Saturday, July 10, 2010

Pengaruh Eropah


BAHAGIAN depan yang lebar dan sporty.


JIKA sedekad lalu, mungkin ramai yang kurang ambil peduli tentang jenama Hyundai. Pada ketika itu, Hyundai sukar mendapat perhatian berikutan kualiti dan teknologi yang tidak semaju kenderaan dari Jepun serta harga alat ganti yang adakalanya cukup mahal.

Namun, keadaan nampaknya sudah agak berubah. Kelibat jentera yang mengangkat huruf H sebagai logonya bukan lagi satu pemandangan asing.

Kali terakhir penulis memandu uji jentera kompak itu ialah pada Ogos tahun lalu. Itu pun model yang dipasang dengan unit enjin bersesaran 1.6 liter dan dipandu dalam lingkungan jarak cukup terhad.

Kali ini, varian yang dikenali sebagai i30 dengan enjin lebih besar (2.0 liter) banyak perkara yang membuatkan penulis agak kagum dengan transformasi produk yang datang dari tanah kelahirannya Ulsan, Korea Selatan.

Tidak dapat dinafikan bahawa reka bentuk i30 berwarna putih kristal itu cukup kuat pengaruh Eropahnya. Reka bentuk tubuhnya cukup elegan. Malah kalau emblemnya ditukar, pasti ramai yang tidak percaya bahawa itu ialah produk daripada Hyundai.

Bahagian hadapan i30 nampak lebar dan sporty menerusi bampar hadapan yang lengkap bersama sepasang lampu kabus. Gril radiatornya direka nipis bagi menempatkan loho Hyundai yang berwana krom. Lampu utama yang sebagai varian premium, jentera itu hadir bersama spoiler, lips dan skirting di sekeliling tubuhnya.

Bahagian belakang i30 nampak kemas dengan rekaan lampunya yang agak lebar. Bahagian bawahnya pula tersimpan sepasang ekzos berentuk empat segi. Penggunaan rim lima jejari bersaiz 43 sentimeter (cm) menyerlahkan sisi sporty sebuah i30.

Inilah hasilnya apabila kebanyakan kerja-kerja pembangunan i30 dilakukan di Pusat Teknikal dan Kejuruteraan Hyundai di Jerman.

Reka bentuk yang kemas dan ergonomik diserlahkan pada bahagian kabinnya. Penggunaan warna hitam mendominasi tempat duduk dan sebahagian besar papan pemukanya.

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa material yang digunakan pada kokpitnya jauh lebih baik daripada sesetengah model jenama Jepun. Sterengnya sedap dipegang, manakala suis kawalan audio dan pendingin hawa mudah dicapai dan dioperasi.

i30 menggunakan lampu LED berwarna biru untuk menerangi kluster meternya. Biasa sahaja dan mudah dibaca. Sementara paparan computer trip, menyediakan pemandu pelbagai maklumat berguna seperti kadar petrol yang telah digunakan, selain berapa jauh lagi boleh dicapai dengan petrol yang ada di dalam tangki.

Enjin BETA bersesaran 1,975cc itu memberi maklum balas yang memuaskan sebaik pedalnya ditekan. Jarang sekali anda berasa ia seperti malas bergerak. Sekali gus membuatkan pemanduan di bandar lebih menyeronokkan.

Kolaborasinya dengan kotak gear automatik empat kelajuan begitu lancar. Tiada rasa senggukan ketika gear ditukar. Kedudukan gearnya pantas diturunkan apabila pedal minyak ditekan keras.

Gear rendah 'dipegang' agak lama (melebihi 6,000 rpm), membuatkan enjin mengerang, sebelum ia memperoleh momentum dan masuk ke gear empat.

Sterengnya juga terasa ringan, jadi tidak banyak tenaga diperlukan ketika membelok dan memakir. Bagaimanapun, stereng akan berasa lebih berat ketika kenderaan mula memecut. MDPS (Motor Driven Power Steering) memastikan pemandu lebih yakin ketika memandu pada kelajuan tinggi.

Sarat sistem keselamatan

Tubuh jentera kompak itu juga terasa solid. Olengan tubuh ketika mengambil selekoh pada hampir lansung tidak dirasai. Sistem suspensinya juga memastikan perjalanan jauh dan permukaan jalan yang tidak sempurna kurang menyeksakan.

Sebagai model yang cuba memenuhi aspirasi pasaran Barat, i30 tampil dengan sistem keselamatan yang sarat. Dibina di atas kerangka yang diperkukuhkan, model itu mendapat penarafan ujian NCAP (New car Assessment Program) lima bintang.

Aspek keselamatan i30 ditambah dengan sistem brek ABS dengan EBD, ESP (Electronic Stability Program), selain dua beg udara SRS.

Walaupun kompak, ia mampu memberikan ruang selesa biarpun bagi mereka yang bertubuh besar. Ruang untuk meletakkan kaki dan jarak kepala dengan bumbung cukup memuaskan. Jika anda ada barang besar dari Ikea untuk diangkut, jangan bimbang. Lipat sahaja tempat duduk belakang itu sepenuhnya.

Direka pada asalnya untuk bersaing dalam segmen C1 hatchback di pasaran Eropah seperti model Ford Focus dan Volkswagen Golf, i30 2.0 nyata mendapat sambutan hangat di sana. Buktinya, sejak tahun 2006 jualan keseluruhan di Eropah mencecah empat juta unit.

Namun, kisahnya di sini sangat berbeza. i30 terpaksa bersaing dengan dengan model-model dominan bukan buatan tempatan seperti Honda Civic dan Toyota Altis.

Ditambah dengan publisiti tidak cukup meluas, selain takat harga yang mencecah RM112,888 seunit (di atas jalan dengan insurans) bukan mudah untuk meyakinkan orang agar beralih pandangan ke arah i30.

Biarpun begitu, Hyundai-Sime Darby tetap percaya Hyundai i30 ada peminatnya yang tersendiri. Lagi pun, selepas beberapa hari memandunya tiada apa yang terlalu kurang pada model kompak tersebut, kecuali harganya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: