Saturday, July 10, 2010

Cinta Azrina, Ariff di litar drift




"KETIKA kandungan saya berusia tiga bulan dulu pun saya memandu drift, tetapi selepas itu suami suruh saya berhenti sementara waktu sebab takut terjadi apa-apa," kata Azrina Jane Abdullah ketika mengimbau saat hamil anak pertama, Johanna Ariff Johanis dua tahun lalu.

Keghairahan wanita berusia 33 tahun itu terhadap sukan drift tidak terhenti setakat itu sahaja. Belum sempat habis pantang, dia sudah kembali semula ke gelanggang demi melepaskan gian memandu.

Suaminya, Ariff Johanis Ahmad, 40, salah seorang pelumba formula drift amatur di negara ini hanya mampu menggelengkan kepala bagaikan memahami kerenah isterinya.

Meminati aktiviti lasak sejak kecil Azrina memberitahu, peluang bekerja di sebuah syarikat pengurus acara sebelum ini memberi pendedahan kepada dirinya mengenali sukan permotoran dengan lebih dekat.

"Saya bertugas sebagai wartawan sambilan dan sering membuat liputan pelbagai aktiviti melibatkan sukan permotoran anjuran syarikat. Pengalaman itu walaupun agak singkat cukup bermakna lebih-lebih lagi dapat berkenalan dengan nama-nama besar dalam sukan ini," ujar anak bongsu daripada empat beradik itu.

Bercerita tentang penglibatannya dalam sukan drift, Azrina berkata, ia bermula semasa dia bertemu dengan Ariff ketika membuat liputan pelancaran perlumbaan GT Japan di Sunway Lagoon Resort pada tahun 2002.

Di situ bermula persahabatan di antara mereka sehingga membuahkan bibit-bibit cinta. Keserasian yang ditunjukkan pasangan itu dinoktahkan melalui ikatan perkahwinan dua tahun kemudian.

Ariff yang baru berjinak-jinak di dalam sukan drift berjaya mencungkil bakat yang ada pada dirinya.

"Pada mulanya saya hanya menjadi peneman di litar, jika Ariff berlatih drift saya akan duduk sebelah, memerhatikan teknik-teknik yang dilakukan ketika berada di atas trek, terutama penggunaan brek tangan dan menendang klac," yang mengakui teruja setiap kali kereta yang dipandu menggelongsor laju di selekoh tajam.

Bagi Ariff, walaupun dia lebih awal menempa nama dalam sukan itu, dia sentiasa menggalakkan isterinya untuk mencuba.

Ilmu yang ada dalam sukan permotoran termasuk pengalaman menyertai perlumbaan sirkit dan drag sebelum ini digunakan bagi melatih Azrina tentang teknik-teknik asas drift sehingga mahir.

Jelasnya, untuk melakukan aksi drift pemandu perlu faham dinamik kenderaan yang dipandu dan cara ia bertindak balas.

"Itu yang saya tekankan kepadanya, memandu kereta dengan kelajuan tinggi ketika membelok, membuatkan kereta menggelongsor dengan keadaan seolah-olah mahu terbabas tetapi dapat mengawalnya. Ia memerlukan ketangkasan dan kemahiran yang perlu dilakukan secara berterusan," katanya yang bangga kerana mempunyai isteri yang boleh berkongsi minat yang sama.

Penglibatan dalam sukan itu juga membawa mereka menjelajah ke seluruh pelosok negara dan beberapa negara Asia seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Jepun bagi memenuhi jemputan mengadakan persembahan atau pertandingan.

"Selain berpeluang melancong dan menambah kenalan baru, kami juga dapat mengeratkan hubungan," senyum Ariff ketika ditemui baru-baru ini.

Kedua-duanya kini merupakan pelumba pasukan Goodyear Malaysia di samping Michael Gan dan Johan Norman. Ketika ditemui mereka baru selesai berlumba pada Siri Drift Antarabangsa Goodyear yang julung-julung kali diadakan di Presint 3, Putrajaya baru-baru ini.

Sebagai peserta tunggal wanita dalam pertandingan yang disertai kira-kira 40 peserta tempatan dan antarabangsa itu, Azrina boleh berbangga dengan prestasi yang dicapai. Memandu kereta Nissan 180sx, anak kelahiran Pulau Mutiara itu mendapat tempat ke-20 daripada 31 peserta yang layak bagi kategori 16 tempat teratas.

Tenaga pengajar

Jika tiada sebarang jemputan atau pertandingan, pasangan terbabit sibuk menguruskan perniagaan memasarkan produk-produk penyiaran.

Bekerja di rumah membolehkan Azrina membahagikan masa menguruskan keluarga, kerja dan aktiviti kegemarannya itu.

"Dulu sebelum ada anak mungkin tumpuan saya lebih kepada sukan ini, kini keutamaan ialah kepada keluarga. Melihat Johanna yang semakin membesar memberi kepuasan sebagai seorang ibu," ujar Azrina yang tidak menolak kemungkinan menggalakkan anaknya menceburi sukan permotoran pada masa hadapan.

Di samping menguruskan syarikat berkenaan, mereka juga menjadi tenaga pengajar kepada sesiapa yang berminat mempelajari sukan itu melalui Sync Optima Drift Academy.

"Kami mempunyai pelbagai kategori pelajar seperti golongan remaja, pesara, dewasa, profesional dan sebagainya," kata Ariff.

Katanya, untuk memiliki kereta drift, seseorang itu hanya memerlukan belanja kurang RM6,000.

Misalnya, seseorang itu boleh membeli sebuah kereta terpakai jenis Toyota Corolla LE daripada model tahun 1970 sehingga awal 1990-an.

Selain harga kereta, tambahan wang juga diperlukan untuk ntuk mengubahsuai di bahagian spring dan penyerap hentakan agar badan kereta menjadi lebih rendah di samping penalaan di bahagian enjin.

"Bagaimanapun, bagi mereka yang mahu menyertai kejohanan di peringkat yang lebih tinggi kereta sport berkuasa besar adalah sebaik-baiknya. Harganya pula mampu mencecah di antara RM80,000 hingga RM150,000 sebuah.

"Tetapi ia tetap bergantung kepada kemahiran pemandu untuk menggunakan sepenuhnya kelebihan jentera. Secara keseluruhan sebanyak 70 peratus ialah merupakan kemahiran, sementara 30 peratus lagi ialah kondisi kereta," jelasnya.

Ariff berkata, pelumba drift yang masih baru boleh memahirkan diri dalam masa satu hingga dua bulan dengan latihan intensif selama hampir sepuluh jam sehari.

Antara teknik asas yang perlu dipelajari ialah aksi donut, figure 8, R dan S.

Namun untuk menjadi pelumba profesional, penaja sangat penting kerana tanpa tajaan, kos membaiki kereta, servis, modifikasi, upah mekanik terpaksa ditampung sendiri dan jumlahnya boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Goodyear, Law Kwan Thean berkata, pertandingan yang diadakan sejajar dengan inisiatif kerajaan dalam pembentukan bakat-bakat tempatan dalam sukan berkenaan.

Katanya, komitmen syarikat itu telah dimulakan sejak Disember 2007 lagi menerusi acara Goodyear Speedfest di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Berdasarkan kepada kejayaan penajaan kami ke atas Siri Formula Drift ASEAN pada tahun 2008 dan 2009, Goodyear ingin meneruskan usaha membangunkan sukan drift. Ia dilaksanakan melalui penganjuran siri drift antarabangsa di Malaysia dan Thailand.

"Pertandingan ini sesuai buat para drifter yang ingin menyenaraikan diri mereka ke dalam ranking profesional siri Formula Drift Pro," ujar Kwan Thean.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: