun, tiada individu ditahan dalam serbuan kedua kerana berkemungkinan sindiket terbabit sudah mengesan kehadiran pihak berkuasa terlebih dahulu melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar stor.“Kami mendapati kegiatan menjual produk tiruan itu aktif sejak setahun lalu. Malah, stor terbabit dipercayai dijadikan tempat untuk membungkus produk berkenaan berdasarkan penemuan mesin pembungkusan dan beberapa alatan bungkusan lain,” katanya.
Kedua-dua premis itu turut disita. Kes itu disiasat mengikut Perihal Dagangan 1972, jika sabit kesalahan bagi individu boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat denda RM250,000 bagi kesalahan pertama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: