Saturday, July 10, 2010

'Berhanyut' di Sungai Kenaboi


BERHANYUT di Sungai Kenaboi pasti memberikan pengalaman yang berbeza.


SETIAP kali cuti hujung minggu, pasti ramai penggemar aktiviti luar memikirkan destinasi yang bakal dijejaki. Sama ada merehatkan diri di tepi aliran sungai yang jernih atau memerah keringat mendaki gunung-ganang. Lokasi pula tidak sepatutnya menjadi penghalang kerana terdapat banyak destinasi menarik untuk dipilih.

Bukit Broga di Semenyih, Selangor misalnya, antara desntinasi yang boleh dikunjungi untuk mereka yang minat mendaki sambil bersantai.

Jika mahukan aktiviti yang lebih mencabar boleh bergerak keluar sikit dari Kuala Lumpur iaitu ke Kuala Klawang, Negeri Sembilan.

Aliran jernih Sungai Kenaboi yang membelah daerah itu menyediakan aktiviti yang cukup menarik untuk dicuba - berhanyut menggunakan tiub getah atau tubing.

Ia lebih kurang sama dengan kaedah white water rafting cuma tubing lebih relaks dan lebih mudah.

Pusat aktiviti di Sungai Kenaboi itu terletak di Kampung Chennah.

Kenaboi Adventure Team (KAT) yang dikendalikan oleh Khairil Anuar Zainal Azman menawarkan aktiviti istimewa itu.

Tetapi para peserta perlu bersedia untuk dibanting dan dibadai oleh arus Sungai Kenaboi yang pasti akan membuat peserta basah kuyup.

Dengan menggunakan pelampung getah, peserta akan bergerak mengikut arus jernih melalui celah-celah batu sungai yang mencabar.

Gagal mengawal pelampung dengan baik pasti akan ada yang tercampak ke dalam air.

Bagaimanapun setiap peserta akan dipastikan memakai jaket keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Aktiviti tubing di Sungai Kenaboi membabitkan jarak lima kilometer.

Ia bermula dari Jeram Tumpat dan berakhir di Jeram Lesung. Untuk menghabiskan jarak berhanyut itu mengambil masa dua jam.

Malah tempoh dua jam itu langsung tidak terasa kerana leka berendam dan bermain air. Ketika tiub getah berwarna hitam atau lebih tepat tiub tayar lori yang 'dinaiki' merempuh arus cetek, badan kena diluruskan untuk mengelak punggung bergesel dengan batu-batu yang pelbagai saiz di dasar sungai.

Bila ada peserta yang lambat atau tidak sempat meluruskan badan pasti terdengar jeritan kesakitan.

"Aduh...sakitnya," jerit seorang peserta apabila punggungnya berlanggar dengan batu akibat gagal meluruskan badan di kawasan cetek lalu di sambut dengan gelak ketawa peserta lain.

Di beberapa lokasi tertentu, peserta terpaksa berhenti dan memikul tiub getah naik ke atas tebing untuk melepasi pokok tumbang.

Sepanjang aktiviti itu, keselamatan sentiasa dipantau oleh krew yang berada berhampiran.

Apabila timbul masalah, krew terbabit akan segera membantu.

Peserta tidak perlu bimbang akan keselamatan mereka untuk meneruskan aktiviti sehingga tamat. Aktiviti tubing pasti memberi pengalaman yang berbeza. Ianya pasti menjanjikan kenangan yang sukar dilupakan.

Malah sepanjang laluan itu juga peserta dalam menikmati keindahan alam yang masih belum tercemar.

Hutan dara yang terdapat di kiri dan kanan Sungai Kenaboi menyediakan pemandangan alam yang mendamaikan.

Apabila tiba di Jeram Lesong, krew KAT yang telah bersedia dengan kenderaan pacuan empat roda akan membawa peserta pulang ke tapak perkhemahan untuk bermalam sambil menikmati hidangan yang disediakan.

Menurut Khairil Anuar, jika ada kenduri kahwin masyarakat Orang Asli di kampung berdekatan tapak perkhemahan itu, peserta berpeluang untuk melihat majlis mereka.

"Paling meriah adalah acara joget lambak yang diiringi kugiran yang disewa khas oleh keluarga pengantin," katanya.

Seorang Krew KAT, Zamri Sharif memberitahu, Joget Lambak itu biasanya akan berterusan hingga ke pagi.

"Biasa yang saya lihat, acara ini tamat pada pukul 7 pagi esok.

"Sambil berjoget, sambil mata melirik melihat siapa yang berkenan," katanya sambil menjelaskan itulah cara pemuda dan pemudi Orang Asli mencari jodoh.

Selain aktiviti tubing di Sungai Kenaboi, KAT juga menawarkan perjalanan menjelajah hutan belantara di seberang sungai tersebut.

Perjalanan tidak jauh iaitu sekitar 10 minit dari tapak perkhemahan dengan meredah hutan buluh sebelumi tiba di sebatang pokok besar yang menjulang ke langit di ketinggian hampir lima tingkat rumah pangsa.

"Inilah pokok Avatar. Nama pokok ini diberi oleh peserta program beberapa ketika dahulu. Ia diambil sempena filem Avatar," kata seorang lagi krew lain, Amirul Razali.

Uniknya, pokok itu sebenarnya pokok tumpang daripada spesies ara pulut yang telah membesar sekali gus 'membunuh' pokok asal, iaitu merbau.

Pokok merbau yang mati itu meninggalkan satu ruang kosong yang dikelilingi akar pokok ara pulut tersebut.

Selain aktiviti berkayak di arus deras, tubing dan melihat keunikan pokok Avatar, KAT juga menawarkan pakej mendaki Gunung Besar Hantu (1,450 meter), meneroka gua, melawat dan menghayati budaya Orang Asli, berkelah di air terjun Lata Kijang dan kursus kemahiran hidup.

Menurut Khairil Anuar, Sungai Kenaboi mempunyai kedalaman berbeza. Jadi ia sesuai untuk pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak kecil. Namun, ibu bapa mesti menemani anak-anak kecil bermain air di situ.

"Kalau ibu bapa sibuk dengan aktiviti, krew saya akan menjalankan tugas tersebut. Apa yang utama adalah keselamatan anak-anak sentiasa di dalam kawalan saya dan krew bertugas," katanya.

KAT bermula pada tahun 1999 secara kecil-kecilan. Kini ia semakin berkembang dan manawarkan pelbagai aktiviti riadah untuk sektor awam, swasta, pusat pengajian tinggi, kelab atau persatuan.

Tapak perkhemahan KAT dilengkapi dengan tandas, surau, pondok memasak, tempat makan dan kemudahan barbeku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: