UMUM mengetahui populariti kumpulan Too Phat dengan lagu-lagunya yang berpaksikan genre hip hop dan rap pada awal kemunculannya sekitar tahun 1999.
Namun, Too Phat bukanlah kumpulan pertama yang bertapak di negara ini.
Di sebalik populariti kumpulan yang dianggotai oleh dua anak muda Joe Flizzow dan Malique yang menerapkan unsur-unsur keMalaysiaan dan keAsiaan dalam lagu-lagu mereka, banyak onak duri perlu mereka tempuhi sepanjang memperjuangkan muzik sukar diterima ramai ketika itu.
"Penerimaan awal orang kita terhadap hip hop pada ketika itu kurang memberangsangkan. Nak memohon lesen untuk buat persembahan pun tak dapat. Nak buat di tempat-tempat yang tiada unsur alkohol pun kena kacau.
"Tapi itu tidak melunturkan semangat kami untuk berkarya, malah kami lebih bersemangat," kata Joe Flizzow yang kini menjadi mentor kepada Ila Damiaa Johar dalam rancangan realiti pencarian bakat menyanyi, Mentor yang kini masuk musim keempat.
Tambahnya, pada ketika itu ramai yang melabelkan hip hop dengan gejala sosial walhal perkara tersebut tidak benar sama sekali.
Hari ini, masyarakat di negara ini mula membuka minda, menerima dan memahami hip hop. Ia mempunyai banyak elemen seperti break dance, deejay, MC dan grafiti yang boleh membongkar kreativiti anak-anak muda terutamanya remaja.
"Boleh dikatakan pada zaman Too Phat ketika itu merupakan zaman Renaisanse hip hop di Malaysia apabila lepas satu-satu kumpulan hip hop muncul seperti Poetic Ammo, Teh Tarik Crew, Ultimate, dan banyak lagi," ujarnya yang mula meminati hip hop melalui rancangan televisyen dan koleksi kaset serta cakera padat bapa saudaranya ketika zaman sekolah.
Katanya, walaupun hip hop datang dari Barat, ia boleh diberikan identiti mengikut acuan tersendiri dengan menerapkan elemen silat, zapin dan sebagainya yang secara tidak langsung mengangkat nilai tradisi Malaysia.
"Impian kami (Too Phat) bukan untuk terkenal tetapi mahu mengembangkan muzik hip hop dengan cara yang betul supaya tidak dipandang serong masyarakat.
"Kini banyak ruang yang telah diberi kepada golongan muda sebagai contoh rancangan realiti seperti Mentor dan Showdown 2010 sebagai platform kepada mereka untuk menunjukkan bakat masing-masing tanpa ada salah tanggapan masyarakat," katanya yang begitu yakin hip hop di Malaysia akan terus berkembang hingga ke persada antarabangsa.
DJ Fuzz atau nama sebenarnya Farzwa Emir, 33, turut berkongsi pendapat yang sama. Dia yang sudah lebih sedekad bergelumang dalam salah satu cabang dalam bidang hip hop iaitu DJ memberitahu, hip hop Malaysia berkembang dengan transformasi yang tersendiri.
"Hip hop di Malaysia sudah mencapai standard dan kualiti yang lebih baik berbanding pada awal kemunculannya. Muzik, gaya dan fesyennya juga sudah lain.
"Ia semakin boleh diterima masyarakat dan sudah menjadi sebahagian daripada industri muzik. Boleh dikatakanya genre muzik sebegini semakin mendapat pengiktirafan," katanya yang merupakan ahli Teh Tarik Crew.
Di Malaysia, elemen hip hop yang lebih mendapat perhatian ialah nyanyian berbanding seni grafiti.
"Dulu muzik ini memang sukar diterima oleh masyarakat dan ibu bapa kerana hip hop yang asal usulnya dari Amerika Syarikat (AS) sering dilabel negatif selain dikaitkan dengan jenayah tetapi sebenarnya kemunculan hip hop pada asalnya mahu mengelakkan budak-budak jalanan menghindari perkara-perkara negatif.
"Kini, senarionya berbeza, sehingga ada ibu bapa yang mendaftarkan anak-anak mereka ke kelas DJ bagi menguasai kemahiran tersebut," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: