KUALA LUMPUR - Kerjasama kerajaan diperlukan bagi menyokong penubuhan bursa saham berlandaskan syariah bagi memberi alternatif kepada pelabur dalam penawaran urus niaga berbanding pasaran konvensional sedia ada.
"Melalui krisis yang melanda dunia kini, kita yakin bursa saham berlandaskan syariah ini dapat menarik minat lebih ramai pelabur dengan pilihan melalui penawaran saham-saham yang mengikut perspektif Islam," kata bekas Presiden Bursa Malaysia, Datuk Mohd. Salleh Abdul Majid.
Beliau ditemui Bernama selepas pembentangan kertas kerja: "Model Baru Ekonomi: Tinjauan Dari Perspektif Islam" pada seminar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini semalam.
"Kita perlukan pasaran yang ditakrifkan sebagai berlandaskan syariah, sebagai alternatif kepada bursa saham sedia ada," katanya.
Menurut Mohd. Salleh, penubuhan bursa saham berlandaskan syariah itu bakal digabungkan bersama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang membabitkan tujuh hingga lapan negara pada peringkat permulaan.
"Kita berharap negara akan mendapat manfaat daripada segi nilai pasaran sekarang dan kita cuba merevolusikannya kerana ia melibatkan beberapa negara," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: