|
|
PERTANYAAN ini sering diutarakan oleh penyelam skuba baru ekoran menyedari hobi yang mereka ceburi itu mempunyai bahayanya sendiri. Bukan bermakna ia merbahaya, namun adalah lebih baik menyediakan 'payung sebelum hujan'.
Tidak semua menyedari hakikat selam skuba sebenarnya adalah aktiviti yang merbahaya jika tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.
Setiap kali memulakan selaman, pelbagai prosedur awal perlu dilakukan. Semua ini diajar ketika dalam kursus dan juga penambahan pengetahuan melalui pembacaan.
Ini berikutan selam skuba merupakan hobi unik yang memerlukan penyelam menggunakan unit pernafasan individu atau Scuba ketika menyelam untuk membolehkan mereka berada di alam marin.
Unit Scuba itu antaranya mengandungi tangki gas yang diisi udara mampat iaitu 21 peratus oksigen, 78 peratus nitrogen dan satu peratus lain-lain gas.
Disebabkan penyelam skuba akan bernafas di persekitaran yang mempunyai tekanan lebih tinggi daripada di darat dengan gas nitrogen mengandungi peratusan paling banyak, mereka terdedah kepada bahaya penyakit penyahmampatan atau decompression sickness (DCS).
Tekanan tinggi itu menyebabkan gas nitrogen larut dalam tisu tubuh dan darah penyelam dan lebih banyak akan terlarut jika mereka berada lebih dalam dan lebih lama.
Di sini sahaja sudah mempunyai bahayanya jika penyelam skuba tidak mengawasi kedalaman dan juga tempoh masa.
Keadaan akan lebih buruk jika penyelam itu naik ke permukaan dengan kadar terlalu cepat yang mengakibatkan buih gas nitrogen itu semakin bertambah dan mengembang dalam tisu dan darah.
Ia sedikit sebanyak akan menghalang bekalan oksigen dihantar ke seluruh tubuh yang sekali gus menyebabkan kerosakan pelbagai tisu tubuh termasuklah saraf tunjang, salur darah, sakit sendi dan abdomen.
Malah jika terlalu buruk, ia boleh mengakibatkan penyelam mengalami kelumpuhan, pengsan, kebas, sawan dan sakit sendi dan ini dikategorikan sebagai penyakit penyahmampatan tahap dua (DCI). Jika tidak segera diubati, ia bakal menyebabkan kecacatan kekal kepada penyelam skuba dan lebih buruk kematian!
Selain DCS, terpegang binatang marin merbahaya juga mempunyai risikonya yang tersendiri. Batu karang dan binatang berbahaya memang banyak terdapat di dasar lautan dan jika ini terjadi, bantuan perubatan pantas amat diperlukan.
Ketika kejadian ini berlaku, penyelam skuba perlu sampai ke hospital terdekat dengan kadar segera. Ini bagi mengelakkan DCS itu bertambah buruk selain mengurangkan risiko kematian.
Bayangkan jika penyelam skuba itu sedang melakukan aktiviti di Pulau Sipadan, Sabah.
Jika dahulu, resort Borneo Divers menyediakan rawatan terapi oksigen kebuk hiperbarik (HBOT) bagi memberi bantuan kecemasan jika terkena DCS namun selepas semua resort diarahkan keluar, kemudahan HBOT paling hampir dengan Pulau Sipadan hanyalah di Labuan.
Jadi bagaimana untuk menghantar penyelam yang terkena DCS itu ke sana? Dua pilihan, menaiki helikopter atau menaiki bot dan kereta. Jika anda mana satu yang akan dipilih?
Pastinya helikopter kerana ia lebih cepat untuk sampai ke destinasi namun menggunakan perkhidmatan ini anda terpaksa pula membayar harga yang tinggi. Itu baru kos penghantaran ke pusat perubatan belum lagi kos untuk merawat DCS atau terkena sengatan hidupan marin merbahaya.
Secara kasar, jika menggunakan perkhidmatan helikopter ke pusat perubatan, anda perlu membelanjakan kos yang tinggi sekitar RM100,000 lebih termasuk rawatan susulan HBOT dan ini pastinya menyukarkan bagi yang tidak mampu.
Lebih memburukkan keadaan, tidak ada sebarang agensi insurans biasa menawarkan perlindungan kepada sebarang aktiviti selam skuba yang pernah dikategorikan sebagai aktiviti ekstrem dan merbahaya.
Apa pun jangan khuatir, Divers Alert Network rantau Asia Pasifik (DAN) menyediakan kemudahan perlindungan khusus untuk penyelam skuba yang menawarkan perlindungan sehingga US$250,000 (RM805,500.03) untuk rawatan HBOT.
Malah, DAN turut melindungi penyelam skuba daripada sebarang kemalangan bukan selaman, pembatalan percutian selam skuba, gangguan percutian selam skuba, kehilangan perlatan selam skuba, kematian dan kecacatan akibat selam skuba.
Menariknya, perlindungan aktiviti selam skuba melalui DAN ini hanya memerlukan penyelam membayar sekitar RM700 setahun (hanya RM80 sebulan) dan penyelam skuba akan dilindungi daripada sebarang kemalangan selam skuba.
Selain itu DAN turut menawarkan faedah percutian dan peralatan selam skuba dengan harga menarik kepada ahlinya.
Sebarang maklumat lanjut dan permohonan yang akan diproses dalam tempoh 24 jam sila layari www.divetenggara.my/dan.html atau e-mel info@divetengara.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: