Sunday, July 18, 2010

Tempah maut beli organ

ILUSTRASI organ dalaman manusia.
ILUSTRASI organ dalaman manusia.
Sindiket dalangi urus niaga di China, India

KUALA LUMPUR: Hampir 1,000 rakyat Malaysia yang membeli dan melakukan pembedahan organ di China dan India berdepan risiko jangkitan penyakit seperti hepatitis B, radang hati, HIV selain komplikasi organ baru tidak berfungsi, sekali gus boleh membawa maut.Keadaan ini berlaku disebabkan pengambilan ubat-ubatan antipenolakan yang tidak betul selain tiada pemantauan rapi kesesuaian organ penerima dan penderma sebelum pembedahan dilakukan kerana urusan jualbeli didalangi sindiket.Situasi itu lebih parah selepas China mengharamkan pemindahan organ daripada warga negara itu kepada rakyat asing sejak 2008, manakala India mengambil langkah sama pada 1994. Sebelum pengharaman itu, proses pemindahan organ dilakukan dalam bentuk 'hitam putih' bagi memudahkan rawatan susulan di negara asal.

Sejak 2000, seramai 856 rakyat negara ini memperoleh organ dari China, 64 dari India, 16 dari negara lain seperti Russia dan Australia manakala dua lagi tidak diketahui. Kebanyakan mereka membayar kepada sindiket antara RM70,000 hingga RM250,000 untuk satu buah pinggang.

Ketua Jabatan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Ghazali Ahmad ketika mendedahkannya, berkata baru-baru ini pihaknya mengesan penerima organ dari sebuah negara luar menghidap hepatitis manakala dua lagi dijangkiti HIV.

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati kerana jika prosedur pembedahan organ didalangi sindiket, isu keselamatan dan kesesuaian organ yang dipindahkan tidak diambil berat.
“Di Malaysia, pemindahan organ dilakukan dengan piawaian dan pemantauan kesihatan yang sangat ketat. Ia dilakukan di hospital kerajaan seperti Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Selayang selain beberapa hospital swasta,” katanya kepada Berita Minggu.

Difahamkan, rakyat Malaysia terpaksa membeli organ terutama buah pinggang di luar negara kerana kesukaran mendapatkannya dalam negara khususnya daripada penderma sukarela.

Sepanjang 2009, seramai 21,169 pesakit buah pinggang bergantung pada mesin dialisis dan daripada jumlah itu, kira-kira 6,000 berada dalam senarai menunggu mendapatkan ginjal baru.

Meskipun jumlah pengikrar untuk menderma organ sejak 1997 hingga Mei 2009, seramai 128,556 orang seperti direkodkan Pusat Sumber Transplan Nasional HKL, jumlah penderma sebenar cuma 14 orang setakat Mei 2009.

Katanya, trend pesakit Malaysia terutama yang menghidap penyakit buah pinggang mendapatkan organ dari negara luar seperti India dan Cina sudah dikesan sejak 1990 berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketika itu pesakit tertumpu di India sebelum beralih ke China sejak 1992, berikutan tindakan Kerajaan India mengharamkan pemerdagangan organ mengikut Akta Organ Manusia pada 1994.

Dr Ghazali berkata, India dan China tetap menjadi pilihan rakyat negara ini mendapatkan organ meskipun kedua-dua negara sudah mengharamkannya. Ini berdasarkan rekod Daftar Dialisis dan Transplan Malaysia yang merekodkan 109 pemindahan organ sepanjang 2009 tetapi hanya 63 dilakukan di Malaysia, manakala selebihnya di luar negara terutama di China dengan 38 kes.

“Kegiatan sindiket jualan organ ini memberi kesan negatif kepada pesakit dan juga belanjawan sistem penjagaan kesihatan Malaysia keseluruhannya. Misalnya, apabila berlaku komplikasi seperti organ baru tidak berfungsi, mereka mendapatkan rawatan susulan di hospital kerajaan.

“Tanpa rekod perubatan, kita sukar mengetahui keadaan sebenar pesakit apabila dia berdepan komplikasi terutama jika pesakit tidak bertindak balas dengan ubat anti-penolakan. Malah apabila berlaku jangkitan disebabkan penolakan, mereka memerlukan ubat khusus yang mencecah ribuan ringgit,” katanya.

“Ada kes, hospital terpaksa menggunakan peruntukan hingga RM20,000 sebulan untuk rawatan susulan terhadap seorang pesakit saja, kerana komplikasi jangkitan disebabkan penolakan organ baru sedangkan jumlah itu boleh diagihkan kepada pesakit lain yang lebih memerlukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: