Saturday, July 10, 2010

Mercedes-Benz S 300 L


Perubahan ketara pada lampu belakang yang diberi sentuhan rekaan baru.


BAGI penggemar Mercedes-Benz, mereka akan belajar 'bahasa Mercedes' iaitu dengan menyebut nama kod sesuatu model. Ini bagi membezakan mereka daripada 'orang biasa' yang setakat tahu menamakannya mengikut model seperti C-Class, E-Class atau S-Class.

Nama kod ini memberi petunjuk khusus mengenai sesuatu model tanpa perlu menanya tarikh kereta itu dikeluarkan. Misalnya, Mercedes-Benz S-Class yang ada di pasaran sekarang atau sejak 2006, disebut W221.

Ada juga kelebihan menguasai bahasa Mercedes ini, kerana bila hendak membeli sebuah S-Class terpakai, misalnya ia memberi isyarat kepada penjual bahawa anda arif tentang Mercedes-Benz dan tidak boleh diada-adakan cerita, apalagi harga.

Maka model W221 ini, telah berada di pasaran Malaysia sejak 2006 dengan tiga versi iaitu S300L, S350L dan S500L dipasang tempatan di Pekan, Pahang. Mercedes-Benz Malaysia menyediakan perkhidmatan untuk pelanggan sangat kaya untuk menempah versi dipasang sepenuhnya (CBU) dari Jerman di mana mereka boleh membuat penyesuian ciri-ciri pada kereta mengikut cita rasa peribadi. Kereta CBU tertakluk kepada duti import yang lebih tinggi, semestinya.

Awal tahun ini, Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan versi dipertingkatkan bagi W221 ini. Penulis ada masanya kagum kerana tatkala sebuah kereta Mercedes-Benz telah direka sebegitu hebat, syarikat kereta mewah Jerman ini tidak berhenti-henti berusaha meningkatkan kualiti dan inovasi teknologi di dalamnya.

S-Class dipertingkatkan ini mengekalkan elemen perdana yang menepati prestij sebuah kereta mewah tetapi kali ini dengan jeriji radiator yang lebih tebal bentuknya seakan bucu anak panah. Bamper pula direka dengan garisan halus dan garisan krom dibahagian bawahnya.

Ciri yang semakin popular diguna oleh pengeluar kereta Jerman ialah penggunaan lampu siang hari. Mentol LED digunakan pada lampu yang turut menggabungkan lampu siang hari dan lampu isyarat. Mentol ini sangat terang tetapi tahan lama berbanding mentol biasa, serta menggunakan tenaga yang kurang.

Bahagian belakang pula, lampunya didatangkan dengan rekaan baru, dengan horizon berwarna putih, berbanding model sebelum ini yang diadun dalam warna kenderaan. Tidak kurang daripada 52 mentol LED disusun secara membujur yang memudahkan pengenalan kereta ini pada waktu malam. Menggunakan LED juga bermakna pencahayaan yang lebih pantas dari detik pedal brek dipijak, untuk memberi petunjuk lebih awal kepada pemandu di belakang.

Tiada perubahan besar dilakukan pada enjin, melainkan ditala lebih lagi secara aerodinamik khusus. Selain itu, tayarnya disusun dengan kekangan terbabas lebih rendah dan pengubahsuaian kepada kemudi, pam bahan api dan transmisi automatik 7-kelajuan 7G-TRONIC, mendorong kedua-dua aspek penggunaan bahan api dan pengeluaran asap sebanyak tujuh peratus lebih rendah.

Penambahbaikan besar dilakukan pada ciri keselamatan dengan ciri-ciri seperti ciri opsyenal Adaptive Highbeam Assist yang boleh mengesan kereta atau kenderaan yang mendatang menerusi lampu, dan kemudian mengawal lampu depan bi-xenon untuk memastikan jarak suluhan terbaik tanpa menyilau pemandu lain.

Ciri bantuan pandangan malam atau Night View Assist sudah pun dipasang pada S350L dan S500L tetapi bagi versi terbaru ini, ciri itu ditambah baik menjadi Night View Assist Plus. Sistem ini, mengambil daripada teknologi helikopter penyerang menggunakan sinaran infra-merah bagi mengesan haba yang boleh dilihat menerusi kamera khas dan ditayang pada paparan di panel pemuka. Haba yang dikesan ialah haba dari badan manusia atau haiwan.

Ia juga mengesan pejalan kaki yang ditayang pada paparan supaya pemandu boleh mengesannya awal. Sistem ini berfungsi baik walaupun dalam iklim cuaca panas seperti Malaysia tetapi hanya beroperasi bila lampu depan dinyalakan.

Sama seperti E-Class baru, model S-Class ini dipasang dengan sistem ATTENTION ASSIST, yang boleh mengesan dan memberitahu pemandu jika terasa mengantuk. Misalnya, semasa memandu di jalan lurus, anda termengantuk dan terkeluar daripada lorong. Ia akan bergegar dan satu bunyi amaran kedengaran dengan paparan ayat ATTENTION ASSIST. Break!. Sistem itu bergantung kepada 'kerjasama' pemandu untuk patuh tetapi tidak menganggu operasi lain semasa pemanduan.

Daripada segi dalaman, S-Class tidak banyak berubah dan masih mengekalkan elemen kemewahan yang patut ada pasa sebuah S-Class. Ada sedikit penambahbaikan kecil di sana sini, seperti sarung bagi pad kawalan di tengah-tengah kerusi depan. Kemudi roda juga dipertingkatkan dengan gabungan kayu dan sarung kulit nappa yang lembut.

Sistem audio di dalam S-Class ini ternyata hebat. Pertamanya, paparan LCD antara pemandu dengan penumpang belakang (selalunya pemilik kereta) boleh diasingkan. Bermakna pemandu boleh kekal memasang paparan kawalan dan penumpang belakang boleh menonton video. Ia menggunakan sistem SPLITVIEW.

Sistem kawalan COMAND dan paparan ditambah fungsi-fungsi termasuk Bluetooth yang bermakna banyak lagi peralatan elektronik boleh disambungkan. Pemain DVD dilengkapi dengan Music Register dengan cakera keras 7.2 GB yang boleh menyimpan sekitar 2,500 fail muzik digital. Sistem 'bunyi sekeliling' dengan teknologi Logic 7 yang dibangunkan oleh Mercedes-Benz bersama pakar audio, Harman Kardon memberikan bunyian ibarat dalam dewan orkestra.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: