![]() |
| |
BERKELANA ke Kuala Lumpur untuk bergelar pelajar jurusan seni di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) merupakan satu kembara yang sangat mahal nilainya buat Que Haidar.
Asalnya dia pemuda kurus kering dengan wajah pucat yang sekali pandang mirip Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Setangga demi setangga dia membina karakter. Daripada rahim ASK kemudian menjelajah pula dari satu pentas ke satu pentas teater yang lain, keseriusan Que untuk bergelar pelakon diketahui kawan dan lawan.
Bagi Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 31, yang dikenali umum, Que Haidar hari ini, liku bersusuh dan selumbar yang menikam uratnya tidak terkira. Tidak berduit untuk makan dan menumpang tinggal di rumah kenalan, itu perkara biasa.
Nama yang ditempa sebagai Aktor Harapan Festival Filem Malaysia Ke-19 menerusi filem Castelo tidak sia-sia. Tahun yang sama, Que menempa nama yang luar biasa. Dia turut menerima pencalonan untuk Aktor Terbaik menerusi KL Menjerit 1 dan Aktor Pembantu Lelaki Terbaik (Castelo).
Que juga pernah menang Pelakon Lelaki Terbaik TV pada Anugerah Skrin menerusi drama Terlerai Takbir Kasih.
Ketika namanya memuncak dengan banyak permintaan, tuntutan hati Que mula bercabang. Karier lakonan satu perkara, isteri, anak-anak pula harus diutamakan.
Pernikahan dengan ratu tari, Linda Jasmine memberi nikmat besar bergelar bapa kepada Que, bapa tiri kepada Qalif Khan, 10, dan bapa kepada zuriat sendiri, Tengku Ratu, sembilan bulan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: