Tuesday, July 6, 2010

Rentak tari bina keyakinan




IRAMA rancak yang dimainkan begitu menarik perhatian. Di lantai tari, sekumpulan remaja berpakaian sedondon hitam asyik menghayunkan badan mengikut alunan lagu yang berkumandang.

Namun, ia bukan sekadar tarian bebas ciptaan sendiri, sebaliknya tari yang diatur adalah mengikut langkah dan teknik yang ditunjukkan oleh jurutari berpengalaman, Joel Tan dari Akademi Tarian Urban Groove.

Masing-masing kelihatan semangat dan teruja untuk meniru setiap aksi yang dipamerkan Joel dengan gaya spontan dan selamba.

Walaupun ada yang agak terkial-kial mengikut gerak tari yang diajar, tetapi mereka langsung tidak malu untuk cuba mempelajari dan menguasai langkah tarian tersebut.

"Secara jujurnya, saya memang tidak tahu menari. Jadi, saya mengikuti bengkel ini untuk mengetahui kemampuan diri sama ada boleh menari atau sebaliknya.

"Sejurus menyertai program ini, saya rasa bakat menari itu boleh dipupuk jika kita mempunyai minat. Lagipun tarian yang diajar mudah diikuti. Memang ia sesuatu yang menyeronokkan," luah seorang remaja, Nurul Huda Abdullah kepada Kosmo!.

Hakikatnya golongan remaja itu dilihat tidak berputus asa untuk mencuba sesuatu yang baru sekali gus menunjukkan sikap yang positif dalam kehidupan masing-masing.

Bengkel Tarian Soul Groove Dentyne yang berlangsung selama dua jam di KL Dance Association, Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur baru-baru ini. Lebih 50 remaja hadir memeriahkan suasana.


LEBIH berkeyakinan dan menyeronokkan mungkin itu antara luahan remaja yang menyertai bengkel tarian Dentyne.


Bengkel tarian itu dianjurkan bersempena kempen Dentyne ConfiDance Movement yang bertujuan untuk melatih golongan muda yang kurang mahir menari dengan teknik-teknik asas menggerakkan tubuh.

Selain itu, ia juga sebagai tarikan untuk mereka menyertai pertandingan tarian anjuran Dentyne. Aksi Grand Final program tersebut akan dilaksanakan pada 7 Ogos ini di Sunway Pyramid.

Kebanyakan mereka datang bersama rakan-rakan setelah mengetahuinya melalui brosur dan hebahan di rangkaian sosial Facebook.

Subjek utama

Kempen Dentyne ConfiDance Movement bertujuan membina keyakinan sosial yang diperlukan oleh pengguna terutama remaja untuk berinteraksi dengan orang lain.

"Kami memilih tarian sebagai subjek utama dalam kempen ini kerana ia merupakan satu platform terbaik untuk menarik perhatian golongan remaja.

"Dengan matlamat Menyegarkan Keyakinan Anda, Dentyne ingin membantu meningkatkan keyakinan remaja apabila menari dengan memberikan petua asas yang menjadikan pengalaman menari mereka sebagai sesuatu ceria dan menyeronokkan," ujar Pengurus Jenama Kanan Cadbury, Claire Dominic.

Kempen Dentyne ConfiDance Movement bermula dengan pertunjukan bergerak di kolej dan universiti di seluruh kawasan utara, tengah dan selatan Semenanjung Malaysia, manakala program Dance Flash Mob diadakan di pelbagai pusat beli-belah utama di Lembah Klang.

Bagi Joel yang merupakan antara anak Malaysia pertama yang menerima pengiktirafan sebagai jurulatih tarian jalanan dan hip hop dari United Kingdom Alliance (UKA), semua peserta begitu sporting dan memberi komitmen yang tinggi.


LEBIH 50 orang remaja hadir pada bengkel tarian anjuran Dentyne.


"Sepanjang mengendalikan bengkel yang telah diadakan di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur, semangat peserta memang menakjubkan.

"Meskipun tiada langsung asas menari, tetapi mereka tetap memberikan kerjasama yang memberangsangkan. Ternyata, kempen anjuran Dentyne ini harus dipuji kerana memberi peluang kepada golongan remaja mempelajari asas-asas tarian tanpa bayaran yang tinggi.

"Bayangkan dengan yuran penyertaan sebanyak RM10, mereka dapat mengikuti bengkel ini dan secara tidak langsung membina rangkaian sosial dengan rakan-rakan yang baru ditemui," jelas Joel yang mula menubuhkan Akademi Tarian Urban Groove sejak 2004.

Lebih menarik, pada akhir bengkel peserta bukan sahaja dapat menikmati pelbagai pembelajaran tarian, tetapi pulang dengan membawa sehelai kemeja-T eksklusif Dentyne ConfiDance, beg cenderamata Cadbury dan paling utama memperbaharui keyakinan dalam diri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: