Monday, July 5, 2010

Drama Dottie bakar semangat wanita gempal

Sebelum ini kebanyakan drama mahupun filem pasti akan menjadikan individu berbadan ‘comel’ (besar) sebagai sasaran bahan ejekan. Ini menyebabkan kebanyakan orang bertubuh gempal menjadi rendah diri dan berasa terasing setiap kali berhadapan dengan orang ramai.

Malah, senario itu bukan perkara baru yang dilihat, realitinya juga orang bertubuh besar sering diperlekehkan. Tetapi siapa kata orang yang bertubuh gempal tidak boleh berjaya?

Kerangka minda masyarakat kini akan cuba dibuka menerusi drama bersiri romantik komedi terbaru, Dottie yang mempertaruhkan sesebuah watak yang wujud dalam kelompok masyarakat kini tetapi kadang-kala kurang diberi perhatian kerana rupa paras dan saiz fizikal.

”Kami tidak sekali-kali menjadikan mereka sebagai bahan ketawa. Pastinya mereka yang bertubuh gempal akan punyai keyakinan diri yang lebih tinggi selepas menonton Dottie kerana kami mempertaruhkan watak yang wujud dalam masyarakat tetapi kadang kala kurang diberi perhatian kerana rupa paras dan fizikal. Kami cuba berikan motivasi menerusi Dottie dan pastinya penonton akan terpikat dengan perwatakannya yang sangat comel,” kata Ghaz Abu Bakar, pengarah pertama drama Dottie.

Istimewanya drama ini dilihat secara tidak langsung dapat memberi motivasi kepada orang ramai bahawa saiz tubuh badan bukanlah penentu segala-galanya kerana mereka juga mempunyai kualiti tersendiri dan mampu bersaing setaraf dengan orang lain.

Selain itu drama bersiri ini juga cuba menyingkap perasaan seorang yang berasa rendah diri dengan keadaan fizikalnya yang dikatakan menjadi halangan terbesar dalam hidupnya untuk melakukan sesuatu dan seterusnya menolak bahawa bentuk fizikal adalah penentu kejayaan seseorang.

Dottie mengisahkan tentang seorang gadis berbadan gempal yang berkeyakinan tinggi mengejar impian dan cita-cita menjadi hos rancangan TV. Kecekalan Dottie dan keikhlasannya telah memberi satu peluang untuk Dottie mencapai cita-citanya.

Sikap Dottie yang menyenangkan dan pandai mengambil hati orang di sekeliling membuatkan dia disayangi ramai dan dia juga tidak terlepas dari dicemburui orang.

Dottie juga mempunyai bakat dalam bidang fesyen dan juga dalam bidang pengacaraan. Demi mengejar cita-citanya, Dottie mengetepikan perasaan malu dan sentiasa bersabar untuk mencapai matlamatnya. Tetapi, mampukah Dottie berjaya mengejar cita-citanya?

Pendatang baru, Nor Syuhaida akan menjayakan watak sebagai Dottie ini dan turut diserikan dengan lakonan Marsha Milan London, Maya Matahari, Elliza Razak, Saharrudin Yaacob, Sharnaaz Ahmad dan Noryati Taib. Jangan lupa saksikan Dottie di Astro Ria, setiap hari Isnin, jam 10.00 malam bermula 5 Julai 2010 ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: