KUANTAN - Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2010 di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 2 di sini bermula 16 hingga 18 Julai ini dijangka menarik lebih 10,000 orang pengunjung.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Pahang, Zahari Abdul Aziz berkata, pelbagai persiapan mula dijalankan sejak semalam dan acara utama adalah majlis penyerahan anugerah kepada 20 koperasi cemerlang dari seluruh negara.
"Sambutan HKN tahun ini merupakan kali pertama diadakan di Pahang.
"Dengan itu, pihak suruhanjaya di Pahang memberi komitmen yang tinggi bagi memastikan acara tersebut paling meriah dan bersejarah selain mendidik orang ramai untuk memahami koperasi," kata beliau ketika dihubungi semalam.
Menurut Zahari, persiapan akhir kini tertumpu kepada penyediaan 150 petak niaga yang menempatkan ruang pameran serta kaunter maklumat untuk peserta.
Sebanyak 110 entiti koperasi, 15 perusahaan kecil serta agensi-agensi kerajaan akan mengambil bahagian pada majlis sambutan itu.
"Penganjuran di Pahang kali ini juga lebih mengutamakan kesedaran orang ramai mengenai peranan mereka dalam memantapkan ekonomi negara melalui cara menyertai koperasi.
"Oleh itu, kita juga akan pastikan kedudukan semua petak niaga berada dalam keadaan yang selesa untuk peserta dan pengunjung.
"Kita berharap orang ramai akan datang beramai-ramai ke sini bagi mendapatkan pelbagai maklumat koperasi selain mendapat akhbar Kosmo! yang akan diedarkan percuma sebanyak 2,000 naskhah yang disumbangkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada hari pembukaan nanti," katanya.
Sementara itu di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin program tersebut akan mendapat sambutan daripada orang ramai.
"Ini merupakan sambutan kali kesembilan Hari Koperasi Negara sejak dilancarkan pada tahun 2002 dan merupakan program kemuncak tahunan yang penting sejak gerakan koperasi mula bertapak di negara ini pada 21 Julai 1922," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Menerusi tema 'Masyarakat Bersatu Koperasi Maju', seramai 3,000 pemimpin koperasi dari seluruh negara akan berhimpun di Kuantan untuk memberi sokongan bagi menjayakan program tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: