Sunday, July 18, 2010

Tiga Macan tak goyang melampau


DARI kiri Liya, Ayu dan Dian mendakwa tidak gentar digelar penyanyi kitar semula.


PERTAMA kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur untuk tujuan promosi, tiga gadis grup Tiga Macan ini penuh keterujaan.

Membawakan buah tangan bertajuk Hits Ahmad Dhani & Dewiq untuk khalayak Malaysia, Ayu, Liya dan Dian sempat berkongsi cerita impak kes video lucah Ariel Peterpan terhadap selebriti Indonesia lain.

"Media Indonesia begitu membesar-besarkan kes Ariel. Impaknya kami selaku artis berdepan dengan pelbagai halangan lebih-lebih lagi grup dangdut seperti kami.

"Malah, kami terpaksa menangguhkan penggambaran sebuah filem gara-gara kes ini. Apabila menyebut artis dangdut, khalayak mudah terarah kepada aspek lucah," luah Liya mewakili Tiga Macan.

Meninggalkan seketika kemelut yang berlaku di Indonesia, mereka nekad memperkenalkan nama di Kuala Lumpur pula.

Semasa pembentukannya pada 2004, mereka menamakan grup ini Trio Macan tetapi kemudian mengubahnya kerana banyak pihak menyalahgunakan nama itu.

"Ada orang menggunakan nama kami di sewenang-wenangnya. Terdapat beberapa konsert yang mengumpan nama kami tetapi hakikatnya penyanyi lain yang muncul membuat persembahan menggunakan nama Trio Macan.

"Ini menyebabkan peminat marah. Penyamar juga kadangkala memakai pakaian yang seksi melampau hingga merosakkan nama grup Trio Macan yang asal," ulas Liya lagi.

Mengimbas kembali sejarah nama kumpulan ini, Macan membawa maksud gabungan perkataan manis dan cantik.

Ditanya sama ada mereka mendapat semangat macan iaitu harimau, ujar mereka bersama dalam nada lucu: "Ya, kadangkala ketika kami menggunakan semangat dan gaya harimau di atas pentas."

Ada nada kesal kerana tidak mendaftarkan hak cipta nama tersebut, namun sebagai penyelesaian, mereka menukar perkataan Trio kepada Tiga dan mengharapkan tuah nama baru tersebut.

Lalu muncul Tiga Macan membawakan lagu-lagu hit hasil karya Ahmad Dhani dan Dewiq, dua komposer terkenal tanah seberang.

Lagu-lagu tersebut pernah dinyanyikan oleh penyanyi papan atas Indonesia seperti Mulan Jameela dan Bunga Citra Lestari.

Penulis menanyakan tiga gadis cantik ini, apa komen mereka jika nanti grup ini bakal dicap sebagai artis saduran kerana membawakan lagu-lagu artis lain yang sudah pun hit, mereka tersenyum menjawab: "Tidak menjadi masalah buat kami kerana semuanya bergantung pada peminat.

"Tetapi harus diingat bahawa menyanyikan lagu artis yang sudah terkenal juga satu cabaran. Kami harus membuktikan cara nyanyian kami berbeza dengan penyanyi asal."

Pernah hadir dengan dua buah album dangdut sebelum ini, SMS merupakan salah satu lagu yang memperkenalkan nama Tiga Macan.

Album terbaru Tiga Macan yang diproduksikan oleh Satria Kurnia Irama (SKI) dan diedarkan oleh Life Records di Malaysia mengandungi lagu hit seperti Makhluk Tuhan Paling Seksi, Sunny, Wonder Woman, Jatuh Cinta Lagi, Kucinta Kau Apa Adanya dan Munajat Cinta.

Grup yang pernah mendapat penghargaan seperti The Best Dangdut MTV 2006 ini bakal menjalani proses penggambaran klip video lagu Dokter Cinta sekembalinya mereka ke Jakarta nanti.

Melihatkan imej harimau yang dibawakan dalam pemakaian mereka, Liya menegaskan bahawa tema harimau tidak selalu digayakan semasa beraksi di atas pentas.

"Kami lihat acara yang kami hadiri. Kadangkala kami tampil lebih elegan dan bukan hanya bergaya seperti seekor harimau. Kami sedang melalui proses transformasi imej sedikit demi sedikit," ujar Ayu yang kuat melatah.

Berhubung imej seksi, Liya menjawab, isu itu seolah-olah sudah biasa diajukan kepada kumpulan itu.

"Seksi itu subjektif dan bergantung pada mata yang memandang. Jujurnya kami tidak pernah merasakan diri kami seksi.

"Kalau di pentas, kami cuma 'bergoyang' mengikut muzik," jujur mereka yang pernah muncul dalam drama Dawai Asmara dan Mendadak Dangdut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: