Friday, July 9, 2010

Santuari Harapan Bagi Lokimala Dan Rakan-Rakan

Selendang merupakan seekor gajah yang kurang bernasib baik setelah kehilangan sebahagian daripada kaki kiri depan kerana perangkap dawai. Oleh kerana peluang survival Selendang di habitat semulajadi adalah tipis, gajah tersebut diberi perlindungan di Pusat Pemuliharaan Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lancang, Pahang.

KARAK: Lokimala, disusuli Myanthonpyan bangun dengan dua kaki dan mengangguk kepala apabila nama mereka dipanggil.

Kedua-duanya jelas menonjol berbanding rakan yang lain memandangkan masing-masing bersaiz besar dan akan bertindak pantas apabila nama mereka dipanggil.

Lokimala dan Myanthonpyan adalah penghuni sebuah pusat yang berlainan sama sekali, Pusat Pemuliharaan Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lancang, Pahang.

Rupa kedua-dua gajah India ini yang berdiri sebaris bersama gajah tempatan yang lain mengagumkan pelawat, warga tempatan dan asing.

Di pusat ini, ramai daripada pelawat buat pertama kali mendekati gajah teruja apabila mereka dibenarkan menyuap makanan ke mulut gajah itu sendiri, mendengar deruman gajah dari dekat, dan menyaksikan haiwan ini mandi di sungai berhampiran.

Pusat ini memberikan satu gambaran mengagumkan bagaimana manusia dan haiwan mamalia terbesar di darat mengetepikan rasa takut dan keraguan untuk mengenali satu sama lain.

SEBUAH SANKTUARI HARAPAN

Lokimala, dalam lingkungan usia 70-an, dan Myanthonpyan, dalam lingkungan usia 30-an merupakan 'senior' di pusat ini yang juga bertindak sebagai rumah kebajikan bagi gajah yang cacat atau yang kehilangan habitat.

Norain Saudi, seorang pegawai di pusat itu, yang memperkenalkan gajah-gajah itu, berkata Lokimala dari Assam, India, dan Myanthonpyan dari Myanmar dibawa ke sini bagi membantu dalam program penempatan semula gajah. Lokimala yang tiba di sini pada awal 1970-an masih berperanan dalam program penempatan semula.

Selain daripada dua gajah asing ini, juga terdapat gajah tempatan yang menjadikan pusat pemuliharan ini sebagai kediaman mereka.

Antaranya ialah gajah yang kurang bernasib baik seperti Selendang yang hilang sebahagian daripada kaki kiri depan kerana perangkap dawai sementara Sanum kehilangan sebahagian daripada ekornya kerana serangan harimau.

Oleh kerana kecacatan fizikal ini, peluang survival mereka di habitat semulajadi adalah tipis dan dengan itu mereka diberi perlindungan di pusat ini.

Sementara itu, Abot seekor gajah jantan berusia 15 tahun dan Mawar seekor gajah betina berusia 10 tahun, kedua-duanya dari Johor, dipindahkan selepas mereka menceroboh ladang dan penempatan manusia. Seekor lagi gajah betina berusia lapan tahun, Chery, dari Perak juga dipindahkan ke sini selepas ditemui merayau di kawasan penempatan manusia.

Nasib mereka menunjukkan konflik antara gajah dan manusia. Bagaimanapun, Abot, Mawar dan Chery bernasib baik kerana dapat sampai ke pusat ini dan terlepas daripada menjadi mangsa ditembak atau diracun.

MEMAHAMI GAJAH

Di pusat pemuliharan ini, 21 ekor gajah penghuni menghiburkan pelawat dengan pelbagai aktiviti selain membantu memindahkan gajah-gajah liar apabila perlu.

Pusat ini juga menerangkan nasib yang dialami gajah-gajah ini dan mengajar masyarakat bahawa haiwan-haiwan ini perlu dilayan dengan baik jika kita mahu menyelamatkannya daripada kepupusan.

Lebih daripada itu, pusat ini membantu manusia menghargai alam semulajadi. Ini membantu dalam meningkatkan kesedaran dan penghargaan yang lebih lagi bukan sahaja bagi gajah tetapi juga semua bentuk kehidupan.

Dalam mendekatkan jurang antara manusia dan gajah, Pandan yang berusia dua tahun dan Langsat yang berusia tiga tahun menjadi tumpuan. Para pelawat ke pusat ini bebas untuk memberi makan kepada kedua-dua anak gajah ini dengan tebu yang disediakan oleh penjaganya. Selain daripada kedua-dua anak gajah ini, gelagat Tapis berusia lapan bulan yang minum susu daripada sebuah botol susu besar juga menawan hati pengunjung.

Kanak-kanak dengan mudah mendampingi ketiga-tiga anak gajah ini dan ini membantu mewujudkan penghargaan bagi gajah dari awal lagi.

Gajah dan manusia telah wujud bersama-sama selama ini tetapi malangnya manusia hanya mula menghargai haiwan ini sejak kebelakangan ini. Lokimala, Myanthonpyan, Selendang, Sanum, Abot, Mawar, Chery, Pandan, Langsat, Tapis dan gajah-gajah lain di pusat pemuliharaan ini membawa harapan baru kepada populasi gajah di negara ini yang semakin menyusut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: