Monday, July 5, 2010

Saiz bukan jadi ukuran



Biasanya pelbagai persepsi negatif akan dilemparkan terhadap wanita berbadan gempal atau pun bersaiz XXL. Malah ada juga wanita bersaiz gempal akan diejek mahu pun dikutuk kerana saiz badan mereka.

Bagaimanapun, jangan sangka mereka tiada tempat dalam dunia glamor yang diimpikan ramai wanita cantik di luar sana kerana Nor Syuhaida Ab Razak berjaya membuktikan wanita berbadan besar juga ada tempatnya di dalam industri.

Nor Syuhaida berkata, dia merasa cukup bertuah kerana percubaannya ketika uji bakat drama Dottie membuahkan hasil apabila terpilih daripada 15 gadis bersaiz sama yang memasang impian bergelar pelakon terkenal.

Menerusi drama terbaru terbitan Radiusone Sdn Bhd berjudul Dottie, Syuhaida diberi kepercayaan membintangi 13 episod di bawah arahan Ghaz Abu Bakar dan Nizam Zakaria. Malah lebih istimewa lagi, ini adalah penampilan sulung Nor Syuhaida sebagai pelakon utama.

Bagi anak gadis yang berasal dari Taiping ini dia tidak pernah menyangka dirinya akan menjadi tunjang utama, ditambah ini merupakan penglibatan pertamanya di dalam industri hiburan tanah air.

”Dulu semasa di zaman persekolahan, saya ada berlakon teater. Tapi, kalau hendak berlakon secara komersial, ia tidak pernah terlintas dalam fikiran saya, kerana semua orang tahu kalau anda mahu aktif dalam dunia lakonan, penampilan serta bentuk badan amat penting,

“Namun, tanggapan saya berubah sebaik dimaklumkan seorang teman tentang uji bakat mencari pelakon baru yang berbadan gempal, saya terus menghantar maklumat peribadi untuk mencuba nasib,” kata anak sulung dari lima adik-beradik ini.

Selain sekadar mencuba nasib, jalan cerita yang cuba ditonjolkan dalam Dottie menyebabkan Nor Syuhaida begitu berkobar-kobar untuk mencuba.

“Dottie seolah-olah cermin kepada diri saya. Saya nak buktikan orang berbadan besar juga boleh berjaya lebih-lebih lagi dalam industri hiburan, dan saya rasa tiada masalah untuk membawakan watak Dottie,” katanya.

Malah, berlinang air mata Nor Syuhaida saat mengimbau kembali nasib dirinya yang kerap menjadi bahan cemuhan dan ejekan semenjak dari kecil lagi kerana berbadan gempal.

“Saya tidak pernah kurus sejak kecil kerana saya sering dimanjakan serta diberi makan berlebihan sejak kecil. Semuanya gara-gara ibu bapa saya yang ketika itu terlalu teruja menimang cahaya pertama selepas menunggu 3 tahun,”

“Saya kerap mengalami perkara yang memalukan dalam hidup saya. Ada satu hari, ketika saya mahu mencuba baju di sebuah butik, saya tidak dibenarkan mencuba baju di situ kerana dikhuatiri akan mengoyakkan baju-baju di situ,

“Insiden itu amat memalukan. Namun, selepas lama menjiwai watak Dottie, tahap keyakinan saya juga bertambah. Watak ini memang banyak membantu saya secara peribadi,” katanya.

Kebiasaannya setiap individu yang berbadan besar akan diberi jolokan nama ejekan, situasi ini juga dilalui Nor Syuhaida yang lebih dikenali sebagai SG ketika zaman persekolahannya dahulu.

”Saya selalu dihina dan diejek oleh rakan-rakan sekolah dengan panggilan dan gelaran SG iaitu ‘Syuhaida Gemuk’. Memang, sedih sangat bila diejek macam tu. Tapi lama-kelamaan saya jadi lali dengan panggilan itu,” kata pelajar semester kelima Diploma Multimedia dan Teknologi ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: