Norliza Mohd Ali, Rosyam Nor dan Sherene Azura Azli pada sidang media Pilih Kasih musim kali pertama.
SELEPAS mencetuskan fenomena dan tersenarai sebagai program paling tinggi rating dengan jumlah penonton mencecah hampir dua juta pada musim pertama, program realiti mencari bakat pelakon, Pilih Kasih kini kembali.Pilih Kasih, ilham aktor dan penerbit terkenal, Rosyam Nor yang mengangkat seni lakon sebagai konsep utama tidak menunggu lama bagi menghimpunkan pelapis pemain wayang bagi terus mewarnai pentas perfileman dan drama televisyen tempatan. Sentuhan aktor yang pernah menggenggam berpuluh-puluh anugerah serta mendapat pelbagai pengiktirafan itu tentunya berbeza selepas menggabungkan pengalaman, warna-warni, pahit manis serta salah silap versi pertamanya bagi diadun menjadi resipi terbaru bernafas berbeza untuk musim kedua.
Juara yang diangkat hampir setahun lalu pada musim pengenalannya, jejaka kelahiran Bagio, Filipina, Muhammad Iqbal Mazlan sudah membuktikan pilihan penonton yang bertindak selaku juri menerusi undian serta penjurian Rosyam sendiri yang mempunyai kuasa mutlak mengangkatnya sebagai 'arjuna wayang' dengan tawaran lakonan yang tidak henti hingga hari ini.
Telekom Malaysia (TM) masih lagi selaku penaja utama memandang perspektif positif sehingga bersetuju bekerjasama buat kali keduanya. Pembabitan TM Malaysia tidak hanya pada sandaran jenama mereka, sebaliknya TM turut mencuri peluang dengan memperkenalkan pelbagai promosi produk terbaru melalui mini karnival yang dilakukan di setiap lokasi sesi uji bakat serta di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Negeri Sembilan di mana pentas mingguan Pilih Kasih berlangsung selama 11 minggu.
Rosyam berkata, dia mempunyai dimensi terhadap karya istimewa yang juga cetusan idea sulungnya itu. Pilih Kasih musim kedua akan jauh lebih hebat dan menarik dari pelbagai aspek baik sudut penerbitan, persembahan mingguan mahupun bakat-bakat baru yang bakal dicungkil kali ini.
“Selain bertuah mendapat sokongan serta pimpinan daripada TM Malaysia yang sudi menaja sekali lagi serta kerjasama tanpa berbelah bagi daripada pihak penyiar rasminya, RTM, saya optimis dengan kontroversi dan spekulasi yang berterusan menghimpit Pilih Kasih. Malah saya akur segala kritikan atau apa saja pandangan luar kerana yakin, tiada titik permulaan yang sempurna sebaliknya setiap kekurangan yang ada masih bertimbun ruang bagi memperbaikinya.
"Usah menabur spekulasi atau sebarang persepsi negatif terhadap program-program bercorak realiti seperti ini. Kononnya nasib peserta terabai dan masa depan yang dijanjikan kian pudar sebaik mereka melangkah keluar daripada akademi seni lakon ini. Ini kerana Pilih Kasih dilaksanakan sebagai sebuah jambatan kepada mereka yang terpilih untuk terus menyeberang meraih populariti dan peluang ke fasa lebih tinggi tanpa perlu berenang dan berdepan dengan ancaman lemas.
"Versi kedua akan lebih dramatik, ketrampilan lebih jelas, peserta yang jauh lebih dinamik serta penerbitan yang tinggi kualitinya. Saya percaya konsepnya yang berbeza dan punya elemen tersendiri hingga menarik perhatian penonton televisyen kepada sebuah perspektif yang luas.
"Saya sendiri bersedia melancarkan idea ini sekali lagi ke kaca televisyen dan terus meneroka bakat-babak baru yang boleh menyinari industri seni lakon, selain menggantikan mana yang lama dan lumpuh. Pastinya, Pilih Kasih musim kedua ini akan memberikan satu hiburan ringan serta sajian lengkap drama dan emosi yang baru kepada penonton dan peminat industri perfileman," katanya.
Pertama kali suntikan seni lakon diserap dalam sebuah program realiti serta penjurian akhir yang terletak di tangan Rosyam selaku pengetua cukup menolak konsep Pilih Kasih sebagai produk televisyen yang lain daripada lain. Malah drama dan mainan emosi yang sarat sepanjang program ini menguatkan lagi pengarahannya.
"Sekali lagi, aktivis teater, pelakon dan pengarah terkenal yang lengkap dengan deretan anugerahnya, Erma Fatima berperanan sebagai tenaga pengajar bagi teater. Manakala Rosmina Tahir pula bakal mengendalikan pentas monolog yang terbukti fungsinya dalam menyingkap bakat dalaman yang melekat dalam jiwa setiap pelakon selain beberapa lagi tenaga pengajar lain yang mempunyai jalur kejayaan dalam lapangan kerjaya masing-masing.
"Justeru, saya tidak sekali terpalit rasa gusar dan gementar dalam melaksanakan program ini. Ini adalah sumbangan dan simbolik peralihan ilmu yang puas saya kutip sepanjang lebih 25 tahun sebagai pelakon kepada mereka yang benar-benar punya jiwa menyerang bagi memahat nama dalam industri yang penuh warna-warni ini sebagai pelakon yang versatil dan berkaliber," katanya lagi.
Pilih Kasih akan bersiaran sekali lagi menerusi RTM2 sebagai penyiar rasminya. Selain berbangga kerana saingan program realiti yang hampir sama tahun lalu gagal membolosi musim keduanya, RTM yakin pentas seni lakon komersial ini akan sekali lagi memberi impak dan menemani malam indah penonton setianya.
Pemburuan Rosyam bersama segerombolan tenteranya dalam mencari bakat-bakat baru untuk memenuhi 16 kerusi kosong untuk musim kedua ini akan kembali membakar semangat warga negara yang punya impian melangit bergelar pelakon terkenal bermula 10 Julai lalu ke tujuh bandar utama di seluruh negara.
Selepas, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor, uji bakat akan diadakan Sunway Carnival, Seberang Perai, Pulau Pinang pada semalam (Sabtu) dan hari ini (Ahad), diikuti Centre Point, Kota Kinabalu, Sabah (24 & 25 Julai), Tun Jugah, Kuching Sarawak (31 Julai & 1 Ogos), Johor Bahru (25 & 26 September), Kota Bharu, Kelantan (2 & 3 Oktober) dan berakhir di Kuala Lumpur pada 9 dan 10 Oktober ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: