Sunday, July 18, 2010

Apa Ceritanya: 'Saya cabar mereka lapor polis'

Tom bersama bekas kekasihnya Ferdzaus ketika ditemui wakil Bipop.
Tom bersama bekas kekasihnya Ferdzaus ketika ditemui wakil Bipop.
Tom, bekas kekasih mengaku tak pernah dera Ayien

TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Hanya disebabkan kata-kata dan kiriman SMS yang tidak diketahui maksud sebenar, mengundang padah dan derita kepada kehidupan Raja Farah Afzal Raja Ikram atau lebih dikenali sebagai Tom, 25, yang juga juara program realiti MyStarz LG musim ketiga. Tom menjadi mangsa pukul gara-gara dia mendakwa dirinya difitnah mendera seorang ibu yang sarat mengandung, selain menjalin hubungan sulit dengan suami wanita itu.Bermula dengan ruangan pojok terbitan laman web hiburan Melayu popular, Tom dikatakan seperti ‘perempuan murahan’ berlagak samseng apabila dia didakwa memporak-perandakan rumah tangga kenalannya sendiri apabila cuba merampas suami wanita yang sedang hamil dan pada masa sama menggunakan kekerasan terhadap wanita itu. Suami wanita yang didakwa menjalin hubungan intim dengan Tom dikatakan turut mendera isterinya. Disebabkan tidak tertahan menanggung penderitaan, ibu mengandung itu sempat mengirim SMS kepada keluarga mentuanya mendakwa dia kerap dipukul suami, manakala Tom sering menderanya. Lebih menyayat hati, si isteri juga mengadu, kononnya Tom tergamak bersetubuh dengan suaminya di depan matanya sendiri!

Justeru, bagi membersihkan namanya daripada fitnah berkenaan, Tom muncul menerusi rancangan hiburan popular TV3, Melodi pada 11 Julai lalu untuk menerangkan kedudukan perkara sebenar. Tom mendakwa, dia memang mengenali Mohd Ferdzaus Muhamad Jamil, 25, suami kepada wanita hamil itu atau Zaireen Sofiya Abu Bakar, 23, atau Ayien.

Tanpa berselindung Tom mengakui, Ferdzaus adalah bekas teman lelakinya dan hubungan mereka boleh diibaratkan sebagai cinta monyet itu hanya terjalin ketika mereka di alam persekolahan, bermula sejak di Tingkatan Dua. Kedua-duanya juga tinggal berjiran di Taiping, Perak. Namun, hubungan itu terputus ketika masing-masing masih menuntut di alam persekolahan lagi. Namun, Tom dan Ferdzaus tidak pernah bermusuh sehinggalah hari ini.

Akhirnya, Ferdzaus bertemu jodoh dengan Ayien, namun perkahwinan mereka dikatakan tidak mendapat restu daripada keluarga angkat Ayien yang memeliharanya sejak dia berumur setahun. Ketika Ayien sarat mengandung, Tom pulang bercuti ke Taiping. Bagi mengurangkan bebanan masalah yang ditanggung pasangan suami isteri berkenaan, Ferdzaus dan Ayien mengikut Tom pulang ke Kuala Lumpur dan mereka menetap sementara di rumah Tom.
Sementara menunggu Ayien melahirkan anak, Tom mendakwa dia banyak memberi bantuan kepada ibu hamil itu, bukan menderanya seperti didakwa keluarga angkat Ayien sehingga kononnya perbuatannya itu meninggalkan kesan lebam di mata dan luka di bahagian tangan seperti dicucuh api rokok terhadap tubuh Ayien! Keluarga angkat Ayien juga mendakwa air ketuban wanita itu pecah ketika melarikan diri daripada seksaan selepas dia dikatakan dikejar suami.

Namun, perkara yang berlaku adalah sebaliknya apabila Tom mengaku dialah yang membawa Ayien ke Hospital Sungai Buloh ditemani Ferdzaus pada saat dia melahirkan puteri sulungnya, Nur Qaseh yang dilahirkan pada 29 Jun lalu. Manakala hubungan Tom, Ferdzaus dan Ayien dikatakan sangat rapat.

Pun begitu, kenyataan akhbar melaporkan Azril Adzlee Ali atau Bulat, 30, abang angkat kepada Ayien, mendakwa adik angkatnya itu sering menjadi mangsa deraan suaminya. Malah, dia mendakwa Tom yang tinggal serumah dengan pasangan itu turut mendera adiknya, sekali gus menjadi punca keretakan rumah tangga Ayien-Ferdzaus apabila menuduh Tom menjalin kembali hubungan cintanya bersama Ferdzaus!

Justeru, apabila tersiarnya kenyataan Tom, Ayien dan Ferdzaus menerusi Melodi, baru-baru ini, yang membongkar segala kekusutan, Tom mendakwa keluarga angkat Ayien bengang dengan pendedahan itu, sekali gus terus mencari peluang untuk membelasah dirinya. Akhirnya, berlakulah pergaduhan membabitkan Tom, Ferdzaus dan Bulat serta beberapa individu pada jam kira-kira 4.30 petang, 11 Julai lalu sehingga laporan polis terpaksa dibuat Tom.

Pendedahan dalam rancangan Melodi

Apabila wakil B*Pop bertemu Tom dan Ferdzaus ketika mereka menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sungai Buloh selepas kejadian, kedua-duanya sedia membuka mulut menceritakan perkara sebenar.

“Saya akui pernah bercinta dengan Ferdzaus, tapi ketika zaman persekolahan dulu. Hubungan cinta itu memang dah lama putus, tapi kami masih kekal sebagai kawan. Apabila Ferdzaus berkahwin dengan Ayien, hubungan saya dengan Ayien tak berapa rapat. Dia tahu, saya adalah bekas kekasih suaminya. Pada awal perkenalan kami, Ayien nampak tak selesa dengan saya, tapi lama kelamaan, kami bertiga jadi kawan rapat.

“Justeru, segala dakwaan berunsur fitnah yang tersebar di laman web hiburan dan ruangan gosip mendakwa saya dan Ferdzaus sama-sama mendera Ayien, semua itu tidak pernah berlaku. Sampai satu peringkat, ada laporan mendakwa saya bersama Ferdzaus mengikat tangan dan kaki Ayien serta memukulnya sehingga lemah, lalu kami melakukan perbuatan terkutuk di depan matanya. Itu adalah tuduhan melampau dan fitnah semata-mata!

“Lalu saya mendapat pertolongan daripada Melodi untuk memperbetulkan keadaan, sekali gus membersihkan nama saya yang terjejas teruk gara-gara fitnah berkenaan. Semuanya sudah diterangkan dengan jelas dalam Melodi dan saya menjangkakan ia sudah berakhir. Namun, saya dimaklumkan oleh Nas Ahmad (kakitangan TV3), abang angkat Ayien, Bulat tak puas hati dengan pendedahan di Melodi.

“Saya, Ayien dan Ferdzaus ketika itu sedang makan, tapi apabila Ayien dimaklumkan mengenai ketidakpuasan hati Bulat, dia terus menghubungi abang angkatnya itu. Bulat menjelaskan, dia sebenarnya tiada masalah dengan Ayien mahupun Ferdzaus, sebaliknya dia tak puas hati dengan saya kerana dia diberitahu, saya pernah memukul Ayien.

/Benarkan Ayien jumpa media'

“Akhirnya kami bersepakat untuk bertemu menyelesaikan masalah berdekatan Balai Polis Damansara. Mula-mula memang Bulat saja bertemu kami, tapi tidak lama selepas itu, saya dapati satu demi satu kereta menghampiri kawasan berkenaan, termasuklah van yang membawa sekumpulan wartawan. Saya dan Bulat duduk di tepi jalan, berbincang.

“Bulat terus meluahkan perasaan tidak puas hatinya kerana mendakwa saya mendera Ayien. Ketika saya masih berbual dengan Bulat, tiba-tiba daripada jauh, datang menerpa seorang lelaki tendang dan sepak belakang badan, kepala, perut serta bahagian muka saya! Ayien pula terus memeluk saya. Kalau benar Ayien bermasalah dengan saya, kenapa dia sanggup mempertahankan diri saya dalam keadaan dirinya yang masih berpantang?

“Ayien meminta kepada anggota keluarganya supaya tidak terus memukul saya sehingga dia sendiri kena tarik. Ayien merayu mempertahankan saya, dia memberitahu saya tak bersalah, sebaliknya anggota keluarga beliau mendakwa saya ‘syaitan’!,” kata Tom.

Sebenarnya perkahwinan Ayien dengan Ferdzaus tidak mendapat restu keluarga angkat Ayien, justeru pelbagai cara mereka gunakan untuk memisahkan pasangan suami isteri itu termasuk menggunakan Tom sebagai orang ketiga dan dalam masa sama menjatuhkan karier seni penyanyi baru itu.

“Mereka bukan sekadar menyebarkan fitnah, malah pukul saya depan orang ramai, siap bawa wartawan untuk memalukan saya. Yang pukul saya pula lelaki, bukannya perempuan. Sekiranya keluarga Ayien tetap dengan tuduhan, saya mendera Ayien, saya cabar mereka buat laporan polis, saya mendera Ayien! Sehingga hari ini pihak polis belum menghubungi saya atas sebarang dakwaan.

“Selain itu, benarkan Ayien bertemu media massa dan biar wartawan melihat sendiri keadaan fizikal dirinya sama ada terdapat sebarang kesan lebam atau luka akibat penderaan atau sebaliknya. Saya cabar mereka! Apabila perkara ini sudah menjadi kes polis, saya menyerahkan kepada pihak berkuasa membuat siasatan. Sekiranya ia perlu berakhir atas landasan perundangan, saya akur,” kata Tom lagi.

Bekas kekasih Tom beri penjelasan

SEMENTARA itu, Ferdzaus turut mengakui dia memang pernah menjalin hubungan istimewa bersama Tom, namun ia sudah lama berakhir ketika masing-masing masih menuntut di sekolah menengah. Sudah namanya pun cinta monyet, perhubungan mereka tidak kekal apabila kedua-duanya bertemu jodoh dengan pasangan masing-masing.

“Saya pernah memberitahu Ayien, dulu zaman sekolah saya berkawan rapat dengan Tom. Apabila masing-masing sudah dewasa, takkan kami nak jadi musuh. Setiap kali Tom pulang ke kampung, dia lalu depan rumah saya, takkan saya tak tegur. Kami pernah terputus hubungan, tapi apabila bertemu semula dengannya, saya sudah pun berkeluarga. Namun, antara saya, Ayien dan Tom, kami tak berdepan sebarang masalah.

“Tiba-tiba keluar gosip di laman web dan akhbar, kononnya saya masih menjalin hubungan sulit dengan Tom! Ayien apabila mendapat tahu gosip berkenaan, dia tergelak. Namun, saya tak nafikan, perkahwinan kami tidak mendapat restu keluarga angkat Ayien. Pun begitu, gosip yang mendakwa saya bersama Tom mendera Ayien sehingga kami sanggup melakukan perbuatan terkutuk di depan matanya, memang tak pernah berlaku!

“Malah, ketika Ayien sakit nak bersalin, Tom turut bersusah payah membawanya ke hospital. Justeru, apabila tersebarnya gosip melampau yang membabitkan Tom, Ayien sendiri minta saya memperbetulkan segala salah faham ini dengan membawa Melodi melihat apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga kami.

“Itulah yang termampu kami suami isteri membantu membersihkan nama Tom. Sebaik saja selesai pendedahan Melodi, kami anggap semua selamat, Alhamdulillah tak ada apa-apa lagi selepas ini. Selang beberapa jam ketika kami bertiga sedang makan, saya dapat tahu Tom bercakap dengan Bulat menerusi telefon. Bulat mendakwa, Tom mendera Ayien!

“Akhirnya Bulat memberi alasan nak tengok anak kami, dia tak pernah jumpa baby sejak lahir. Kalau mereka betul manusia, takkan tak boleh fikir, Ayien dalam pantang, nak jumpa juga kat luar. Kami nak bertemu dengan niat berdamai. Bulat tengok sendiri keadaan Ayien dan baby, semua sihat, Ayien sikit pun tak ada cacat cela pada tubuhnya. Saya minta Bulat tengok Ayien betul-betul, kalau ada lebam atau luka, beritahu saya.

“Tom dan Bulat duduk sembang elok saja, tapi tiba-tiba saya lihat ada lelaki menghampiri Tom, lalu tendang dan sepak terajang dia! Ayien terus peluk Tom mempertahankan dirinya. Saya cuba mempertahankan Tom daripada terus dipukul, tapi saya sendiri dipukul beberapa lelaki. Kami datang dengan cara elok, tapi dibalas dengan kekerasan.

“Apabila melihat keadaan semakin tidak terkawal, kami terus ke balai polis buat laporan, namun anak dan isteri saya, mereka tak lepaskan. Apabila tiba di balai polis, saya cuba mendapatkan semula anak isteri saya, namun Bulat menghalang! Selesai saya buat laporan, saya tengok anak isteri saya dah tak ada,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: