Sunday, July 18, 2010

May Bakal Keluar Album Ulang Tahun


KUMPULAN May akan muncul dengan album ulang tahun ke-25 hujung tahun ini.


EKORAN terlalu kerap diasak soalan yang sama setiap kali membuat persembahan, grup legenda ini akhirnya mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah persembahan mereka.

Di sebalik keputusan itu, mereka tetap akan muncul dengan album baru tidak lama lagi.

"Kali terakhir kami muncul dengan album studio adalah pada tahun 2003 melalui album Sinar. Kemudian ada juga album live dan Kompilasi Terunggul May.

"Dalam jangka masa tersebut, ramai yang tertanya-tanya tentang lagu baru. Kata mereka, di samping mendengar lagu-lagu lama, mereka turut mahukan lagu baru daripada May," ujar Mus.

Sambung bekas vokalis kumpulan May itu, dia kini lebih yakin untuk mengeluarkan album kerana sudah mempunyai studio sendiri yang diasaskan pada tahun 2005.

Sinar Studio membuktikan kesungguhan Mus terhadap haluan May pada masa hadapan. Mereka turut mengeluarkan produk untuk artis lain seperti grup Broken Riffs dan protege Mus dalam rancangan realiti Mentor, Ayiem.

"Kami merancang untuk merakamkan album pada Ogos dan melancarkan album ulang tahun ke-25 kami pada akhir tahun ini.

"Kalau mengikut situasi kini, artis rakaman lebih gemar mengeluarkan album yang berisi lima atau enam buah lagu, tetapi itu bukan stail May," beritahu Mus.

Menurut Mus dia takut peminat tidak boleh terima perubahan mendadak.

"Oleh itu, May akan muncul dengan lima lagu baru dan lima lagu lama yang direkod dalam versi jamming.

"Itu lebih memberi kepuasan kepada peminat May," terang Mus yang bakal muncul bersama May di Menara Kuala Lumpur pada 30 Julai ini sempena acara KL Tower Musicfest 2010 pada pukul 8.30 malam bersama Ella, Amuk dan XPDC.

Melihatkan kekuatan kumpulan ini ditambah dengan vokal Mus yang tidak pernah goyah, penulis turut bertanyakan rejim serta penjagaan vokalnya.

"Kalau dahulu, saya banyak melakukan latihan dan senaman, sekarang ekoran kekurangan masa dan jadual kerja yang padat, saya kurang bersenam.

"Namun, itu sebenarnya bukanlah alasan. Yang penting adalah fokus terhadap kerja," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: