Thursday, July 1, 2010

Fiesta Jom Sihat kutip RM30,000!


BARISAN artis yang menyertai Konsert Pancaindera sempena Fiesta Jom Sihat di Sekolah Menengah Teknik Tengku Ampuan Afzan di Bentong, Pahang baru-baru ini.


MERIAH! Hasil kerjasama yang diberikan oleh 14 artis tempatan dalam menjayakan Fiesta Jom Sihat - Hidup Sungguh Bermakna, majlis anjuran Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Sekolah Menengah Teknik Tengku Ampuan Afzan (SMTTAA), Bentong, berjaya mengutip wang sebanyak RM30,000.

Majlis mendapat kerjasama Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, akhbar Mingguan Malaysia, Prostar Malaysia dan Kosmo!. Wang tersebut akan digunakan untuk kemudahan pelajar-pelajar sekolah tersebut dan sumbangan juga diberikan kepada anak-anak miskin tegar.

Menariknya, para artis yang hadir seperti Ery Putra, Azzarima, Fazli Zainal, Wana, Farawahida, Roslan Shah, Rizal (AF5), Hairi (Anak Wayang), Syed Ali, Nine Coco, Watie Sadali, Azam Pitt, Farah Asyikin dan Sabhi Sadhi sanggup tidur di asrama sekolah tersebut beramai-ramai agar dapat mencapai matlamat untuk mengumpul dana dan menyampaikan mesej-mesej positif kepadai para pelajar.

Satu pengalaman yang unik bagi para artis ini, sepanjang dua hari berkampung di SMTTAA (26 dan 27 Julai lepas), mereka turut terlibat dalam pelbagai aktiviti bersama-sama para pelajar tersebut seperti gotong-royong, acara tarik tali, senam aerobik poco-poco serta beramah mesra dengan peminat-peminat.


KIRI: Farawahida tidak ketinggalan menghiburkan peminatnya.


Malah sebelum ke sekolah tersebut, para artis berkumpul di pejabat Utusan dan berkonvoi menaiki kereta Odyssey yang ditaja oleh Kelab Honda Odyssey Malaysia.

Saat tiba di Bentong, para artis disambut oleh penduduk-penduduk di sana dengan mengadakan kenduri kecil sebagai tanda menyambut tetamu yang datang.

Pertama kali menyertai aktiviti kemasyarakatan ini, pelakon Ery Putra berkata, acara ini dapat memberikan jalinan kerjasama yang sihat bersama golongan artis, pelajar serta penduduk di sekitar Bentong yang hadir.

"Ia satu pengalaman yang menarik buat kami. Memandangkan saya mempunyai jadual kerja yang ketat, agak sukar untuk saya berinteraksi dengan peminat-peminat.

"Inilah peluang saya serta rakan-rakan artis untuk mengenali peminat dengan lebih dekat dan pada masa yang sama, kami menjalankan tanggungjawab kami sebagai artis dalam menjayakan kempen kesihatan ini.

"Dua hari duduk di asrama, terasa seperti kembali ke zaman sekolah pula. Mungkin, untuk acara akan datang, duduk di khemah pun menarik juga.


ATAS: Aksi lincah Wana menghiburkan penonton.


Bagi penyanyi Farawahida pula, dia agak risau bila melihat cara pemakanan masyarakat tempatan yang agak berat di mana menu utama iaitu nasi lemak, roti canai dan teh tarik menjadi sarapan mereka.

Lalu, acara seperti Fiesta Jom Sihat ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan masyarakat tempat untuk mengubah cara pemakanan mereka.

"Bayangkan kalau, sarapan pagi sudah dihidang dengan makanan berat, menu apa pula yang akan dimakan pada waktu tengah hari dan malam?

"Acara ini sememangnya membantu masyarakat kita untuk hidup lebih sihat. Sama juga seperti saya, banyak pengajaran baru yang diterima melalui program ini.

"Sebagai seorang artis, kami akan menjadi ikutan umum dan rasanya penglibatan artis secara tidak langsung dapat menjayakan kempen kesihatan sebegini.

"Sebab itu, saya turut menjaga kesihatan diri agar lebih mudah menjadi ikutan semua. Saya sarankan, mulakan hari anda dengan makanan serat yang tinggi," nasihat Fara yang turut membuat senaman di rumah bagi menguatkan stamina.

Sepanjang aktiviti dijalankan, padang SMTTAA dipenuhi dengan para pelajar serta penduduk yang berdekatan.

Bagaimanapun, acara kemuncak iaitu konsert Pancaindera yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu malam terpaksa ditangguh ke hari berikutnya iaitu pada pagi Ahad kerana masalah teknikal akibat hujan lebat.

Walaupun ditunda, konsert yang diacarakan oleh Roslan Shah masih lagi berjaya dengan jumlah penonton yang agak ramai.

Para artis juga tidak kira pelakon ataupun penyanyi, cuba menarik perhatian orang yang berjalan-jalan di tepi sekolah untuk memeriahkan lagi konsert tersebut.


KANAN: ANTARA artis yang terlibat bermain 'Petanque' bersama kakitangan sekolah.


Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, dia gembira kerana para artis bukan sahaja menyanyi kosong sebaliknya mereka turut memberi pesanan ringkas kepada para pelajar sebelum memulakan nyanyian mereka.

"Benar kata Menteri Kesihatan kita, Datuk Seri Liow Tiong Lai, bahawa acara hiburan adalah penting untuk mengurangkan tekanan jiwa.

"Saya rasa, konsert hiburan sememangnya sesuai diselitkan bagi majlis-majlis kempen kesihatan. Malah, saya terharu bila mendengar nasihat penyanyi Fazli Zainal kepada para penonton, 'Belajar rajin-rajin kerana anda adalah generasi masa depan. Mungkin satu hari nanti anda akan menjadi lebih baik daripada kami di sini'.

"Saya percaya, kata-kata itu akan menjadi penyuntik semangat para pelajar di sana," katanya.

Selain itu, Panca Idola yang merupakan pertandingan karaoke turut diadakan dan acara turut diselitkan dengan kejohanan Futsal Rentap Kosmo! yang bertujuan berinteraksi dengan pengunjung khususnya golongan remaja menerusi aktiviti sihat.

Dalam pada itu, pengunjung turut dididik dengan cara pemakanan yang seimbang.

Fiesta Jom Sihat dimeriahkan dengan penglibatan beberapa agensi yang antaranya seperti Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Bank Rakyat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Carrefour, Bank Rakyat, Ukhwah dan Nestle.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: