IRAMA muzik padang pasir dengan bait-bait yang memuji ketuhanan amat jarang meniti daripada bibir para remaja. Kecenderungan remaja hari ini yang lebih menikmati hiburan yang berbentuk ekstrem dan khayalan membuatkan kesenian Islam dipinggirkan.
Seni muzik qasidah khasnya adalah satu bentuk hiburan yang memberikan kelebihan kepada mereka yang dahagakan ketenangan jiwa. Alunan lagunya mampu mendekatkan seseorang mengenali sejarah ketamadunan dan perkembangan Islam yang akhirnya memberikan kesedaran berhubung tuhan pencipta alam.
Perasaan itulah yang dirasai oleh anggota Al-Khawakib, Megat Muzhafar Megat Nizar, 25. Bagi anak kelahiran Petaling Jaya itu kepuasan sebenar dalam beraktiviti adalah apabila jiwa seseorang berasa tenang dan tenteram.
"Bukan niat untuk tunjuk pandai atau mengongkong kemahuan seseorang, namun struktur qasidah itu sendiri yang cukup sempurna dan mempunyai keunikan dari segi aspek kerohanian melalui lontaran ayat-ayat suci dan semangat ukhwah secara berkumpulan menjadikannya menarik.
"Ini memaparkan bahawa Islam itu indah dan tidak sempit dalam konteks amalan ibadahnya selain sebagai satu hiburan yang yang unik dan murni," katanya meminati warna biru, putih dan hijau.
Pemegang ijazah Seni Reka Grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menyatakan seni qasidah berkait rapat dengan ilmu tarannum iaitu lagu-lagu yang didendangkan semasa membaca kitab suci al-Quran. Secara langsung, ia juga melibatkan kaedah suara yang dipelbagaikan mengikut proses nada, rentak dan irama tertentu.
Setiap tarannum yang didendangkan mempunyai peranannya tersendiri. Tarannum Hijaz contohnya lebih digunakan dalam melagukan ayat-ayat yang berunsurkan perintah, marah atau tegah. Berbanding jenis Shoba yang lebih sesuai digunakan dalam maksud merayu, memohon dan merintih.
"Dari sudut qasidah, konsep yang digunakan hampir sama. Seandainya lirik lagu yang didendangkan berbentuk amaran, lagu jenis rast lebih sesuai digunakan ia lembut tetapi tegas. Malah boleh membuatkan individu yang mendengarnya terpesona.
"Di samping itu, kawalan suara dan pernafasan juga harus dititikberatkan agar qasidah yang dilagukan benar-benar jitu," terangnya yang gemar mendendangkan lagu bertarannum nahwan dan sobha kerana serasi dengan suaranya.
Sehubungan itu, pembacaan al-Quran amat dititikberatkan selain ia adalah satu amalan yang sangat dituntut. Pembacaan secara berlagu adalah latihan yang paling berkesan kerana ia mampu memberi impak qasidah yang mantap dan sedap didengar.
Menurut Megat, minatnya terhadap qasidah timbul kerana sering menemani bapanya membuat persembahan nasyid dan marhaban sejak kecil. Malahan ayahnya juga merupakan seorang qari yang sering menyertai pertandingan tilawah al-Quran di pelbagai peringkat sekitar negeri Selangor.
Minat berqasidah
"Bila sudah selalu menemaninya, minat mendalami ilmu tarannum ini timbul dan bapa sendiri yang mengajarnya. Setelah tamat pengajian di UiTM, ilmu tarannum yang sedia ada itu digunakan dalam menyertai kumpulan Al-Kawakib.
|
|
"Nyanyian dalam kumpulan ini juga tidak hanya tertumpu kepada irama padang pasir malah mendendangkan lagu-lagu Melayu yang berunsurkan nasihat serta Melayu asli," katanya yang membuat latihan selama dua hingga tiga jam dua kali seminggu.
Megat menambah, terdapat sembilan orang ahli dalam kumpulan tersebut yang turut dianggotai oleh bapanya. Peralatan yang digunakan termasuk keyboard, biola, gambus, rebana, djembe, rabuka, marakas dan tamborin.
Sepanjang pembabitannya dalam qasidah itu, Megat pernah mengadakan persembahan majlis yang besar seperti Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa tahun lalu.
"Memang berdebar apabila melakukan persembahan dalam satu majlis yang disiarkan secara langsung itu terutama apabila bertindak sebagai penyanyi.
"Bukan apa takut sebutan salah. Namun, Alhamdulillah persembahan berjalan lancar seperti yang diharapkan," terangnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: